Mantan presiden kehormat Prihatin SG dedah punca peletakan jawatan
Mantan Presiden Kehormat Prihatin Singapura, 'Joe' Jasmi Mohd Nor menjelaskan antara sebab di sebalik perletakan jawatannya dalam organisasi tersebut.
Pada Jumaat (27 Sep), Prihatin Singapura mengumumkan pengunduran dua pemegang jawatan tertingginya iaitu Encik Jasmi sendiri dan Encik Moliano Rasmadi selaku Pengerusinya, dalam satu catatan di laman Facebook rasmi kumpulan itu.
Ia telah dilancarkan secara rasmi pada 3 Mei 2024.
Menurut Encik Jasmi, beliau meletak jawatan sebagai Presiden Kehormat Prihatin Singapura pada 19 Ogos 2024 – sekitar tiga bulan setelah ia dilancarkan secara rasmi.
Encik Moliano Rasmadi pula sudah melepaskan jawatannya selaku Pengerusi Prihatin Singapura lebih awal iaitu pada 30 Jun 2024.
Encik Jasmi menjelaskan bahawa “peletakan jawatan dalam Prihatin ini terjadi kerana isu matlamat asal nampaknya sudah tersasar.”
"Ketika Prihatin ditubuhkan, tujuannya adalah untuk menjaga kebajikan para penggiat seni, terutama mereka yang daif, susah, dan memerlukan bantuan, termasuk mereka yang menghidap penyakit berpanjangan. Dana yang dikumpulkan adalah untuk membantu golongan ini," kata beliau kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Beliau turut menambah bahawa matlamat Prihatin juga merangkumi usaha untuk mengeratkan silaturrahim dalam kalangan penggiat seni Melayu, supaya mereka dapat saling menyokong dan membantu antara satu sama lain.
Beliau menyatakan rasa kecewanya terhadap kesukaran dalam mengagihkan dana yang dikumpulkan oleh Prihatin untuk membantu mereka yang memerlukan, terutamanya penggiat seni.
"Setiap kali kita hendak keluarkan dana, ia seakan dikawal. Bila duit sudah ada, dan kita hendak bantu, pihak lembaga pengarah Prihatin menghadapi kesukaran. Prihatin ini, kalau tidak salah, beroperasi di bawah ‘Private Limited’ (syarikat sendirian berhad), bukan seperti 'Registry of Society' (ROS). Kita lebih kepada badan kebajikan dan bukan mencari keuntungan, tetapi lebih menyerupai 'Prihatin Private Limited'. Saya kurang faham tentang itu. Jadi mereka cakap susah untuk keluarkan duit. Jadi pada kita, matlamat kita asalnya memang kita kumpul-kumpul dan memerlukan, kita keluarkan,” tambah beliau.
Menurutnya masalah persefahaman dalam kalangan lembaga pengarah, terutamanya mengenai pengurusan dana, telah menyulitkan usaha mereka dalam mencapai matlamat asal Prihatin.
"Kalau kesusahan yang terdapat dalam Prihatin ini hendak bagi, hendak bantu, ini susah. Jadi kami rasa macam tidak ada makna kita cari dana, kumpul-kumpul. Pasal apa, tujuan Prihatin mengumpul duit dana itu bukan untuk kumpul untuk buat kami jadi kaya. Maksud kita itu, kita berkumpul untuk membantu menyalurkan kepada mereka yang memerlukan. Itu tujuan asalnya.
"Bila ada kebisingan macam itu, ada masalah untuk kami menjalankan tugas. Jadi itu yang buat saya rasa ketika itu Pak Moliano selaku pengerusi dan saya juga selaku presiden ketika itu dan juga lembaga pengarah yang terdiri daripada empat orang lagi itu, yang kita rasa kita sudah tidak ada persefahaman lagi. Jadi mungkin sebab-sebab itulah yang buat Pak Moliano dengan saya, kami letak jawatan. Kita tidak mahu terlibat lagi dalam Prihatin," katanya, sambil menyerahkan tanggungjawab kepada lembaga pengarah sedia ada untuk menguruskan dana dan pertubuhan tersebut.
URUSAN KEWANGAN HARUS KETAT IKUT ATURAN ACRA
Menurut Setiausaha Kehormat Prihatin Singapura, Mohd Umar Mossudiq, perselisihan bermula apabila Lembaga Pengarah menetapkan prosedur pengurusan kewangan yang ketat sebagaimana diperlukan oleh Akta Syarikat (ACRA) untuk sebuah badan sukarelawan.
Sebelum Prihatin Singapura didaftarkan secara rasmi, badan ini bergerak sebagai kumpulan sukarela sejak beberapa tahun.
Ia mengumpulkan sumbangan wang orang ramai untuk diagihkan kepada para penggiat seni Singapura yang sakit dan memerlukan bantuan.
Antara yang dibantu termasuk pelakon Zamberi Abdul Patah, penyanyi Zaleha Hamid dan penyampai BERITA, Allahyarham Riz Sunawan.
"Perselisihan mula berlaku apabila Lembaga Pengarah mula meletakkan tatacara pengurusan kewangan sebagaimana diperlukan sebuah badan kebajikan di bawah ACRA. Keadaan bertambah rumit apabila kedua-dua pemimpin dan sesetengah (pihak) merasakan Lembaga Pengarah tidak mahu bertolak ansur. Ingin saya nyatakan - perhatian dan tumpuan Lembaga Pengarah adalah dalam memastikan setiap urusan dan pentadbiran, terutama dalam hal kewangan, harus dijalankan menurut aturan yang digariskan pihak berkuasa.
"Atas dasar itu, kami tetap tegas dalam menjaga nama baik, reputasi, wibawa, dan kedudukan Prihatin Singapore Limited. Sebagai badan yang amanah, telus, lagi jujur dalam melaksanakan setiap projek dan wang untuk manfaat penggiat seni Melayu Singapura yang memerlukan," jelas Encik Umar.
Lembaga Pengarah Prihatin Singapura dianggotai oleh beberapa individu termasuk Timbalan Pengerusinya, Chairul Fahmi Hussaini dan Bendahari, Rina Syafiqah Rosmadi.
Jawatankuasa Prihatin pula terdiri daripada pelakon Khairuddin Samsudin, Hussin Saaban dan Norsiah Ramli serta penggiat seni tarian, Osman Hamid.
Dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan BERITA Mediacorp, Naib Pengerusi Chairul Fahmi Hussaini menjelaskan, "Prihatin masih beroperasi. Kesemua ahli lembaga pengarah Prihatin masih kekal dengan jawatan masing-masing kecuali Pengerusi yang telah mengundurkan diri.
"Tempoh penggal anggota pengarah adalah sepanjang dua tahun, sementara penggal yang sedia ada akan berakhir pada Mac 2025,” tambahnya lagi.
Buat masa ini, Encik Chairul berkata mereka masih lagi menimbangkan beberapa pilihan bagi menentukan masa depan Prihatin Singapura.
"Lembaga Pengarah dan ahli jawatankuasa yang ada sekarang sedang menimbangkan tindakan lanjut ke depan, sama ada mengekalkan kedudukan, meluaskan peranan, mengalih tumpuan atau membubarkan Prihatin. Ini sedang kami pertimbangkan dengan teliti," kata Encik Chairul.
ISU KUASA
Walau bagaimanapun, Encik Jasmi Mohd Nor, berkata selain isu kewangan, berlaku juga isu bidang kuasa dalam kepimpinan.
"Masalah pertama ialah tentang kewangan. Masalah kedua, kenapa kami letak jawatan pasal Lembaga Pengarah ialah membuat syarat kepada kami bahawa kami sebagai Presiden (Kehormat) dan Pengerusi, tidak ada kuasa Veto. Maknanya kami tidak boleh (buat) apa-apa keputusan. Mana Lembaga Pengarah mempunyai hak suara kuasa Veto di atas kita? Jadi kami Pengerusi dengan Presiden dan Lembaga Pengarah, kuasanya semua sama rata," katanya.
Encik Umar bagaimanapun menegaskan bahawa perkara tersebut adalah lebih kepada salah faham tentang cara pengurusan dijalankan.
"Saya rasa ini lebih kepada salah faham tentang bagaimana perkara-perkara sepatutnya diuruskan. Bukan semudah mereka meminta wang, kemudian ia boleh diedarkan atau dikeluarkan dengan mudah kerana kami adalah sebuah lembaga. Segalanya harus mendapat kelulusan terlebih dahulu," kata Encik Umar.
Beliau turut menambah bahawa pengurusan kewangan harus dilakukan dengan telus dan penuh tanggungjawab.
"Ini amanah. Duit orang. Jadi kita harus pertimbangkan. Bukan semestinya kita terus menyokong - walaupun seseorang itu sakit, kita terus beri bantuan. Namun, kita perlu tahu sakit apakah yang dialami. Adakah terdapat keperluan bantuan kewangan lain? Hanya selepas itu, pihak lembaga akan mempertimbangkan jumlah yang setimpal untuk diberikan," katanya.
PAKEJ UMRAH NURI DIY
Prihatin Singapore Limited telah mengumumkan bahawa ia "tidak lagi memberi sokongan kepada program Umrah DIY kendalian Nurijah Sahat dan Ahmad Yusoff."
Dalam kenyataan rasmi yang dipaparkan di laman Facebook mereka pada 27 September 2024 , pertubuhan tersebut juga mengingatkan semua 120 bakal jemaah yang terlibat untuk menghubungi Nurijah dan Ahmad bagi sebarang pengurusan projek ini.
Program Umrah DIY ini pertama kali diumumkan di laman Facebook Prihatin Singapura pada 27 Februari 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.