Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mantan penyiar radio Warna 942, Mohd Ashik, masuk hospital selepas terjatuh

Mantan penyiar radio Warna 942, Encik Mohamed Ashik dimasukkan ke hospital selepas terjatuh di rumahnya di Johor Bahru pada awal pagi Khamis (1 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan penyiar radio Warna 942, Mohd Ashik, masuk hospital selepas terjatuh

Encik Mohamed Ashik dan isteri, Maria Bachok. (Gambar fail: Leza Ismail/Facebook)

SINGAPURA: Mantan penyiar radio Warna 942, Encik Mohamed Ashik dimasukkan ke hospital selepas terjatuh di rumahnya di Johor Bahru pada awal pagi Khamis (1 Jul).

Perkara ini disahkan oleh anaknya, Cik Farlina Mohamed, kepada BERITAmediacorp sebentar tadi (2 Jul). Pihak keluarganya bagaimanapun belum bersedia untuk memberikan sebarang butiran lanjut tentang keadaan Encik Mohamed Ashik, 73 tahun.

<p>Gambar fail.</p>

Encik Mohamed Ashik diundang ke studio Warna 942 pada 2017.

MENYINGKAP SUMBANGAN MANTAN PENYIAR MOHD ASHIK 

Suami kepada penyanyi Maria Bachok ini mula menyertai Radio Televisyen Singapura (RTS) pada lewat 1960-an dan berkecimpung dalam dunia penyiaran selama lebih 40 tahun.

Sepanjang kerjayanya, Encik Mohamed Ashik menghasilkan pelbagai program yang meningkatkan populariti radio tempatan. Antaranya adalah rancangan keroncong 'Ira Kencana' pada awal 1980-an yang mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pendengar.

Encik Mohamed Ashik jugalah yang menyuntik kesegaran kepada penerbitan program Bangsawan di mana beliau membawa para pemuzik dan penyanyi seperti Sanisah Huri, ke dalam stesen radio untuk melakukan persembahan secara langsung.

Program Bangsawan kemudian mendapat sambutan memberangsangkan sehingga ia beralih ke pentas yang lebih besar, iaitu di Panggung Victoria pada awal 1980-an.

Satu lagi program kelolaan Encik Mohamed Ashik yang mendapat sambutan adalah rancangan 'Pantun di Udara'. Menerusi program itu, beliau spontan membeli atau menjawab sebarang pantun lucu mahupun teka-teki yang disumbangkan para pendengar Warna 942, sehingga membawa gelaran "Raja Pantun" buat dirinya.

Pada setiap musim raya pula, para penyiar radio bagi program itu berbalas pantun dengan rakan sejawatan dari Radio Brunei Darussalam dalam satu siaran langsung.

Demikian antara sumbangan Encik Mohamed Ashik kepada dunia penyiaran tempatan sebelum beliau bersara pada 2009 pada usia 62 tahun.

Selepas bersara, beliau terus menyumbang dan menurunkan ilmu dengan mengendalikan kelas-kelas penulisan pantun di Universiti Nasional Singapura, Sekolah Menengah Mayflower dan Maktab Rendah St Andrew.

Encik Mohamed Ashik kini tinggal di Johor Bahru bersama isteri tetapi sering berulang-alik ke Singapura sebelum ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan