Masa depan pekerja runcit samar-samar sedang Plaza Singapura mulakan kerja naik taraf besar-besaran
Para pekerja runcit di kedai-kedai Plaza Singapura berkata pada Khamis (2 Jul) bahawa mereka tidak pasti mengenai masa depan mereka, kira-kira sebulan sebelum kerja naik taraf pusat beli-belah itu, yang dianggarkan bernilai S$160 juta, dijadual bermula.
Bahagian dalam pusat beli-belah Plaza Singapura, pada 2 Julai 2026. (Gambar: CNA/Erin Liam)
- Pekerja dan penyewa di Plaza Singapura berdepan ketidakpastian menjelang projek naik taraf bernilai S$160 juta yang akan bermula Ogos 2026.
- CapitaLand telah memaklumkan penyewa secara berperingkat tentang jadual dan skop kerja, namun ramai pekerja masih belum pasti tentang masa depan mereka.
- Beberapa kedai seperti Golden Village, Tim Ho Wan dan Secret Recipe mengumumkan penutupan, manakala sesetengah penyewa menolak tawaran lokasi baharu kerana faktor perniagaan.
- Projek ini bertujuan memperbaharui kemudahan, memperbaiki pengalaman pengunjung dan menyesuaikan Plaza Singapura sebagai destinasi gaya hidup, namun proses naik taraf dijangka memberi kesan kepada operasi dan jumlah pengunjung.
Menurut surat pekeliling bertarikh 1 Julai yang dikeluarkan oleh pengendali pusat beli-belah itu, CapitaLand, kepada para penyewa dan dilihat oleh Mediacorp, fasa pertama kerja-kerja tersebut dijadual berlangsung dari Ogos 2026 hingga Mac 2027.
Ia melibatkan penyusunan semula unit-unit runcit serta makanan dan minuman (F&B), laluan penghubung di aras 1, kerja-kerja di jambatan aras 3 dan penyusunan semula di aras 7.
Kerja-kerja juga akan dijalankan di kawasan tempat letak kereta serta kawasan awam.
Fasa kedua akan dijalankan dari Mac 2027 hingga Mac 2028, melibatkan kerja-kerja di aras 1 dan 5, selain kawasan tempat letak kereta dan kawasan awam.
Tangga bergerak dan laluan orang ramai di pusat beli-belah itu pula akan dinaik taraf dari Julai 2027 hingga April 2028.
Fasa ketiga, dari Februari 2028 hingga Oktober 2028, melibatkan penyusunan semula unit-unit runcit serta F&B di aras bawah tanah, selain kerja-kerja di kawasan awam.
"Memandangkan kerja-kerja naik taraf akan dijalankan secara berperingkat, Plaza Singapura akan terus beroperasi dan dibuka seperti biasa," menurut CapitaLand dalam surat pekeliling tersebut.
"Akses umum di Plaza Singapura dan ke premis anda akan terus dikekalkan, dan usaha akan dilakukan bagi meminimumkan gangguan terhadap operasi perniagaan anda."
Apabila Mediacorp mengunjungi pusat beli-belah itu pada Khamis, tiada notis penutupan dipaparkan.
Namun, pekerja di sekurang-kurangnya 10 kedai memberitahu Mediacorp bahawa mereka tidak pasti mengenai perancangan masa depan masing-masing.
Ada antara mereka yang mengatakan pihak pengurusan masih belum memaklumkan tentang langkah seterusnya.
Beberapa kedai dijadual ditutup sebelum kerja-kerja naik taraf bermula, manakala beberapa lot kedai di aras 1, 2 dan 3 sudah ditutup dengan papan penghadang.
CapitaLand memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya telah berhubung secara berperingkat dengan para penyewa mengenai projek naik taraf itu sejak awal tahun ini dan memaklumkan mereka mengenai jadual serta skop kerja-kerja yang akan dijalankan sebelum ia bermula.
"Para penyewa juga sentiasa menerima maklumat terkini menerusi komunikasi yang dijalankan secara berkala dan mengikut jadual, termasuk pengumuman yang diselaraskan dengan penyewa tertentu seperti Golden Village, serta pekeliling terbaharu yang dikeluarkan pada 1 Julai 2026," kata jurucakap itu sambil menambah bahawa perkembangan terkini dikongsi pada setiap peringkat penting apabila perancangan dimuktamadkan secara berperingkat.
Jurucakap itu turut berkata CapitaLand sedang "bekerjasama rapat" dengan para penyewa bagi menyediakan "pilihan yang bersesuaian mengikut keperluan perniagaan mereka".
"Sebarang pemindahan dalam pusat beli-belah itu dirancang dengan teliti bagi memastikan keseimbangan dalam campuran penyewa serta pengalaman yang baik untuk kedua-dua penyewa dan pengunjung.
"Sepanjang pelaksanaan projek naik taraf aset (AEI), kami akan terus menarik kehadiran pengunjung menerusi kempen-kempen pemasaran yang bersasar, acara dan inisiatif pendampingan pembeli, bagi memastikan pusat beli-belah ini kekal sebagai destinasi yang meriah dan bertenaga sepanjang proses transformasi ini."
KETIDAKPASTIAN
Rangkaian pawagam Golden Village mengumumkan pada Rabu bahawa cawangannya di aras 7 akan ditutup pada Ogos ini, sambil merujuk kepada projek naik taraf pusat beli-belah tersebut.
Apabila ditanya sama ada cawangan itu akan dibuka semula di Plaza Singapura pada masa hadapan, jurucakap Golden Village berkata pihaknya "belum mempunyai sebarang rancangan yang disahkan untuk dikongsikan" buat masa ini.
Francis Kee, seorang kakitangan kedai barangan koleksi Caesars yang turut terletak di aras 7, memberitahu Mediacorp pada Rabu bahawa mereka telah ditawarkan lokasi baharu di Plaza Singapura, namun memilih untuk tidak menerimanya.
"Disebabkan oleh faktor-faktor seperti aliran pelanggan, persekitaran keseluruhan dan tahap keterlihatan kedai, kami memutuskan untuk tidak menerima tawaran itu ... kami tidak mahu terus membuat komitmen jangka panjang kerana kami sangat tidak pasti dengan apa yang akan berlaku pada masa hadapan," tambah beliau.
Kedai itu akan ditutup pada pertengahan Ogos dan akan meneruskan operasi secara online.
Seorang pengurus di Pandora berkata surat pekeliling tersebut merupakan kali pertama beliau dimaklumkan mengenai butiran kerja-kerja naik taraf itu.
Beliau menambah bahawa pihak pengurusan kini sedang mempertimbangkan sama ada untuk menamatkan operasi sebelum tempoh pajakan berakhir pada Oktober atau melanjutkan pajakan sehingga hujung tahun.
Mediacorp telah menghubungi Pandora bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Apabila dihubungi menerusi nombor rasmi WhatsApp, Secret Recipe memaklumkan cawangannya di aras 3 Plaza Singapura akan ditutup secara kekal, dengan hari terakhir operasinya pada 27 Julai.
Seorang pekerja di restoran itu berkata beliau berasa sedih apabila dimaklumkan bulan lalu bahawa premis tersebut akan ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf pusat beli-belah itu.
Katanya, sebahagian pekerja di sana telah bertugas selama 10 hingga 15 tahun, dan beliau sendiri tidak pasti mengenai perancangan masa depan restoran itu.
Seorang pekerja di sebuah kedai fesyen yang enggan dikenal pasti berkata beliau dan dua lagi rakan sekerja akan meninggalkan pekerjaan mereka sebelum kerja-kerja naik taraf bermula.
"Kami memang tahu ia akan memberi kesan kepada kami, jadi kami tidak mahu mengambil risiko," kata beliau sambil menambah bahawa beliau sudah memperoleh pekerjaan baharu.
"Kerja-kerja ubah elok memang akan memberi kesan. Takkan kedai yang sudah beroperasi (perlu) ditutup begitu sahaja untuk kami. Ke mana mereka hendak pergi? Kami memang tidak tahu," katanya sambil merujuk kepada kesukaran untuk memindahkan kedai-kedai yang terjejas ke lokasi lain dalam pusat beli-belah itu.
Ada juga yang bimbang kerja-kerja ubah elok akan menjejas jumlah pengunjung secara keseluruhan.
Emily Koh, seorang kakitangan kedai pakaian, berkata kerja-kerja naik taraf secara berperingkat mungkin menjejas kehadiran para pengunjung.
"Pawagam pun akan ditutup tidak lama lagi ... Kalau pusat beli-belah tiada pawagam, orang pun akan berkurangan," kata Cik Koh sambil menambah beliau masih belum pasti bagaimana projek naik taraf itu akan menjejas kedai tempat beliau bekerja.
Rangkaian restoran dim sum Tim Ho Wan mengumumkan bulan lalu bahawa cawangannya di Plaza Singapura akan ditutup pada 12 Julai sebagai sebahagian daripada projek pembangunan semula pusat beli-belah itu.
Projek naik taraf besar-besaran Plaza Singapura dan The Atrium@Orchard pertama kali diumumkan dalam kemas kini perniagaan suku pertama 2026 CapitaLand Integrated Commercial Trust (CICT) pada 24 April.
CICT menyatakan bahawa projek itu sejajar dengan rancangan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk memperluaskan kawasan pejalan kaki di Orchard Road serta membesarkan kawasan Istana Park.
Sebagai sebahagian daripada usaha itu, reka bentuk Plaza Singapura akan dikemas kini bagi mewujudkan hubungan yang lebih baik antara pusat beli-belah tersebut dengan kawasan hijau di sekitarnya.
Antara perubahan utama termasuk pintu masuk baharu di aras 1 yang menghadap Orchard Road dengan kafe-kafe sepanjang hari yang dikelilingi kehijauan; wajah baharu di kawasan untuk mengambil dan menurunkan penumpang di Handy Road yang diinspirasikan daripada bentuk geometri semula jadi; kemasan dalaman yang dinaik taraf serta penambahan konsep runcit dan pengalaman baharu di laluan bawah tanah ke Stesen MRT Dhoby Ghaut; selain menukar jejantas sedia ada di aras 3 dan 5 kepada sebuah "taman terapung" yang menampilkan pilihan tempat makan baharu.
CICT turut mendedahkan bahawa projek naik taraf itu akan menyegarkan semula campuran penyewa pusat beli-belah tersebut dengan memberi tumpuan kepada pengalaman, hiburan dan konsep makanan bertema yang disasarkan kepada para pembeli tempatan serta pelancong.
Tambahnya, kerja-kerja tersebut merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk meletakkan Plaza Singapura sebagai destinasi gaya hidup yang melangkaui konsep runcit tradisional.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.