Masagos akur agensi terlibat boleh lakukan lebih banyak lagi semasa kendalikan kes Megan Khung
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli memohon maaf pada Khamis (23 Okt) dan mengakui bahawa agensi-agensi yang mengendalikan kes Megan Khung, seorang kanak-kanak empat tahun yang didera sehingga mengakibatkan kematiannya, seharusnya dapat melakukan lebih banyak lagi semasa mengendalikan kes tersebut.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli bercakap kepada media di Bangunan CPF Bishan. (Gambar: CNA/Marcus Ramos)
"Sebagai peneraju ekosistem perlindungan kanak-kanak kebangsaan, saya ingin memohon maaf atas kejadian ini dan akui bahawa lebih banyak yang boleh dilakukan ketika kami mengendalikan kes ini.
"Kami tidak dapat mengelak setiap risiko kehilangan kanak-kanak, tetapi kami komited untuk lakukan sebaik mampu untuk mencegah tragedi berulang.
"Kami akan memastikan setiap individu dalam ekosistem perlindungan kanak-kanak, setiap profesional dan agensi, melakukan yang terbaik dan lebih lagi untuk melindungi kanak-kanak yang kurang bernasib baik," kata Encik Masagos.
Megan meninggal dunia pada Februari 2020 selepas didera selama berbulan-bulan oleh ibu kandungnya, Foo Li Ping dan teman lelaki ibunya pada ketika itu, Brian Wong, sebelum Wong menumbuk mangsa sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu.
Foo dihukum penjara 19 bulan kerana mendera anaknya dan membantu untuk membakar mayat mangsa.
Wong pula dipenjara 30 tahun dan diberikan 17 kali sebatan atas peranannya menyebabkan kematian Megan, serta beberapa kesalahan dadah yang lain.
Komen oleh Encik Masagos dibuat selepas sebuah panel semakan menerbitkan hasil dapatannya tentang bagaimana kes Meghan dikendalikan oleh agensi-agensi terlibat dalam kes itu.
Agensi-agensi itu adalah perkhidmatan perlindungan kanak-kanak (CPS) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF); Pasukan Polis Singapura (SPF); Beyond Social Services; Pusat Pembangunan Kanak-Kanak Healthy Start (HSCDC); Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) dan pusat pakar perlindungan kanak-kanak HEART@Fei Yue.
Panel tersebut mendapati walaupun agensi-agensi itu mengambil tindakan sewajarnya dalam beberapa senario, terdapat jurang dan juga kekurangan dari segi pemahaman dan komunikasi jelas antara setiap pihak.
TINDAKAN DIAMBIL TERHADAP PEGAWAI
Semua agensi yang terlibat dalam kes Megan menerima sepenuhnya hasil dapatan panel semakan itu.
Dua pegawai SPF dikenakan tindakan disiplin dalaman setelah ia didapati bahawa mereka gagal mematuhi proses-proses yang ditetapkan apabila nenek Megan pertama kali membuat aduan polis pada Januari 2020, sebulan sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia.
Pada ketika itu, pegawai penyiasat menilai perkara itu sebagai satu kes disiplin kanak-kanak dengan keprihatinan keselamatan yang rendah, dan memberitahu pegawai bertanggungjawab pasukan bertugas bahawa beliau akan mengambil tindakan selanjunya untuk menghubungi dan menjejaki ibu Megan.
Pegawai bertanggungjawab itu justeru tidak mengemukakan laporan itu untuk dibincangkan dalam sesi semakan kes bersama penyelianya pada keesokan hari.
Pegawai penyiasat itu kemudian cuba menjejaki Foo dan Megan selama dua minggu namun gagal berbuat demikian, sebelum beliau dikerahkan untuk melakukan tugas berkaitan COVID-19.
Kelemahan itu "menghalang tindakan segera dan sewajarnya diambil berkaitan aduan pertama", menurut panel semakan itu.
MSF juga mula menjalankan siasatan disiplin terhadap perbuatan seorang pegawai CPS, berikutan hasil dapatan panel tersebut.
"Bergantung pada hasil siasatan, pegawai terbabit boleh dikenakan tindakan seperti kaunseling atau penalti kewangan," menurut MSF dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp.
"Penilaian prestasi pegawai itu juga boleh disemak semula, yang boleh menimbulkan kesan akibat kewangan."
Pegawai itu masih berkhidmat dengan MSD dan diberikan sokongan emosi sewajarnya, menurut MSF.
Panel itu menentukan bahawa pegawai itu seharusnya lebih peka terhadap maklumat yang disediakan oleh Beyond Social Services berkaitan kecederaan yang dialami Megan; pelibatan Foo dan Wong dengan dadah; dan keprihatinan yang diluahkan oleh seorang pekerja khidmat sosial dari Beyond Social Services.
Pegawai itu juga tidak mendaftarkan satu panggilan dari Beyond Social Services, yang bertentangan dengan proses yang ditetapkan di CPS pada ketika itu, menurut panel semakan itu.
"Oleh demikian, panggilan itu tidak dibincangkan lanjut bersama penyelia yang bertugas, seperti prosedur standard yang ditetapkan bagi semua panggilan telefon melibatkan CPS."
Beberapa kelemahan berhubung cara Beyond Social Services dan HEART@Fei Yue mengendalikan kes Megan juga dibentangkan dalam laporan panel semakan itu.
Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, Beyond Social Services menyatakan keputusan yang dibuat oleh kakitangannya ketika itu "berdasarkan pertimbangan profesional, yang dilaksanakan mengikut protokol sedia ada".
Namun, walaupun tiada sebarang pelanggaran prosedur atau salah laku ditemui, "ia tidak menggugurkan tanggungjawab kami untuk melakukan yang lebih baik", menurut Beyond Social Services.
Agensi itu menyatakan sejak insiden itu berlaku, mereka sudah melatih semula para kakitangannya, mengukuhkan penyeliaan dan memperkenalkan langkah-langkah perlindungan baharu untuk memastikan "setiap kanak-kanak yang kami dampingi dapat dilindungi dengan lebih baik".
HEART@Fei Yue menyatakan ia tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai yang terlibat kerana isu itu berkaitan dengan prosedur dan bukan salah laku individu.
Berdasarkan saranan panel supaya kes itu dikendalikan sebagai rujukan penuh dan bukan rujukan penilaian awal, HEART@Fei Yue mengakui keperluan untuk mengetatkan protokol dan ia sudah pun mengukuhkan prosesnya, menurut pertubuhan itu dalam responsnya.
RESPONS DARIPADA AGENSI-AGENSI
Pengarah Perkhidmatan Perlindungan di MSF, Carmelia Nathan berkata agensi itu akan terus mempertingkatkan dan mengukuhkan amalan keselamatan, penyelarasan dan kerjasama antara agensi, dan pembinaan keupayaan dalam kalangan rakan kongsi serta kakitangan.
"CPS sudah pun memastikan bahawa semua panggilan masuk ke talian bantuan kebangsaan anti-keganasan dan gangguan seksual (NAVH) dirakam, ditranskripsi dan didaftarkan secara automatik sebagai rekod kes dalam sistem pengurusan kes," katanya.
"Ini memastikan kebertanggungjawaban dan membolehkan kita untuk menyemak dan mengukuhkan perkhidmatan barisan hadapan secara berkala, melakukan latihan kakitangan dan akhir sekali, menyediakan sokongan lebih konsisten kepada kanak-kanak yang menghadapi risiko."
Timbalan Pesuruhjaya Siasatan dan Risikan SPF, Zhang Weihan berkata proses dan sistem dilaksanakan untuk memastikan aduan polis diberikan "perhatian sewajarnya" berdasarkan fakta dan keadaan setiap kes, dan tindakan susulan diambil segera.
Presiden Beyond Social Services, Alvin Yapp berkata pertubuhannya ingin mengambil iktibar daripada kejadian itu bagi memastikan ia “tidak akan berlaku lagi.”
“Laporan kejadian kami seharusnya lebih cepat dan lengkap, dan atas sebab ini kami benar-benar mohon maaf".
Sejak 2020, agensi itu memperkenalkan langkah-langkah seperti peningkatan berasaskan pasukan yang dipimpin oleh pakar-pakar perlindungan kanak-kanak; mengukuhkan proses laporan dan penyimpanan rekod; dan merasmikan proses penyerahan kes kepada agensi-agensi yang mengendalikan kes-kes sedemikian, terutama sekali apabila ia melibatkan kes berisiko tinggi atau kanak-kanak itu tidak dapat dikesan.
"Kami tetap bertanggungjawab," kata Encik Yapp.
"Kami akan terus bekerja sebagai satu rangkaian, dan kami akan terus mengukuhkan amalan kita supaya keselamatan setiap kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan."
Dalam satu lagi respons kepada Mediacorp, Beyond Social Services menyatakan tragedi itu mempunyai "kesan emosi mendalam" terhadap kakitangannya.
"Mereka masih menanggung beban emosi daripada apa yang berlaku. Tumpuan kami adalah untuk memberi sokongan kepada mereka sedang mereka menjalankan tugas, di samping memastikan pengajaran yang ditimba membawa kepada perlindungan dan jagaan lebih kukuh bagi setiap kanak-kanak yang kami dampingi," menurut Beyond Social Services.
HEART@Fei Yue menyatakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan tugas perlindungan kanak-kanak berasaskan masyarakat, pertubuhan itu mendampingi NAVH dan berunding dengan perkhidmatan perlindungan apabila maklumat yang diterima tidak mencukupi atau apabila ia berdepan cabaran untuk melakukan penilaian risiko menyeluruh.
Dalam situasi di mana ibu bapa menghalang akses kepada kanak-kanka dan keprihatinan perlindungan kanak-kanak dikenal pasti, pertubuhan itu akan melaksanakan protokol yang ditetapkan untuk membuat aduan polis dalam tempoh 24 jam, selain memaklumkan perkara itu kepada perkhidmatan perlindungan secara serentak.
"Perlindungan kanak-kanak adalah bidang kerja yang rumit dan mencabar, yang memerlukan pembelajaran berterusan, sistem yang kukuh dan kerjasama dalam kalangan rakan-rakan kongsi," kata Ketua Pegawai Eksekutif Fei Yue Community Services, Encik Arthur Ling.
“Kami mengambil serius saranan daripada panel semakan dan akan terus mengukuhkan amalan kami serta bekerja rapat dengan para keluarga dan rakan kongsi supaya dapat memberi sokongan lebih baik kepada individu yang kami dampingi."
AMBIL IKTIBAR DARIPADA KEJADIAN LALU
Encik Masagos berkata panel semakan itu mengiktiraf "usaha bersepadu" yang dilaksanakan sejak 2020 bagi mengukuhkan ekosistem perlindungan kanak-kanak.
"Kami mengambil iktibar daripada kes-kes pada masa lalu, termasuk kes Megan, untuk meningkatkan keupayaan penyelarasan dan kesedaran di seluruh sektor," kata Encik Masagos.
Panel itu juga memberikan tujuh saranan untuk meningkatkan kejelasan peranan para karyawan dalam ekosistem perlindungan kanak-kanak; membina ekosistem yang lebih teguh dengan budaya pembelajaran yang kukuh; dan menyediakan sokongan lebih berstruktur demi kersejahteraan para pengamal perlindungan kanak-kanak.
Bercakap tentang tugas karyawan perkhidmatan sosial berhubung kes penderaan kanak-kanak, Encik Masagos akur ia tidak mudah dan para individu itu perlu tabah dalam melalui hubungan dan kelakuan klien mereka yang 'rumit'.
"Saya berharap sebagai sebuah masyarakat, kita dapat menghargai usaha pegawai perlindungan kita yang berjaya memberi campur tangan dalam banyak kes.
"Mereka bertugas di barisan hadapan dan melakukan tugas yang baik demi kita," katanya.
"Dan jika, dan apabila mereka gagal, seperti dalam kes Megan, saya berharap walaupun kita mahukan sistem ini lakukan lebih baik, kita tetap akan memberi sokongan kepada para karyawan kita - sama seperti mereka memberi sokonga kepada kanak-kanak dan keluarga id bawah jagaan mereka."
Encik Masagos menyimpulkan ulasannya dengan berkata bahawa MSF akan terus mendampingi dan bekerjasama rapat dengan para karyawan, agensi perkhidmatan sosial dan prasekolah bagi mengukuhkan lagi ekosistem perlindungan kanak-kanak.
"Dengan sokongan Singapura, kami dapat mengukuhkan sistem dalaman kita. Kami akan bekerjasama untuk membaiki bagaimana setiap agensi dapat berhubungan lebih baik dengan satu sama lain," katanya,
"Kami akan mengambil iktibar daripada kejadian ini dan melakukan yang lebih baik."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.