Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MAS dijangka ketatkan lagi dasar kewangan sebagai respons kepada inflasi kian meningkat

Pada tahun ini sahaja, MAS sudah mengetatkan dasar kewangan sebanyak tiga kali, berbanding dua kali setahun mengikut kebiasaan.

Anggaran Waktu Membaca:
MAS dijangka ketatkan lagi dasar kewangan sebagai respons kepada inflasi kian meningkat

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dijangka mengetatkan lagi dasar kewangan bulan depan bagi mengukuhkan dolar Singapura dan menangani inflasi yang kian meningkat, menurut pakar analisis.

Inflasi teras Singapura naik lagi kepada 5.1 peratus pada bulan Ogos, menghampiri paras rekod sejak 14 tahun lalu, menurut data rasmi pada Jumaat (23 Sep).

Indeks harga pengguna utama atau inflasi keseluruhan, juga meningkat kepada 7.5 peratus.
MAS biasanya menyesuaikan dasar kewangannya dua kali setahun, pada bulan April dan Oktober. Namun pada 2022, MAS sudah mengetatkan dasar sebanyak tiga kali, iaitu pada bulan April dan dua kali semasa pengumuman mendadak pada bulan Januari dan Julai.

Sedang inflasi dijangka terus meningkat, "satu lagi usaha mengetatkan kewangan bakal disaksikan", menurut ahli ekonomi dan ketua kajian perbendaharaan dan strategi Bank OCBC Selena Ling.

Pakar analisis kanan mata wang Bank MUFG Jeff Ng juga berkata beliau menjangkakan inflasi untuk terus meningkat disebabkan "gabungan faktor-faktor pihak bekalan dan permintaan".

Inflasi makanan, yang mencecah 6.4 peratus pada Ogos, dijangka kekal tinggi, dipacu kos daging dan ikan khususnya, kata Encik Ng. Beliau menambah komponen inflasi teras juga dijangka berdepan tekanan daripada kos bahan mentah, buruh dan pengilangan yang tinggi.

Bank MUFG meningkatkan ramalan inflasi utamanya kepada 6.3 peratus (dari 5.5 peratus) pada 2022 dan ujuran inflasi teras kepada 4.2 peratus (dari 3.5 peratus).

Ramalan Bank OCBC pada 5.9 peratus bagi inflasi utama dan 4.2 peratus bagi inflasi teras tidak berubah, kata Cik Ling.

"Namun perkembangan baru-baru ini seperti ketegangan meningkat bagi perang Rusia-Ukraine dan larangan eksport beras oleh India mencerminkan risiko harga luaran lebih tinggi, selain tekanan gaji domestik," tambahnya.

Maybank meningkatkan ramalannya sedikit, kepada 4.2 peratus bagi inflasi teras (dari 4 peratus) dan 6.2 peratus bagi inflasi utama (dari 6 peratus). Ini "bagi mengambil kira kenaikan jauh lebih tinggi bagi kos makanan dan perkhidmatan", menurut pakar-pakar analisis Maybank Chua Hak Bin dan Lee Ju Ye.

Dasar kewangan yang diambil MAS mempunyai kesan terhadap kekuatan dolar Singapura.

Tidak seperti kebanyakan bank pusat yang menangani dasar kewangan menerusi kadar faedah, MAS menggunakan kadar pertukaran sebagai alat utama dasarnya. Ia membiarkan kadar pertukaran terapung dalam jalur dasar yang tidak dikhususkan, dan mengubah kecerunan, keluasan dan melaraskan dasar itu apabila ia mahu menyesuaikan rentak dolar Singapura.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan