Skip to main content

Singapura

Mantan pengerusi UOB & antara individu terkaya SG Wee Cho Yaw meninggal dunia pada usia 95 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan pengerusi UOB & antara individu terkaya SG Wee Cho Yaw meninggal dunia pada usia 95 tahun

Wee Cho Yaw, mantan pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank Singapura, UOB. (Gambar: UOB)

Diterbitkan : 03 Feb 2024 01:52PM Dikemas Kini : 03 Feb 2024 02:25PM
SINGAPURA: Encik Wee Cho Yaw, mantan pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank Singapura, UOB, meninggal dunia pada usia 95 tahun.

Encik Wee merupakan salah seorang daripada ahli perniagaan paling berjaya di Asia Tenggara. Beliau menerajui UOB Group selama lebih 60 tahun sebelum bersara daripada lembaga itu pada 2018.

Beliau juga memegang peranan sebagai pengerusi pemaju hartanah UOL Group.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu (3 Feb), UOB menyatakan: "Dengan rasa dukacita yang mendalam, UOB memaklumkan pemergian Dr Wee Cho Yaw, Pengerusi Emeritus dan Penasihat kepada UOB Group pada usia 95 tahun.

"Dr Wee, seorang pegawai bank yang berwawasan, ahli perniagaan dan tunjang masyarakat yang ternama, adalah (sosok) penting kepada pembangunan UOB sebagai bank terkemuka di Asia."

Dilahirkan di Kinmen pada 1930, Encik Wee berpindah ke Singapura ketika beliau masih kecil lagi di tengah-tengah perang Sino-Jepun.

Pada usia 28 tahun, beliau menjadi pengarah termuda di lembaga United Chinese Bank, yang diasaskan bersama bapanya pada tahun 1935.

Ia kemudiannya dinamakan semula sebagai United Overseas Bank (UOB), dan di bawah kepimpinan Encik Wee, ia menjadi bank ketiga terbesar Singapura dari segi permodalan pasaran.

Selain menjadi salah seorang individu paling kaya di Singapura, veteran perbankan itu secara konsisten muncul dalam senarai kaya Forbes.

Pada 2023, beliau menduduki tempat kelapan dalam senarai Forbes bagi 50 orang paling kaya di Singapura, dengan nilai bersih AS$7.2 bilion (S$9.7 bilion).

Anak sulung daripada lima anak Encik Wee, Wee Ee Cheong, kini menyandang jawatan sebagai CEO UOB.

"Bapa saya telah meninggalkan kesan yang sukar dihapuskan di Singapura dan rantau ini," jelas Encik Wee Ee Cheong.

"Beliau telah menjadi sumber inspirasi bagi saya dalam semua aspek kehidupan saya. Banyak yang akan diperkatakan mengenai kepintaran perniagaan dan kesepakatan beliau tetapi nilai kehormatan, perusahaan, perpaduan dan komitmen beliaulah yang akan menjadi legasi yang ditinggalkannya kepada kami di UOB.

"Sama ada pemikiran menyeluruh untuk jangka panjang, kepentingan hubungan yang mendalam, melakukan perkara yang betul atau memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, pengaruh bapa saya dan nilainya akan kekal di UOB."

Sumbangan mendiang Encik Wee kepada Singapura menjangkaui bidang perniagaan.

Beliau memimpin Hokkien Huay Kuan, salah satu persatuan suku kaum terbesar di Singapura dari tahun 1972 hingga 2010. Beliau juga merupakan presiden pengasas Persekutuan Persatuan-Persatuan Suku Kaum Cina Singapura (SFCCA), penaung bagi persatuan-persatuan suku kaum Cina tempatan.

Sebagai mantan presiden SFCCA, beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan Majlis Bantuan Pembangunan Cina (CDAC), yang diasaskan pada 1992 untuk membantu keluarga dari kaum Cina yang kurang bernasib baik dan para pelajar yang lemah dalam bidang akademik.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dalam ucapannya sempena ulang tahun ke-20 CDAC, menyifatkan Encik Wee sebagai "penggerak utama" di sebalik kumpulan-kumpulan bantu diri bukan mengaut untung.

"Beliau memimpin Jawatankuasa Pengumpulan Dana dan memberikan sumbangan dengan murah hati kepada Dana Yayasan, yang membantu mengumpulkan lebih daripada S$10 juta. Beliau membantu memperkenalkan banyak program CDAC, seperti Dana Bantuan Kesusahan CDAC-SFCCA, Skim Dermasiswa dan banyak lagi," kata Encik Lee pada tahun 2012

Selepas Universiti Nanyang bergabung dengan Universiti Singapura pada 1980, Encik Wee diundang untuk menjadi anggota majlis bagi Universiti Nasional Singapura (NUS), yang baru ditubuhkan.

Beliau kemudiannya menjadi Pro-Canselor Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada tahun 2004.

Kedua-dua universiti itu telah menganugerahkan ijazah doktor kehormat kepada Encik Wee atas sumbangannya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita