MAS peruntukkan S$220 juta pacu inovasi sektor fintech: Gan Kim Yong
Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) Gan Kim Yong berucap kepada media, 31 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
- MAS mengumumkan peruntukan S$220 juta bagi mempercepat inovasi sektor fintech melalui FSTI 4.0 selama tiga tahun di Singapura.
- Skim ini menyokong pembangunan prasarana teknologi, penggunaan AI, dan pembangunan bakat, termasuk pembiayaan bersama elaun latihan industri untuk sekurang-kurangnya 1,000 peluang latihan.
- Portal latihan industri fintech baharu, fintechinternships.sg, diperkenalkan untuk menghubungkan syarikat fintech dengan pelajar institusi pengajian tinggi.
- Langkah ini bertujuan menangani kekurangan bakat dalam bidang teknologi termaju dan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab fintech serantau dan global.
Pelaburan itu akan disalurkan sepanjang tempoh tiga tahun dan merupakan pusingan keempat Skim Teknologi dan Inovasi Sektor Kewangan (FSTI), yang bertujuan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab fintech yang rancak dan berdaya saing.
Skim itu bertujuan membangunkan prasarana teknologi bagi membolehkan sektor kewangan menggunakan penyelesaian teknologi baharu serta menyokong pembangunan dan tarikan bakat untuk industri berkenaan, menurut MAS dalam satu kenyataan media.
MAS menyatakan skim itu akan membantu membina “kumpulan bakat muda untuk ekosistem fintech Singapura” dengan membiayai bersama elaun latihan industri, bagi menyokong sekurang-kurangnya 1,000 peluang latihan industri fintech dalam tempoh tiga tahun akan datang. Rakyat Singapura layak menyertai skim ini.
MAS juga berusaha menempatkan dan mengembangkan kegiatan inovasi di Singapura serta mempercepat teknologi kewangan, dengan tumpuan kepada teknologi termaju, tambah bank pusat itu.
“Secara keseluruhan, usaha ini akan membantu institusi kewangan, firma fintech dan pekerja kita berinovasi, berkembang serta membina keupayaan untuk merebut peluang yang muncul,” kata DPM Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan serta Pengerusi MAS.
Skim itu pertama kali diperkenalkan MAS pada 2015. Sejak itu, lebih 350 projek fintech sudah disokong di bawah program berkenaan.
Beliau berkata Singapura mempunyai lebih 1,800 syarikat fintech, yang kebanyakannya sudah berkembang ke rantau ini dan juga menyediakan perkhidmatan kepada pasaran dunia.
Industri itu juga menggajikan sekitar 10,000 orang, katanya.
“Dan tahun lalu, pada 2025, kita sudah menyaksikan jumlah pelaburan hampir S$3 bilion dalam fintech sahaja. Lantas saya fikir momentum ini akan berterusan, dan kita berharap FSTI 4.0 akan terus memberikan rangsangan kepada industri fintech,” katanya.
SOKONGAN TENAGA KERJA
Pusingan terbaharu skim itu, FSTI 4.0, akan dilaksanakan melalui enam laluan meliputi inovasi institusi, penggunaan kecerdasan buatan AI, prasarana dan platform serta pembangunan bakat, menurut MAS.
Selain membiayai bersama elaun latihan industri dalam tempoh tiga tahun akan datang, MAS mengumumkan Portal Latihan Industri FinTech baharu, fintechinternships.sg, yang diuruskan oleh Persatuan Fintech Singapura (SFA).
Portal itu akan menghubungkan syarikat-syarikat fintech dengan para pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi untuk latihan industri dalam bidang perniagaan, teknologi dan peranan lain.
Sektor fintech berdepan kekurangan bakat dan kadar tinggi pekerja yang berhenti.
Laporan bakat SFA 2025 menyatakan industri itu berdepan “kekurangan ketara” bakat dalam bidang AI, sains data, keselamatan siber dan seni bina awan.
TEKNOLOGI TERMAJU
MAS menyatakan ia akan memberikan tumpuan kepada teknologi perintis seperti AI, teknologi lejar teragih dan teknologi kuantum.
Laluan AI Pathfinder akan membantu mempercepatkan penggunaan penyelesaian AI yang sudah diuji pasaran dan disenaraikan di PathFin.ai serta memacu penggunaan AI merentas sektor dalam perkhidmatan kewangan, tambah bank pusat itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.