Skip to main content

Singapura

MAS keluarkan surat nasihat kepada 5 pencipta kandungan kerana beri nasihat kewangan tanpa lesen

Anggaran Waktu Membaca:
MAS keluarkan surat nasihat kepada 5 pencipta kandungan kerana beri nasihat kewangan tanpa lesen

Logo Penguasa Kewangan Singapura (MAS) di bangunannya. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 25 Sep 2025 12:35PM Dikemas Kini : 25 Sep 2025 12:37PM
SINGAPURA: Surat nasihat akan dikeluarkan kepada lima pencipta kandungan yang mungkin memberikan nasihat kewangan tanpa lesen, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Khamis (25 Sep).

Pengumuman itu dibuat seiring dengan garis panduan baharu yang bertujuan untuk menggalakkan iklan kewangan online yang bertanggungjawab.

Garis panduan baharu itu, yang akan berkuat kuasa pada 25 Mac 2026, akan menetapkan langkah-langkah perlindungan yang dijangka akan diguna pakai oleh institusi kewangan untuk menguruskan risiko yang berkaitan dengan iklan digital, menurut MAS dalam satu kenyataan media.

Garis panduan ini akan terpakai kepada semua institusi kewangan dan pihak ketiga yang dilantik mereka, termasuk pencipta kandungan online.

MAS dan Penguasa Piawaian Pengiklanan Singapura (ASAS) juga sudah membangunkan panduan untuk membantu pencipta kandungan menghasilkan kandungan kewangan yang bertanggungjawab.

Lima pencipta kandungan tersebut, yang identiti mereka tidak didedahkan oleh MAS, dinasihatkan supaya menyesuaikan kandungan dan amalan mereka agar selaras dengan syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan, tambah bank pusat itu.

Sesiapa sahaja yang memberikan nasihat kewangan tanpa lesen akan berdepan tindakan penguatkuasaan, tegas MAS.

"Dalam era digital masa kini, di mana terdapat pergantungan yang semakin meningkat kepada platform digital yang menyebarkan maklumat dengan pantas, institusi kewangan dan pencipta kandungan mesti memastikan perkongsian maklumat kewangan dan pengiklanan produk serta perkhidmatan mereka dilakukan secara bertanggungjawab," kata penolong pengarah urusan pasaran modal MAS, Lim Tuang Lee.

MAS menyatakan lembaga dan pengurusan kanan institusi kewangan akan dipertanggungjawabkan ke atas aktiviti pengiklanan digital institusi masing-masing.

"Mereka mesti menerima pakai perlindungan yang sesuai untuk mematuhi keperluan kawal selia dan menegakkan kepentingan pengguna."

Menurut panduan itu, beberapa perkara penting yang perlu dipertimbangkan oleh pencipta kandungan semasa berkongsi kandungan kewangan termasuk sama ada mereka memerlukan lesen daripada MAS untuk berbuat demikian, sama ada entiti yang mereka promosikan adalah sah dan sama ada mereka perlu membuat sebarang pendedahan berkaitan kandungan tersebut.

Panduan itu turut menasihati para pencipta kandungan supaya berkongsi kandungan kewangan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira kepentingan kewangan dan kesejahteraan pengikut mereka, dan dengan tidak mengeksploitasi "FOMO" (fear of missing out) atau perasaan takut kerana ketinggalan dan mencetuskan rasa cemas.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita