MAS, bank SG akan semak langkah keselamatan sistem pembayaran GIRO
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan bekerjasama dengan pihak bank dan Persatuan Bank di Singapura bagi menyemak sistem GIRO dan mempertingkatkan langkah-langkah keselamatannya, menurut anggota lembaga MAS Alvin Tan pada Rabu (8 Apr).
Seorang lelaki menggunakan aplikasi perbankan digital pada telefon bimbitnya di Singapura.
Semakan itu akan mempertimbangkan langkah-langkah seperti membenarkan pengguna menetapkan had bulanan untuk jumlah dan bilangan urus niaga, serta meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pertubuhan yang menerima bayaran.
Encik Tan yang juga Menteri Negara bagi Pembangunan Negara merangkap Perdagangan dan Perusahaan juga menjawab soalan parlimen mengenai langkah-langkah perlindungan bagi pengguna yang membuat aturan GIRO untuk membayar bil.
Ini setelah beberapa ibu bapa dikenakan bayaran salah melalui GIRO bagi khidmat jagaan anak-anak mereka di Little Professors Learning Centre.
Sesetengah ibu bapa juga dikenakan bayaran sebanyak dua kali dalam masa sebulan.
Persatuan Pengguna Singapura (CASE) sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa ia menerima 10 aduan mengenai potongan GIRO tanpa izin antara 1 Januari tahun lalu dengan 16 Mac tahun ini.
Encik Tan berkata buat masa ini, para pengguna boleh menetapkan had pembayaran untuk GIRO.
Selain itu, bank juga memeriksa latar belakang syarikat yang menerima bayaran.
Ini bagi memastikan pertubuhan itu adalah perniagaan yang berdaftar dan tidak terkait dengan sebarang sekatan atau aktiviti jenayah.
Namun, pemeriksaan tersebut mungkin tidak dapat mencegah kesilapan dan kemungkinan penyalahgunaan GIRO, katanya.
"Walaupun kes tersebut jarang berlaku sejauh ini, kami bersetuju bahawa langkah-langkah perlindungan ini perlu diperkukuhkan," katanya.
Selain pemantauan had bulanan dan urus niaga, Encik Tan berkata cadangan daripada Anggota Parlimen yang lain dan orang awam akan dipertimbangkan, termasuk yang berdasarkan sistem digunakan di luar negara.
Beliau menasihatkan para pelanggan supaya menyemak aturan GIRO masing-masing dan menetapkan had urus niaga sewajarnya.
Dalam respons kepada soalan tambahan dari AP Shawn Loh (PAP-Jalan Besar), Encik Tan berkata MAS akan berusaha meningkatkan kesedaran awam mengenai langkah perlindungan dan had sedia ada sementara semakan dijalankan.
Semakan itu akan bermula dengan "sisi yang mudah dicapai", katanya.
Penambahbaikan besar-besaran yang melibatkan perubahan sistem akan mengambil masa untuk dibangunkan dan diuji sebelum ia boleh dilaksanakan, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.