MAS keluarkan perintah larangan terhadap bekas kakitangan bank DBS atas tingkah laku tidak jujur
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengeluarkan perintah larangan selama lima tahun terhadap bekas kakitangan bank DBS, Muhammad Hafiz Ismail.
Gambar fail bangunan Penguasa Kewangan Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Encik Muhammad Hafiz merupakan seorang bekas wakil bank tersebut.
Dalam kenyataan media hari ini (20 Mei), MAS menyatakan perintah larangan itu dikeluarkan kerana dia dengan sengaja menghalang proses keadilan Mahkamah Negara dan kesalahan lain di bawah Akta Penasihat Kewangan (FAA) dan Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFA).
Di bawah perintah larangan yang berkuat kuasa hari ini, Encik Hafiz dilarang daripada menawarkan sebarang khidmat penasihat kewangan dan mengambil bahagian dalam pengurusan, bertindak sebagai pengarah atau menjadi pemegang saham yang besar di bawah mana-mana firma penasihat kewangan di bawah FAA, menurut MAS.
Selain itu, dia juga dilarang daripada melakukan sebarang aktiviti terkawal dan mengambil bahagian dalam pengurusan, bertindak sebagai pengarah atau menjadi pemegang saham yang besar bagi mana-mana firma khidmat pasaran modal di bawah SFA.
Menurut kenyataan MAS, polis telah memaklumkan kepada Encik Hafiz pada Januari 2018 bahawa bapa saudaranya diberkas atas kesalahan berkaitan mencuri.
Encik Hafiz kemudian mengarahkan rakan kerjanya supaya memindahkan peti besi milik bapa saudaranya dari premis perniagaan Encik Hafiz bagai menghalang polis daripada menemui peti besi tersebut.
Atas tindakannya itu, Encik Hafiz ditangkap pada 25 Mei 2022 atas satu kesalahan dengan sengaja menghalang proses keadilan.
Dia dihukum penjara 1 minggu.
Selain itu, pada 8 September 2020, ketika di bawah siasatan polis bagi kesalahan tersebut, Encik Hafiz memohon sebagai pengurus kekayaan bersama DBS.
Namun, dia gagal menyatakan dalam perisytiharan kepada DBS bahawa dia di bawah siasatan polis.
Menurut MAS, DBS merujuk kepada respons dalam perisytiharannya untuk mengesahkan kepada MAS bahawa dia layak menjadi wakil bank tersebut.
"Dengan sengaja mengecualikan maklumat sedemikian yang penting dalam pengisytiharannya, Encik Hafiz melanggar seksyen 23L(2)(b) FAA dan seksyen 99O(2)(b) dari SFA.
"Sabitan dan pelanggaran undang-undang yang dilakukan olehnya memberi sebab kepada MAS untuk percaya bahawa dia tidak akan melaksanakan khidmat nasihat kewangan dan pasaran modal secara jujur.
"Walaupun Encik Hafiz bukan lagi seorang wakil bank dilantik di Singapura, perintah larangan dikeluarkan terhadapnya untuk melindungi integriti dan kepercayaan terhadap sektor kewangan Singapura," menurut MAS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.