Mantan Presiden Halimah Yacob buat aduan polis; video 'deepfake' papar kenyataan negatif terhadap pemerintah
Mantan Presiden Halimah Yacob berkata bahawa beliau akan membuat aduan polis selepas satu rakaman video 'deepfake' memaparkan seolah-olah beliau telah membuat kenyataan negatif tentang pemerintah.

Mantan Presiden Halimah Yacob. (Gambar fail: TODAY)
"Ini sama sekali tidak benar! Saya tidak pernah membuat video sedemikian! Video itu sebenarnya palsu, dengan suara saya digunakan dalam video tersebut! Ia sesuatu yang menakutkan, lebih-lebih lagi bagaimana kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk mempengaruhi pengundi semasa tempoh kritikal seperti ini.

Dalam catatan yang dimuat naik ke Facebook pada Selasa (16 Apr), Puan Halimah menolak sekeras-kerasnya kandungan video tersebut, sambil menyifatkannya sebagai sebentuk penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membimbangkan, lebih-lebih lagi semasa musim pilihan raya.
Dalam catatannya itu, Puan Halimah turut menggesa: "Marilah kita menjaga kesopanan dan keadilan dalam pilihan raya ini tanpa mengira pihak mana anda menyokong. Berjuanglah atas dasar kekuatan visi anda dan kekuatan calon anda dengan keupayaan untuk mencapai visi itu. Jangan gunakan taktik kotor seperti ini."
"Selepas GE2025, kita mesti terus memikirkan rakyat dan masa depan mereka. Ia bukan seperti masuk gelanggang tinju untuk bertarung sekali sahaja," tegas Puan Halimah.
Menurut Puan Halimah, beliau tidak melampirkan video 'deepfake' itu untuk mencegah dan menyekat penyebarannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.