Mantan Presiden LBKM, Suhaimi Salleh, penerima Anugerah Jasa Cemerlang MUIS
(Gambar: MUIS)
SINGAPURA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group, Encik Suhaimi Salleh, telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jasa Cemerlang Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tahun ini.
Anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi atas sumbangan luar biasa beliau kepada masyarakat.
Encik Suhaimi menerima Anugerah Jasa Cemerlang itu daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam semasa majlis Anugerah MUIS yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada Isnin (14 Okt).
Selain beliau, sepuluh individu lain juga telah diiktiraf dengan Anugerah Jasa Bakti dan Anugerah Belia Harapan, sebagai menghargai sumbangan mereka dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan khidmat masyarakat.
SUMBANGAN LEBIH 30 TAHUN DI LBKM, KERJA KEMASYARAKATAN DIHARGAI
Pendidikan yang kukuh merupakan tunggak utama pendirian Encik Suhaimi Salleh, 69 tahun.
Komitmen beliau terhadap pendidikan bermula sejak zaman persekolahan, di mana beliau menjadi pemangkin untuk membantu golongan yang memerlukan dalam bidang akademik.

Dalam wawancara bersama wartawan Nurhelmy Hakim, Encik Suhaimi berkongsi: "Semasa saya berada di maktab rendah, saya memulakan satu skim bimbingan bagi mereka yang menuntut, bagi mereka yang akan mengambil peperiksaan PSLE. Dan saya juga melihat anak-anak kampung saya agak ke belakang dari segi pelajaran mereka."
"Hasil daripada kelas bimbingan itu mereka lulus dengan baik dalam peperiksaan PSLE dan seterusnya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah," ujar Encik Suhaimi.
Sumbangan Encik Suhaimi kepada masyarakat Melayu/Islam juga tidak dapat dilupakan, terutamanya melalui penglibatannya dalam Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) selama 32 tahun.
Sebagai Presiden LBKM dari 2012 hingga 2022, Encik Suhaimi telah menjadikan pertubuhan itu sinonim dengan sokongan pendidikan.
Di bawah kepimpinannya, LBKM telah menawarkan dermasiswa dan biasiswa baharu untuk pendidikan sekular dan agama.
Usaha tersebut telah menyumbang kepada peningkatan peratusan graduan universiti dalam kalangan orang dewasa Melayu/Islam, yang telah meningkat lima kali ganda, daripada 2.1 peratus pada tahun 2000 kepada 10.8 peratus pada tahun 2020.
Encik Suhaimi berkata: "Saya dapat menumpang bangga tentang pencapaian ni kerana LBKM juga memainkan peranan mereka dengan menghulurkan bantuan yang sesuai bagi mereka mencapai impian untuk belajar ke tahap yang setinggi mungkin."
"Saya rasa dengan sokongan dermasiswa dan biasiswa yang LBKM keluarkan ini, ia dapat memberikan dorongan dan motivasi kepada para pelajar ini untuk mencapai tahap setinggi mungkin dalam pengajian mereka,' tambah beliau lagi.
Kerja-kerja kemasyarakatan Encik Suhaimi Salleh melangkaui sektor kewangan Islam.
Beliau juga pernah memegang jawatan di Majlis Amal dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), serta berkhidmat sebagai Timbalan Presiden di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
Encik Suhaimi mengakui bahawa segala pencapaiannya tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu daripada isterinya.
Sambil menitiskan air mata, Encik Suhaimi berkata: "Sebelum saya mendirikan rumahtangga dengan isteri saya, salah satu perkara yang saya katakan adalah beliau harus menerima hakikat bahawa saya milik masyarakat. Beliau harus rela terima hakikat bahawa mungkin masa yang saya luangkan untuk beliau agak terhad. Saya mungkin harus memberikan masa saya untuk masyarakat saya."
"Saya amat terhutang budi dengan beliau," kata ringkas Encik Suhaimi kepada isterinya.
Selain itu, Encik Suhaimi berharap agar dirinya dapat dijadikan contoh teladan bagi para pemimpin muda Melayu/Islam.
"Bagi para pemimpin muda kita, saya rasa sifat amanah, sifat bertanggungjawab sifat keikhlasan paling penting bagi kita melaksanakan tugas tugas itu dengan baik. Kita melaksanakan itu semua kerana ikhlas, kerana kita ingin melihat masyarakat kita terus maju dan terus dapat diperbaiki," ujar Encik Suhami.
SHAMIM DHILAWALA DIIKTIRAF DENGAN ANUGERAH JASA BAKTI
Salah seorang daripada enam penerima Anugerah Jasa Bakti MUIS kali ini ialah Cik Shamim Dhilawala.
Cik Shamim memulakan perjalanannya dalam kerja-kerja kendalian Pertubuhan Pembangunan Wanita Islam Singapura (PPIS).

Usaha beliau sangat penting, kerana ia menjadi asas kepada Jabatan Pendampingan dan Penyelidikan (RED) PPIS, yang ditubuhkan untuk menawarkan sokongan perundangan, kewangan, dan kebajikan kepada masyarakat.
Dengan latar belakang dalam bidang perundangan, Cik Shamim juga memainkan peranan sebagai penasihat perundangan PPIS dan merupakan salah seorang anggota pengasas Persatuan Perancangan Kewangan Muslim (MFPA).
Cik Shamim berkata: "Kerja sukarela ini bukan setakat kita melakukan usaha dengan masyarakat. Apa jua bentuk kemahiran yang kita ada, kita boleh sumbangkannya untuk masyarakat. Itulah yang saya harapkan untuk orang ramai, agar dapat berbakti dengan lebih, dengan kemampuan yang mereka ada."
SUMBANGAN USTAZ MUHAMMAD LUQMAN ROSLAN DIIKTIRAF MENERUSI ANUGERAH BELIA HARAPAN MUIS
Empat individu telah dianugerahkan Anugerah Belia Harapan.
Anugerah itu diperkenalkan tahun lalu untuk mengiktiraf sukarelawan yang mengambil peranan kepimpinan dengan komitmen yang kukuh dan penyertaan aktif dalam masyarakat.
Antara penerima anugerah ini adalah Ustaz Muhammad Luqman Roslan.

Sebagai anggota Rangkaian Asatizah Belia (AYN) yang paling aktif tahun lalu, Ustaz Luqman telah menghasilkan pelbagai kandungan termasuk artikel, video, dan penyiaran, serta terlibat dalam inisiatif utama di masjid-masjid.
Ustaz Luqman berharap pengiktirafan itu akan memberi inspirasi kepada para belia untuk turut aktif dalam menyumbang kepada masyarakat.
"Saya harap mereka dapat berkecimpung dalam memberi masa untuk masyarakat. Setiap belia ada kekuatan mereka sendiri, gunakan kekuatan itu dan sumbang balik kepada masyarakat. Satu hari nanti, mungkin masyarakat pula akan berbakti kepada kita," kata Ustaz Luqman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.