Skip to main content

Singapura

Mantan Pengetua Raffles Institution Eugene Wijeysingha meninggal dunia pada usia 90 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Pengetua Raffles Institution Eugene Wijeysingha meninggal dunia pada usia 90 tahun

Gambar: Raffles Institution/Facebook

Diterbitkan : 03 Mar 2024 07:31PM Dikemas Kini : 03 Mar 2024 07:32PM

SINGAPURA: Eugene Wijeysingha, mantan pengetua Raffles Institution (RI) meninggal dunia pada usia 90 tahun.

Encik Wijeysingha, yang kerjayanya dalam bidang pendidikan menjangkau 35 tahun, berkhidmat sebagai pengetua RI dari 1986 hingga 1994.

Menurut RI, mendiang memainkan peranan penting dalam memimpin sekolah itu dan menyelaraskan penempatan semula sekolah tersebut ke kampusnya di Bishan pada 1990.

RI mengumumkan pemergian mendiang dalam hantaran di Facebook pada Sabtu (2 Mac). RI menyifatkan mendiang Wijeysingha sebagai seseorang yang berpandangan jauh yang memupuk disiplin, kecemerlangan akademik dan semangat sekolah yang bertenaga.

Mendiang juga dikenali atas tekadnya dalam memelihara sejarah sekolah itu. Beliau malah, menulis sebuah buku bertajuk 'The Eagle Breeds a Gryphon', yang menyingkap kekayaan sejarah sekolah itu dari tahun 1823 hingga 2003.

"Beliau akan dikenang dengan penuh kasih sayang sebagai peran contoh untuk rakyat, dan warisannya akan terus hidup dalam diri pelajar dan kakitangan yang tersentuh dengan kepimpinannya, dan mereka yang berpeluang bertemu dengannya," menurut RI.


GURU DAN PELAJAR BERI PENGHORMATAN

Ucapan takziah datang mencurah-curah di media sosial daripada para guru serta bekas pelajar mahupun mereka yang masih menuntut di Ri, yang rata-rata mengongsi kenangan bersama mendiang.


Salah seorang daripada mereka ialah Dr Adrian W J Kuah, yang merupakan pelajar sekolah itu pada 1986, iaitu pada tahun yang sama mendiang menyandang jawatan pengetua.

Dr Kuah memberitahu Mediacorp: "Bagi saya, sekolah itu bukan sekadar sebuah sekolah sahaja. Semasa sesi kenal suai, saya rasa beliau dapat melihat betapa gementarnya saya."


"Beliau mengenyitkan mata ke arah saya lalu berkata: 'Tidak mengapa. Kita berdua masih baru di sini,' seolah-olah ingin mengatakan, 'saya juga berasa gementar seperti anda'.


Dr Kuah, yang kini pengarah Pejabat Niaga Hadapan Universiti Nasional Singapura (NUS), menambah bahawa tindakan mendiang menganggap dirinya sebagai anggota baharu adalah satu perbuatan merendah diri.

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita