Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MAS akan laksana satu lagi 'penyesuaian awal' pada dasar kewangan negara susuli risiko inflasi

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Jan 2022 09:57AM Dikemas Kini : 25 Jan 2022 09:31PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan melaksanakan satu lagi "penyesuaian awal" pada pendirian dasar kewangannya di tengah-tengah ramalan inflasi Singapura yang diunjur akan terus meningkat, menurut bank pusat tersebut hari ini (25 Jan). 

MAS akan 'menaikkan sedikit' kadar tambah nilai dasar kewangan negara setelah mengambil kira risiko inflasi teras yang diunjur akan lebih tinggi dalam jangka masa terdekat. 

Tiada perubahan pada keluasan dan paras jalur dasar kadar nilai pertukaran efektif nominal dolar Singapura (S$NEER). 

"Langkah ini berdasarkan peralihan awal ke pendirian tambah nilai pada Oktober 2021 dan sesuai untuk memastikan kestabilan harga jangka sederhana," menurut MAS. 

"Ramalan inflasi Singapura diunjur akan terus meningkat, sekali gus mencerminkan faktor-faktor di dalam dan luar negara sejak kenyataan dasar kewangan dibentangkan pada Oktober tahun lalu," tambah MAS. 

"Dengan itu, MAS menilainya sebagai sesuai untuk melaksanakan satu lagi penyesuaian awal pada pendirian dasar kewangannya," menurut MAS. 

Pengetatan dasar itu diiringi dengan semakan pada ramalan inflasi MAS bagi 2022 yang dijangka akan terus meningkat. 

Inflasi teras kini diramal akan meningkat antara 2 hingga 3 peratus pada tahun ini berbanding dari 1 hingga 2 peratus yang dianggarkan pada Oktober lalu. 

"Sementara itu, inflasi umum dijangka akan meningkat antara 2.5 hingga 3.5 peratus berbanding julat ramalan awal iaitu 1.5 hingga 2.5 peratus," menurut MAS lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan