Masa menunggu lebih panjang; penutupan awal bagi sebilangan stesen MRT dari April hingga Jun
Para penumpang kereta api boleh menjangkakan masa menunggu lebih lama dan penutupan lebih awal bagi sesetengah stesen MRT dari April hingga Jun tahun ini.

Kereta api SMRT di depot Kim Chuan (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Para penumpang kereta api boleh menjangkakan masa menunggu lebih lama dan penutupan lebih awal bagi sesetengah stesen MRT dari April hingga Jun tahun ini.
Penyesuaian ini adalah sebahagian daripada usaha untuk melanjutkan masa yang diperlukan untuk menjalankan kerja-kerja kejuruteraan bagi memudahkan kerja-kerja pembaharuan dan penyenggaraan sistem pembekalan tenaga, menurut SMRT dalam kenyataan medianya pada Isnin (25 Mac).
Pada April, masa menunggu antara 10 hingga 15 minit boleh dijangkakan bagi khidmat kereta api di Laluan Utara-Selatan (NSL) antara stesen MRT Orchard dengan City Hall.

Khidmat NSL antara stesen City Hall dengan Raffles Place juga ditiadakan sepanjang tempoh tersebut. Para penumpang dinasihatkan supaya menggunakan Laluan Timur-Barat (EWL), menurut SMRT.
PENUTUPAN AWAL
Pada Mei dan Jun pula, tujuh stesen MRT di laluan EWL dari Lavender ke Bedok akan ditutup lebih awal pada 11.00 malam pada hari Jumaat dan Sabtu tertentu.

Khidmat bas ulang-alik antara stesen Bugis dan Tanah Merah akan disediakan sepanjang tempoh tersebut. Bas-bas ulang-alik akan mengambil dan menurunkan penumpang di perhentian-perhentian bas yang ditetapkan berhampiran stesen-stesen MRT yang terjejas.

Keberangkatan kereta api terakhir dari setiap stesen juga berbeza sepanjang tempoh tersebut.
"Para penumpang dinasihatkan supaya memeriksa waktu khidmat kereta api di stesen-stesen MRT yang terjejas, atau melalui laman web SMRT Trains dan wadah media sosial, untuk merancang perjalanan mereka lebih awal," menurut SMRT.
"Lebih banyak masa juga diperlukan untuk membuat perjalanan antara stesen-stesen MRT yang menggunakan khidmat bas ulang-alik," tambah pengendali pengangkutan awam itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.