Skip to main content

Singapura

MAS peruntuk S$35 juta tingkatkan sektor kewangan mampan bagi penuhi keperluan serantau

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Apr 2024 07:11PM Dikemas Kini : 17 Apr 2024 08:56PM
SINGAPURA: Bank pusat Singapura memperuntukkan S$35 juta bagi mereka yang ingin mempertingkatkan diri dalam bidang kewangan mampan.

Sepanjang tiga tahun akan datang, lebih banyak kursus bakal tersedia bagi bidang tersebut.

Ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan sektor kewangan Singapura memenuhi keperluan serantau yang terus meningkat.

Sebuah kajian yang bersama oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS), mendedahkan bahawa lebih 50,000 karyawan sektor kewangan perlu mengendali tugas tambahan berkaitan kewangan mampan dalam pekerjaan sehari-hari.

Dalam era di mana sudut kemampanan semakin penting,
sektor kewangan juga tidak ketinggalan.

"Jika Singapura ingin menjadi hab kewangan mampan terkemuka di Asia, kita perlu lengkapkan tenaga kerja kita agar berada di hadapan terkait kewangan mampan yang kompleks dan pesat berkembang, daripada sudut isu dan peluang,"kata Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan, Alvin Tan.

Satu kajian yang dijalankan syarikat KPMG membentangkan kesan trend kemampanan ke atas pekerjaan di sektor perkhidmatan kewangan Singapura.

Antara dapatan utama, pasaran kewangan mampan di ASEAN berpotensi mencecah sehingga S$5 trilion.

Oleh itu, pentingnya menimba ilmu serta meningkatkan kepakaran di bidang tersebut.

Ini termasuk menjadikan produk khusus tertentu lebih sesuai untuk memenuhi penanda kemampanan.

Menerusi dana S$35 juta yang diperuntukkan, MAS akan mengembangkan rangkaian kursus bagi kewangan mampan.

Dua program sarjana muda baharu akan dibangunkan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), di samping lebih 65 kursus eksekutif baharu yang akan dilancarkan tahun ini oleh pelbagai institut pengajian tinggi serta para penyedia latihan.

Ini tambahan kepada lebih 100 kursus berkaitan kewangan mampan sedia ada yang sudah diiktiraf.

Turut diperkenal, lencana kemahiran yang dikeluarkan Institut Perbankan dan Kewangan, bagi golongan karyawan yang memperoleh kemahiran yang diperlukan.

Ia akan menjadi penanda aras industri untuk mengiktiraf penguasaan bidang tersebut dan menyokong pengambilan dan kenaikan pangkat oleh majikan.
Sumber : CNA/AT/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita