Skip to main content

Singapura

MAS longgarkan dasar kewangan buat kali kedua tahun ini; turunkan unjuran inflasi teras

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Isnin (14 Apr) melonggarkan dasar kewangan buat kali kedua berturut-turut menyusuli kebimbangan ekonomi yang meningkat akibat perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China.

Anggaran Waktu Membaca:
MAS longgarkan dasar kewangan buat kali kedua tahun ini; turunkan unjuran inflasi teras

Ibu pejabat Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 28 Jun 2017. (Gambar fail: REUTERS/Darren Whiteside)

Diterbitkan : 14 Apr 2025 09:12AM Dikemas Kini : 14 Apr 2025 09:14AM
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Isnin (14 Apr) melonggarkan dasar kewangan buat kali kedua berturut-turut menyusuli kebimbangan ekonomi yang meningkat akibat perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China. MAS turut menurunkan unjuran inflasi teras bagi tahun ini.

Dalam kenyataan dasar kewangan bagi bulan April, bank pusat itu menyatakan bahawa ia akan “mengurangkan sedikit” kadar peningkatan Kadar Tukaran Efektik Nominal Dolar Singapura (S$NEER), walaupun dasar “peningkatan sederhana dan bertahap-tahap” akan diteruskan.

Tiada perubahan akan dilakukan ke atas julat dan tahap di mana ia berpusat, menurut MAS.

Selain itu, MAS turut menyatakan bahawa ia menjangkakan inflasi teras akan mencapai purata antara 0.5 peratus hingga 1 peratus pada 2025, lebih rendah daripada jangkaan sebelumnya iaitu antara 1 hingga 2 peratus.

Langkah bagi melonggarkan dasar itu sejajar dengan jangkaan sembilan daripada sepuluh penganalisis yang ditinjau Reuters. Mereka meramalkan bahawa bank pusat tersebut akan melonggarkan dasar dengan mengurangkan kecerunan julat dagangan S$NEER.

Bank pusat tersebut menguruskan dasar kewangannya melalui kadar pertukaran dan bukan kadar faedah. Ia membolehkan dolar Singapura mengukuh atau melemah berbanding mata wang rakan dagang utamanya dalam satu julat yang tidak didedahkan.

MAS boleh mengubah kecerunan, titik tengah atau lebar julat tersebut.

Sebelum pelonggaran dasar pada Januari, MAS mengekalkan dasar kewangannya tanpa perubahan selama hampir lima tahun.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita