Skip to main content

Singapura

Masa menunggu lebih lama bagi jabatan A&E Hospital Changi, Sengkang dan Tan Tock Seng

Tiga hospital awam di Singapura pada Rabu (14 Mei) menasihati para pesakit supaya menjangkakan masa menunggu lebih lama di jabatan kecemasan masing-masing disebabkan oleh jumlah pesakit yang ramai.

Anggaran Waktu Membaca:
Masa menunggu lebih lama bagi jabatan A&E Hospital Changi, Sengkang dan Tan Tock Seng

Anggota kakitangan dan pejalan kaki dilihat di luar Hospital Tan Tock Seng di Singapura pada 30 Apr 2021. (Gambar: Calvin Oh/CNA)

SINGAPURA: Tiga hospital awam di Singapura pada Rabu (14 Mei) menasihati para pesakit supaya menjangkakan masa menunggu lebih lama di jabatan kecemasan masing-masing disebabkan oleh jumlah pesakit yang ramai.

Hospital Tan Tock Seng (TTSH) turut memuat naik makluman mengenai situasi itu di laman webnya, manakala Hospital Besar Changi (CGH) dan Hospital Besar Sengkang (SKH) menasihatkan mereka yang tidak mengalami keadaan serius agar mendapatkan rawatan di klinik-klinik GP.

"Jika anda perlu dimasukkan ke dalam wad, anda mungkin perlu menunggu selama beberapa jam," menurut TTSH di laman webnya.

"Pasukan perubatan kami akan menjaga anda di jabatan kecemasan sehingga anda dimasukkan ke dalam wad."

Dalam satu catatan Facebook, SKH menyatakan keutamaan akan diberikan mengikut keadaan pesakit.

"Bagi keadaan yang tidak serius, tidak kritikal, sila dapatkan rawatan di klinik GP, poliklinik atau Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC).

"Mereka boleh memberikan rawatan dan membantu anda jika anda perlukan rawatan kecemasan di hospital," ia menambah.

CGH juga memuat naik nasihat serupa di laman Facebooknya.

"Bantu kami jimatkan masa dan selamatkan nyawa dengan membolehkan karyawan perubatan kami memberi tumpuan kepada kes kecemasan kritikal dan lebih mendesak," ia menyatakan sambil menambah, mereka yang mengalami gejala ringan hingga sederhana seperti batuk, sakit tekak atau selesema harus berjumpa doktor di klinik GP atau PHPC.

Mediacorp sudah pun menghubungi ketiga-tiga hospital awam itu dan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk maklumat lanjut mengenai masa menunggu dan bilangan pesakit yang lebih tinggi.

Pada Selasa (13 Mei), MOH dan Agensi Penyakit Berjangkit menyatakan mereka sedang memantau peningkatan dalam jumlah kes COVID-19.

Jumlah kes COVID-19 dianggarkan meningkat 14,200 pada minggu antara 27 April dengan 3 Mei, iaitu naik daripada 11,100 kes pada minggu sebelumnya.

Pihak berkuasa menyatakan hospital-hospital di Singapura pada masa ini masih dapat menampung kenaikan dalam jumlah kes.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita