Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MAS keluarkan perintah larangan terhadap 2 bekas kakitangan bank atas kesalahan menipu, perilaku tidak jujur

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengeluarkan perintah larangan terhadap dua bekas kakitangan bank bagi kesalahan menipu dan berkelakuan tidak jujur, menurutnya pada Jumaat (30 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
MAS keluarkan perintah larangan terhadap 2 bekas kakitangan bank atas kesalahan menipu, perilaku tidak jujur

(Gambar fail: Darren Whiteside/Reuters)

Diterbitkan : 30 Oct 2020 06:37PM Dikemas Kini : 30 Oct 2020 06:38PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengeluarkan perintah larangan terhadap dua bekas kakitangan bank bagi kesalahan menipu dan berkelakuan tidak jujur, menurutnya pada Jumaat (30 Okt).

Perintah itu, yang dikeluarkan kepada Lu Chor Sheng dan Tan Swee Thiam Timothy, berkuat kuasa mulai Khamis (29 Okt). Kes itu tidak berkait dan kedua-dua individu sudah didakwa di Mahkamah Negara, tambah MAS.

Lu dan Tan, masing-masing dikenakan hukuman penjara selama 17 dan sembilan tahun, dilarang daripada melakukan sebarang kegiatan dikawal selia di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFA). Mereka juga dilarang daripada memberi sebarang khidmat nasihat kewangan di bawah Akta Nasihat Kewangan (FAA).

Kedua-dua lelaki itu juga dilarang daripada mengambil bahagian dalam pengurusan, bertindak sebagai pengarah atau menjadi pemegang saham utama dan sebarang firma nasihat kewangan di bawah SFA dan sebarang firma nasihat kewangan di bawah FAA.

Lu, yang sebelum ini merupakan penasihat perbendaharaandi Oversea-Chinese Banking Corporation (OCBC), dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan empat bulan kerana bersubahat untuk melakukan penipuan, melakukan perubahan tanpa izin terhadap kandungan sistem OCBC dan kesalahah di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah).

Dia menggunakan akaun OCBC milik seorang teman untuk "melakukan urus niaga mata wang asing hadapan tanpa izin pada kadar yang dipersetujui dua pihak tanpa pelibatan bank atau bursa saham" dalam sistem bank, yang membolehkannya untuk membuat pembelian pada harga lebih rendah dan menjual pada kadar lebih tinggi berbanding kadar pasaran.

Apabila OCBC membongkar dagangan tanpa izin itu, ia menutup kontrak-kontrak tertunggak dalam akaun pelanggan Lu, dan mengalami kerugian sebanyak S$3.09 juta.

Lu meraih untung sekitar S$1.09 juta daripada tindakannya itu. Lu gunakan wang tersebut untuk membeli matawang asing dan membayar hutangnya, menurut MAS.

Dalam kes kedua, Tan, seorang bekas pengurus perhubungan di United Overseas Bank (UOB), menyalahgunakan akaun bank milik seorang temannya untuk melakukan pemindahan wang tanpa izin.

Wanita itu, seorang pelanggan UOB, mengamanahkan Tan dengan akses kepada akaun bank, token perbankan Internet dan kad ATM miliknya.

"Antara Mac 2015 dengan Januari 2016, Encik Tan melakukan pemindahan wang tanpa izin melalui Internet sebanyak S$263,500 dari akaun bank pelanggan UOB itu kepada akaun bank peribadinya, untuk membayar perbelanjaan sehariannya," tambah MAS.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa atas kesalahan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan dan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.

Dia dijatuhi hukuman penjara selama dua setengah tahun.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan