Skip to main content

Singapura

Masa menunggu lebih lama hingga 17 minit di Stesen MRT Bedok, Kembangan; kerja-kerja Laluan Timur-Barat masuk fasa akhir

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Dec 2025 03:10PM Dikemas Kini : 25 Dec 2025 11:22PM
SINGAPURA: Para penumpang yang melakukan perjalanan antara Kembangan dan Bedok mungkin perlu menunggu sehingga 17 minit di luar waktu sibuk sedang kerja-kerja menghubungkan Laluan Timur-Barat ke depoh MRT baharu memasuki fasa terakhir.

Kemas kini itu diberikan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (5 Dis) semasa penutupan MRT Simei dan Tanah Merah selama 10 hari yang dirancangkan, yang bermula pada 29 November.

MRT tidak beroperasi antara stesen Bedok dan Tampines, serta antara stesen Tanah Merah dan Expo. Ini bagi memudahkan kerja-kerja penyambungan landasan ke Depoh Bersepadu East Coast yang baharu.

Kerja-kerja masih dijangka siap menjelang 8 Dis, dengan perkhidmatan biasa disambung semula menjelang 9 Dis.

Bercakap kepada media padai Jumaat (5 Nov), Encik Chia Choon Poh, Pengarah Kumpulan Rel (Elektrik dan Mekanikal) di LTA berkata bahawa kelengahan yang lebih lama disebabkan oleh kerja-kerja pengujian semula.

“Sebab di sebalik ini adalah kerana kami perlu menggunakan salah satu platform di stesen Bedok dan Kembangan untuk ujian,” katanya.

Proses ujian semula, yang bermula pada petang Khamis, terdiri daripada ujian rel ketiga yang membekalkan tenaga kepada MRT, serta memastikan peralatan tepi landasan tidak menghalang MRT.

MRT juga akan dikendalikan pada kelajuan yang lebih perlahan bagi memastikan isyarat landasan berfungsi dengan betul.

Encik Chia menambah bahawa sejak enam hari lalu, 880 jurutera dan kontraktor LTA dan SMRT telah bekerja sepanjang masa untuk menghapuskan komponen landasan dan rel sedia ada dan menyambung semula rel dan landasan baharu ke depoh baharu.

Sambungan ke depoh akan membolehkan MRT ditempatkan dan diselenggara di sana dan mengurangkan kesesakan MRT di Laluan Timur-Barat.

Depoh empat dalam satu ini akan menempatkan MRT dari Laluan Timur-Barat, Laluan Downtown dan Laluan Thomson-East Coast, serta bas di depoh bas.

Semasa jurutera sedang bekerja di landasan, lebih daripada 280 kakitangan dari LTA, SMRT, dan SBS Transit telah dikerahkan untuk membantu penumpang dalam perjalanan mereka, seperti dengan mengiring penumpang ke bas ulang-alik.

Dua laluan ulang-alik telah beroperasi antara stesen-stesen yang terjejas untuk mengekalkan ketersambungan.

Bas ulang-alik nombor 7 melakukan perjalanan antara stesen Bedok dan Tampines pada kekerapan tiga hingga lima minit, berhenti di stesen Tanah Merah dan Simei semasa melakukan perjalanan tersebut.

Bas ulang-alik nombor 8 beroperasi antara stesen Bedok dan Expo, berhenti di stesen Tanah Merah semasa dalam perjalanannya, dan beroperasi pada selang 10 minit.
Penumpang membayar tambang yang sama untuk bas ulang-alik seperti yang mereka bayar bagi khidmat MRT.

Encik Chia berkata walaupun hujan lebat pada beberapa hari, kerja-kerja telah diteruskan dan menepati sasaran untuk menyambung semula perkhidmatan penuh pada 9 Dis.

Penumpang juga harus mengambil perhatian tentang platform baharu yang akan dibuka untuk MRT arah timur menuju ke Pasir Ris, katanya lagi.

Beliau merujuk kepada platform baharu yang sedang dibina di Stesen Tanah Merah untuk MRT ke timur menuju ke Pasir Ris, sebagai sebahagian daripada kerja-kerja untuk menukar stesen tersebut menjadi sebuah pusat pertukaran yang juga menyediakan khidmat di Laluan Thomson-East Coast.

Setelah siap kelak, para penumpang yang melakukan perjalanan dari Expo atau Lapangan Terbang Changi dan berpindah di Tanah Merah menuju ke Pasir Ris atau sebaliknya perlu turun ke ruang legar (concourse) stesen dan kemudian naik ke platform baharu – satu perubahan daripada pemindahan rentas platform sebelum ini.

Para penumpang yang menuju arah barat ke Tuas Link tidak terjejas.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita