Skip to main content

Singapura

Mantan penyampai BERITA Riz Sunawan meninggal dunia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mantan penyampai BERITA, Asri Sunawan atau lebih dikenali sebagai Riz Sunawan menghembuskan nafas terakhir pada Rabu (8 Feb) pada pukul 10.46 pagi.

Beliau meninggal dunia pada usia 45 tahun.

Menurut adik perempuannya, Linda Sunawan, 33 tahun, Allahyarham kali terakhir bercakap dengan pembantu rumahnya kira-kira pukul 8.00 pagi bagi menguruskan keperluannya, seperti biasa.

Namun, pembantu rumahnya mendapati bahawa beliau tidak memberi sebarang respons pada pukul 9.00 pagi lalu menghubunginya. Beliau kemudian bergegas ke rumah tersebut.

Allahyarham kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 10.46 pagi.

"Seminggu yang lalu ini, dia lemah, memang keadannya akan bertambah teruk bukan? Jadi, memang jangka hayatnya yang dijangkakan doktor ialah dua hingga lima tahun. Jadi, ini adalah tahun kelimanya," kata Cik Linda kepada BERITAmediacorp.

"Bila dia betul-betul menjadi lemah sangat ini dalam empat bulan yang lalu bila arwah ibunya dah tak ada. Nampak dia dah kehilangan sesuatu namun dia masih aktif," kongsi bapa Allahyarham, Encik Sunawan Dasuri mengenai anak sulungnya itu.

Ibu kepada Allahyarham, Cik Jamaliah Sujak, meninggal dunia pada 4 Oktober lalu akibat komplikasi sakit ginjal.

Allahyarham merupakan anak sulung tiga beradik.

Cik Linda berkongsi bahawa saudara-mara serta sahabat-handai paling rapat dengannya dapat berjumpa dengan Allahyarham pada hujung minggu lalu.

Antaranya termasuk Cik Hidayah Amin, yang merupakan penulis dan penerbit buku kanak-kanak dwibahasa yang diterbitkan baru-baru ini bersama Allahyarham tentang Penyakit Motor Neuron (MND).

"Saya melawat Allahyarham pada Ahad lalu dan pada masa itu, beliau kelihatan agak murung kerana merasakan beliau tidak akan hidup lama," kata Cik Hidayah kepada BERITAmediacorp.

Dengan itu, Cik Hidayah berkongsi bahawa beliau memberi kata-kata semangat kepada Allahyarham untuk bersikap positif, dengan memberitahunya tentang projek-projek lain yang sedang dalam perancangan seperti sesi perkongsian tentang buku 'Nama Saya Riz. Saya ada Penyakit Motor Neuron' di perpustakaan dan rumah-rumah kebajikan anak-anak dan beliau dikatakan kelihatan lebih ceria.

"Kali terakhir saya menghantar kiriman teks kepada Allahyarham malam semalam untuk memberi kemas kini tentang rancangan seterusnya. Saya terperanjat dengan pemergian Allahyarham," luah Cik Hidayah.

"Semestinya sedih. Dan kita redha. Dia sudahpun menderita, dia kuat dan dia bertahan. Dia bertahan seperti dia tidak putus asa untuk bertarung dengan nyawa. Tetapi Allah lebih sayangi dia," ujar Cik Linda.

Jenazah Allahyarham masih berada di rumahnya di Blok 34 Chai Chee Avenue dan akan dimandikan pada jam 2.30 petang.

Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Al-Ansar di Bedok bagi solat jenazah dan solat Asar.

Riz Sunawan, didiagnos dengan penyakit Motor Neuron (MND) iaitu sejenis penyakit saraf sejak 2018, yang menyebabkan pergerakannya semakin terbatas.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita