MAS terus ambil langkah lanjut bagi perketat dasar kewangan di tengah kenaikan inflasi
(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) hari ini menyatakan ia akan "terus mengambil langkah-langkah bersasar" untuk memperketat dasar kewangan di tengah-tengah kenaikan inflasi.
Ini merupakan kali keempat sejak Oktober tahun lalu, MAS memperketat dasar kewangannya.
"Sejak oktober 2021, MAS sudah menuju ke arah usaha mengetatkan dasar keweangannya secara bertahap-tahap memandangkan inflasi asas meningkat dan pemulihan ekonomi pula semakin mantap," tambah MAS.
Ia menambah bahawa inflasi teras dijangka naik menjangkaui empat peratus dalam jangka dekat.
"Sekalipun ia seharusnya merosot pada suku keempat 2022, terdapat ketidaktentuan yang ketara berhubung kemerosotannya," tambah MAS.
"Dalam masa yang sama, ekonomi Singapura terus berada di landasan yang betul untuk tumbuh pada rentak yang agak baik pada 2022, meskipun momentumnya perlahan."
Bank pusat itu menyatakan ia adalah langkah berhemat untuk terus memperketat dasar kewangan "untuk mengawal tekanan harga daripada berlarutan".
MAS menambah ia akan melaraskan semula paras pertengahan jalur dasar kadar pertukaran efektif nominal dolar Singapura (S$NEER) ke paras semasa.
"Tiada perubahan pada kecerunan dan keluasan jalur tersebut. Langkah dasar ini, yang diteruskan daripada langkah yang diambil sebelum ini, harus membantu memperlahankan momentum inflasi dan memastikan harga stabil dalma jangka pertengahan," tambah MAS.
Tidak seperti bank pusat lain yang menyasarkan kadar faedah, MAS menggunakan kadar pertukaran sebagai kaedah dasar kewangan utama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.