Skip to main content

Singapura

MAS arah DBS naikkan keperluan modal kepada S$1.6 bilion susuli gangguan khidmat terbaru

Anggaran Waktu Membaca:
MAS arah DBS naikkan keperluan modal kepada S$1.6 bilion susuli gangguan khidmat terbaru

(Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 06 May 2023 07:23AM Dikemas Kini : 06 May 2023 08:08AM
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah menaikkan jumlah keperluan modal tambahan yang wajib disediakan Bank DBS kepada S$1.6 bilion.

Ia berikutan gangguan besar pada perkhidmatan perbankan digital DBS pada 29 Mac lalu.

Pada Jumaat (5 Mei) pula, perkhidmatan perbankan digital dan ATM DBS tidak dapat digunakan selama beberapa jam.
Dalam kenyataannya pada lewat Jumaat malam, MAS menyatakan DBS gagal memenuhi jangkaan bank pusat itu bagi menyediakan perkhidmatan yang terjamin kepada para pelanggannya.

Tambah bank pusat itu, keperluan modal tersebut mengambil kira peraturan yang dikenakan pada Februari 2022, yang memerlukan bank terbesar Singapura untuk mengetepikan kira-kira S$930 juta dalam modal kawal selia.

Menurut MAS DBS kini perlu menyediakan 1.8 kali ganda nilai aset risikonya bagi risiko operasi, naik daripada 1.5 kali ganda yang digunakan sebelum ini pada 2022, selepas ia mengalami gangguan terburuk dalam lebih sedekad pada November 2021.

Ini bermakna bank tersebut mesti mengetepikan jumlah tambahan kira-kira S$670 juta dalam modal kawal selia iaitu jumlah modal yang perlu diketepikan oleh bank sekiranya berlaku kerugian yang tidak dijangka, serta untuk memastikan bank tersebut mampu bertakat semasa krisis.

MAS menambah bahawa ia mungkin menyesuaikan jumlah tersebut bergantung kepada hasil semakan berterusan.

Meskipun insiden pada 29 Mac mungkin tidak terkait dengan kejadian pada Jumaat, MAS berkata jawatankuasa lembaga khas yang ditubuhkan oleh DBS Bank dikehendaki menyelia kedua-dua insiden itu.

Timbalan Pengarah Urusan (penyeliaan kewangan) MAS Ho Hern Shin berkata kesulitan berulang yang ditimbulkan kepada orang ramai "tidak boleh diterima" dan DBS telah "gagal penuhi jangkaan" untuk menyampaikan perkhidmatan yang boleh dipercayai kepada pelanggan, mencerminkan komen yang dibuat selepas kejadian pada 29 Mac.

"Keperluan modal tambahan yang dikenakan pada masa ini menggariskan betapa serius MAS menganggap perkara ini," tambah Cik Ho.
Sumber : CNA/MU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita