Skip to main content

Singapura

Mantan Presiden Halimah Yacob gesa badan Melayu/Islam teruskan kerjasama demi kemaslahatan & kemajuan masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memastikan tiada yang ketinggalan dalam masyarakat, sesuaikan diri dengan perubahan serta memperkukuh perpaduan.

Itulah tiga perkara yang digariskan mantan Presiden Singapura Halimah Yacob dalam ucapannya di majlis penghormatan buat beliau yang dianjurkan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) pada Sabtu (14 Okt).

"Banyak pertubuhan hari ini dibina untuk premis ini: memenuhi tanggungjawab kita membantu mereka yang memerlukan dalam masyarakat. Pada tahun-tahun awal, usaha-usaha masyarakat memberi tumpuan utama kepada bantuan kewangan dan pendidikan. Bidang-bidang ini akan terus kekal penting," ucap mantan Presiden itu.

"Namun, apabila bekerjasama dengan anda, saya terdorong melihat pembangunan sistem sokongan yang lebih menyeluruh yang memenuhi keperluan yang lebih pelbagai seperti jagaan kesihatan, sokongan keluarga dan peluang-peluang pekerjaan," tambahnya.

CABARAN & KETIDAKTENTUAN GLOBAL JADIKAN PERANAN MMO LEBIH PENTING


Puan Halimah juga menyeru hampir 600 pemimpin dan anggota MMO yang hadir untuk teruskan kerjasama demi kemaslahatan dan kemajuan masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan MMO lebih penting kini di tengah-tengah pelbagai cabaran dan ketidaktentuan global.

Mereka perlu lebih bekerja keras untuk pastikan perkhidmatan yang disediakan relevan dan boleh membantu masyarakat dalam sekitaran yang berubah kini.


"Kami (MMO) semua bukan bersaing antara satu sama lain. Kita sebenarnya melengkapi satu sama lain dengan usaha masing-masing. Semua ada kepakaran dalam bidang masing-masing dan anda boleh mencapai matlamat dalam bidang masing-masing dengan menyokong, melengkapi dan menghurai usaha-usaha masing-masing," kata Puan Halimah.

"Alhamdulillah, hari ini saya lihat perhimpunan ini sebagai contoh perpaduan dan sokongan yang anda ada untuk satu sama lain iaitu sesuatu yang mengharukan dan Alhamdulillah, saya harap ini akan menjadi permulaan untuk usaha-usaha sebegini di mana anda semua boleh membawa usaha anda bersama untuk pelbagai acara dan untuk pelbagai tujuan," tambahnya.

ACARA PENGHORMATAN CERMINKAN KEAKRABAN MMO DAN PERTUBUHAN MASYARAKAT

Gambar: BERITA Mediacorp/Afiqah Hussain


Acara di The Ritz-Carlton itu dihadiri para individu dari 36 kumpulan masyarakat termasuk para pertubuhan Melayu/Islam (MMO), di mana sumbangan dan kepimpinan Puan Halimah selaku Presiden ke-8 Singapura dihargai dan disanjungi.

Di acara yang sama juga, sebuah kolaj gambar yang merakam perjalanan dan sumbangan Puan Halimah turut disampaikan kepada beliau.

Acara itu merupakan hasil kerjasama antara MMO yang menurut Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad mencerminkan keakraban dalam kalangan mereka.

"(Acara) ini memang penting oleh kerana ini menunjukkan betapa penting sumbangan presiden dalam masa yang beliau telah jadi presiden di Singapura dan untuk menyokong badan-badan kita. Ini juga menunjukkan keakraban di antara masyarakat Melayu/Islam kita dan juga badan-badan persatuan di mana memang penting untuk kita teguh bersama, teguh bersatu walaupun kita hadapi pelbagai cabaran untuk generasi ini dan generasi akan datang," menurut Encik Zaqy yang juga Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kementerian Tenaga Manusia.

PUAN HALIMAH SENTIASA BANTU MEREKA YANG KURANG BERKEMAMPUAN DAN KURANG BERUPAYA

Encik Zaqy juga mengenang sumbangan Puan Halimah dalam pelbagai bidang.

"Dalam bidang-bidang pendidikan, Presiden telah menyokong MENDAKI dan juga badan-badan lain dalam meningkatkan lagi prestasi anak-anak Melayu kita dan ini menunjukkan akan kepentingan pendidikan untuk menjamin masa depan bagi anak-anak kita," menurut Encik Zaqy.

"Dari segi kebajikan sosial, beliau sentiasa menolong mereka yang kurang berkemampuan dan kurang berupaya. Yang ketiga juga, kita melihat dalam arena seperti keharmonian agama dan kaum, kita mahu menyatukan masyarakat dan Puan Halimah telah menjadi seseorang yang dapat menyatukan masyarakat, terutama sekali dalam masyarakat Melayu, ramai yang melihat beliau sebagai simbol... meningkatkan kesedaran akan kesefahaman kaum dan juga budaya," tambah beliau.

Mantan Presiden itu juga pernah menjadi penaung kepada lebih 40 pertubuhan amal dan masyarakat - antaranya termasuk Persatuan Ain, PPIS dan Roses of Peace.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita