Skip to main content

Singapura

MAS catat laba bersih S$3.8 bilion; dipacu hasil pelaburan kukuh

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Jul 2024 02:35PM Dikemas Kini : 18 Jul 2024 08:54PM
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak S$3.8 bilion pada tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac lalu berbanding kerugian S$30.8 bilion yang mencecah paras rekod pada tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan MAS Chia Der Jiun berkata pada Khamis (18 Jul) bahawa MAS meraih keuntungan pelaburan sebanyak S$12.7 bilion, lebih 20 kali ganda daripada S$0.6 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Sebahagian besar keuntungan pelaburan adalah daripada pendapatan faedah, dividen dan keuntungan modal yang direalisasikan, kata Encik Chia semasa mengeluarkan laporan tahunan bank pusat itu.

MAS menjana pendapatan sebanyak S$25.2 bilion.

Terdapat juga "kesan pertukaran mata wang positif kecil" sebanyak S$1.7 bilion pada tahun kewangan. Ini kerana MAS melaporkan pendapatannya dalam dolar Singapura, dan euro, paun sterling dan dolar Amerika - di mana sebahagian daripada rizab asing rasmi dipegang - sekali gus mengukuhkannya berbanding mata wang tempatan.

Jumlah perbelanjaan ialah S$21.4 bilion, sebahagian besarnya disebabkan oleh perbelanjaan faedah ke atas bil-bil MAS dan pinjaman lain untuk operasi pasaran wang domestik. Ini meningkat berbanding S$13.7 bilion setahun lalu.

"Memandangkan kadar faedah Dolar Singapura meningkat bersama-sama dengan kenaikan kadar faedah global, MAS menanggung perbelanjaan faedah yang lebih tinggi dalam pengendalian operasi pasaran wangnya," dedah MAS dalam laporan tahunannya.

Operasi pasaran wang untuk menguruskan sistem perbankan Singapura, kecairan dan perbelanjaan lain menelan belanja S$10.6 bilion tahun ini.

Sekalipun dengan keuntungan keseluruhan, tiada sumbangan kepada dana gabungan pemerintah mahupun pulangan keuntungan kepada pemerintah untuk tahun kewangan tersebut.

Jumlah modal dan rizabnya berjumlah S$38.1 bilion setakat 31 Mac.

MOMENTUM PERTUMBUHAN SINGAPURA KUKUH

Berlatarbelakangkan pertumbuhan global yang agak menyokong dan disinflasi (proses mengurangkan atau berlakunya pengurangan kadar inflasi yang tinggi), Encik Chia berkata momentum pertumbuhan tempatan dijangka kukuh, dengan sektor-sektor utama kembali ke paras sebelum pandemik.

"Untuk setahun penuh, pertumbuhan GDP (Hasil Dalam Negeri Kasar) akan menghampiri kadar potensinya 2 hingga 3 peratus," katanya.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menjangkakan GDP 2024 antara 1 dan 3 peratus. Inflasi di Singapura juga menjadi sederhana, dengan inflasi teras sekitar 3.1 peratus pada bulan Mei.

Berhubung ekonomi global, Encik Chia berkata pertumbuhan Singapura berdaya tahan pada tahun lalu dan dijangka kekal stabil secara amnya.

“Selepas tahun ini, kami kekal berwaspada terhadap risiko prospek pertumbuhan global,” katanya sambil merujuk kepada kadar faedah tinggi yang berpotensi meningkatkan tekanan ke atas perbelanjaan sektor swasta.

Ketidakpastian di Timur Tengah dan risiko peningkatan dasar perlindungan global juga boleh menjejaskan keyakinan dan pelaburan, dan meningkatkan kos pengeluaran, katanya.

SOKONGAN UNTUK KEUPAYAAN KUANTUM DAN AI

MAS juga mengumumkan pada Khamis bahawa ia akan mengikrarkan komitmen tambahan S$100 juta di bawah Skim Geran Teknologi dan Inovasi Sektor Kewangan untuk menyokong institusi-institusi kewangan membina keupayaan dalam teknologi kuantum dan kecerdasan buatan (AI).

Geran itu akan diberikan untuk menyokong persediaan pengkomputeran kuantum dan inovasi keselamatan di Singapura, penggunaan huraian sedemikian dan bagi meningkatkan keselamatan siber.

Geran itu juga boleh digunakan untuk membantu institusi-institusi kewangan membangunkan dan menggunakan teknologi AI atau membangunkan platform AI yang boleh digunakan dalam industri.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita