'Masa paling teruk' untuk adakan Pilihan Raya: Ketua SDP Chee Soon Juan
Pilihan Raya Umum sepatutnya diadakan hanya selepas ada "tanda-tanda jelas bahawa situasi (COVID-19) telah reda", kata ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan pada Sabtu (14 Mac).
SINGAPURA: Pilihan Raya Umum sepatutnya diadakan hanya selepas ada "tanda-tanda jelas bahawa situasi (COVID-19) telah reda", kata ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan pada Sabtu (14 Mac).
Bercakap kepada para wartawan sehari selepas laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) dikeluarkan, Dr Chee mengkritik masa ia dilakukan.
"Jangan lupa, mereka (EBRC) mempunyai tujuh hingga lapan bulan untuk melakukannya. Tetapi mereka menunggu sehingga penularan virus ini sampai ke tahap paling teruk, ketika pandemik baru diisytiharkan," kata Dr Chee.
"Ia adalah masa paling teruk untuk mengadakan pilihan raya pada peringkat ini ... PAP tidak bertanggungjawab melakukan perkara seperti ini bila kita sepatutnya menumpukan sumber negara kepada usaha mengatasi virus ini," kata Dr Chee.
Beliau berkata dengan pilihan raya yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada April 2021, parti beliau akan terus menggesa PAP untuk "secara jelas memberitahu kami bahawa tiada pilihan raya akan diadakan sehingga terdapat tanda-tanda jelas penularan ini sudah dibendung dan dihentikan ... bukan ketika DORSCON masih Jingga".
Pemerintah telah menerima saranan EBRC dan ia terpakai untuk pilihan raya umum seterusnya. Langkah selanjutnya adalah bagi Presiden Halimah Yacob untuk membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Pada 2015, laporan itu dikeluarkan pada 24 Jul, sebulan sebelum parlimen dibubarkan. Hari mengundi bagi pilihan raya lalu adalah pada 11 Sep, 2015.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.