Skip to main content

Singapura

MAS ambil pendekatan 'sesuai risiko' bagi kembangkan sektor pengurusan harta

Kebanyakan pejabat keluarga menyaksikan masa pemprosesan lebih singkat iaitu selama tiga bulan bagi permohonan insentif cukai, berbanding 12 bulan sebelum ini, kata Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat pada Rabu (9 Jul), sedang beliau membentangkan bagaimana Singapura mengambil pendekatan "bersesuaian dengan risiko" bagi mengembangkan sektor pengurusan harta.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Jul 2025 05:46PM Dikemas Kini : 09 Jul 2025 10:10PM
SINGAPURA: Kebanyakan pejabat keluarga menyaksikan masa pemprosesan lebih singkat iaitu selama tiga bulan bagi permohonan insentif cukai, berbanding 12 bulan sebelum ini, kata Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat pada Rabu (9 Jul), sedang beliau membentangkan bagaimana Singapura mengambil pendekatan "bersesuaian dengan risiko" bagi mengembangkan sektor pengurusan harta.

Encik Chee, yang juga timbalan pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata Singapura mahu mengekalkan piawaian kawal selia yang tinggi di samping memastikan persekitaran mesra perniagaan dan mudah diakses.

Kedua-dua matlamat itu "tidak saling bercanggah", katanya, sambil menambah ia adalah "satu kekuatan" yang boleh ditawarkan oleh Singapura untuk membezakannya daripada pusat kewangan yang lain.

"Akan ada keperluan untuk kita bersedia mengambil risiko," katanya kepada para wartawan menyusuli lawatan ke DBS Bank.

"Apabila kita bercakap tentang risiko, kita mengambil pendekatan bersesuaian dengan risiko dan bukan pendekatan sifar risiko.

"Kerana jika kita terlalu bersikap 'kiasu', saya rasa kita tidak akan dapat merebut peluang-peluang baharu."

MAS sudah pun bekerjasama dengan rakan-rakan industri untuk melihat bagaimana keseimbangan itu boleh dicapai, sambil menambah baik proses.

Misalnya, pejabat keluarga di Singapura sebelum ini perlu menunggu selama 12 bulan bagi permohonan insentif cukai mereka diproses.

Namun, ia kini dikurangkan kepada 'tempoh tiga bulan' bagi kebanyakan permohonan, kata Encik Chee.

Pemerintah Singapura juga bekerjasama dengan kumpulan industri perbankan swasta untuk meneroka bagaimana untuk mengurangkan lagi masa pembukaan akaun bank.

"Kami tetap akan melakukan pemeriksaan sewajarnya, tetapi apa yang MAS akan lakukan ... adalah untuk memberi penjelasan yang lebih terperinci dari segi apakah antara pemeriksaan yang perlu dilakukan, apakah jangkaan kita yang kita mahu pihak bank dan pengurus hubungan berikan tumpuan, supaya ... kita dapat mengelak daripada hanya berteka-teki dan mengambil masa lebih lama daripada diperlukan untuk membantu klien-klien kami membuka akaun," kata Encik Chee.

Singapura juga berharap dapat memikat lebih ramai individu dengan nilai bersih lebih tinggi, kata Encik Chee, sambil menambah Singapura dilihat sebagai sebuah 'hab stabil, diyakini' oleh individu-individu tersebut di tengah-tengah persekitaran global yang kini lebih tidak menentu.

"Ada yang mungkin mahu menubuhkan operasi perniagaan. Ada yang mungkin mahu melabur dalam syarikat-syarikat sedia ada. Ada yang mungkin mahu memulakan syarikat baharu. Ada yang mungkin mahu disenaraikan di SGX," kata Encik Chee.

"Jadi, ini adalah kemungkinan-kemungkinan yang ingin kami terokai bersama individu bernilai bersih tinggi serta keluarga-keluarga yang menganggap Singapura sebagai sebuah tempat yang diyakini, stabil di mana mereka boleh membuat rancangan jangka panjang."

PERTUMBUHAN DALAM SEKTOR PENGURUSAN HARTA

Industri pengurusan harta Singapura menyaksikan "pertumbuhan yang sihat", kata Encik Chee, sambil menambah kadar pertumbuhan tahunan kompaun bagi aset klien perbankan swasta sepanjang lima tahun lalu adalah "lebih daripada 8 peratus setiap tahun".

Secara keseluruhan, aset pengurusan kekayaan di bawah pengurusan (AUM) Singapura mencatat pertumbuhan lebih 8 peratus pada 2023.

Kadar pertumbuhan tahunan kompaun lima tahun pengurusan kekayaan AUM meningkat kepada kira-kira 10 peratus, berdasarkan perangkaan yang dilaporkan pada tahun lalu.

Bilangan pejabat keluarga tunggal di Singapura kekal sebanyak 1,650 pada Ogos lalu, berbanding 1,400 pada hujung tahun 2023.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita