Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MAS lancar aplikasi online untuk wang kertas baru S$20 Bicentennial

Permohonan secara online dibuka pada Isnin (16 Sep) bagi orang ramai mendapatkan wang kertas S$20 sempena memperingati 200 tahun Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
00:38 Min
Permohonan secara online dibuka pada Isnin (16 Sep) bagi orang ramai mendapatkan wang kertas S$20 sempena memperingati 200 tahun Singapura.
Diterbitkan : 16 Sep 2019 08:24AM Dikemas Kini : 16 Sep 2019 11:38PM

SINGAPURA: Permohonan secara online dibuka pada Isnin (16 Sep) bagi orang ramai mendapatkan wang kertas S$20 sempena memperingati 200 tahun Singapura.

Ini adalah kelompok kedua wang kertas S$20 Bicentennial disediakan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyusuli permintaan tinggi bagi keluaran pertamanya iaitu sebanyak dua juta keping wang kertas.

Kali ini, permohonan bagi kelompok baru dua juta keping wang kertas hanya boleh dibuat secara online menerusi portal MAS dari 16 September hingga 13 Oktober.

Para pemohon yang berjaya akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 3 November, menurut MAS. Mereka kemudian boleh membuat pertukaran pada nilai muka wang tersebut dalam tempoh dua minggu bermula awal November.

Permohonan itu dibuka kepada rakyat Singapura dan penduduk tetap sahaja, dengan setiap seorang boleh memohon sehingga 10 keping wang kertas.

"Jika permintaan sangat tinggi, MAS akan cuba untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya satu keping nota kepada setiap pemohon supaya kesemua pemohon berpeluang untuk mendapatkan wang kertas tersebut dengan keutamaan diberikan kepada para pemohon Generasi Perintis dan Merdeka," jelas bank pusat berkenaan dalam satu kenyataan media.

Wang kertas khas S$20 Bicentennial itu didedahkan pada Jun sempena memperingati 200 tahun Singapura.

Deretan orang dilihat beratur panjang di bank-bank utama pada hari pertama pelancaran wang kertas tersebut dengan banyak cawangan kehabisan wang kertas itu pada hari yang sama.

Permintaan bagi wang kertas itu mendorong beberapa penjual untuk menawarkannya di laman jual beli online seperti Carousell dan eBay pada harga setinggi S$988.

Bagi permohonan online, setiap orang perlu memberikan nombor kad pengenalan (NRIC) atau sijil kelahiran mereka selain nombor telefon bagi tujuan pengesahan dan pemakluman.

Para pemohon juga perlu memilih bilangan wang kertas yang ingin ditukarkan serta memilih sebuah bank dan cawangan untuk berbuat demikian daripada sembilan cawangan bank utama berikut:

DBS Bank Limited / POSB

OCBC Bank

United Overseas Bank Limited

Bank of China Limited

Citibank Singapore Limited

Industrial and Commercial Bank of China Limited Singapore Branch

Maybank Singapore Limited

Standard Chartered Bank (Singapore) Limited

HSBC Bank (Singapore) Limited

Para pemohon yang berjaya hanya akan dapat membuat pertukaran wang kertas di cawangan bank dipilih menerusi borang permohonan online mereka, menurut MAS. Ini kerana wang-wang kertas itu akan diedarkan kepada cawangan-cawangan bank mengikut keputusan peruntukan.  

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan