Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mantan pengerusi PUB, Tan Gee Paw, dilantik pemangku pengerusi Changi Airport Group

Kementerian Kewangan (MOF) dan Changi Airport Group (CAG) mengumumkan bahawa Encik Tan Gee Paw bakal mengambil alih jawatan pemangku pengerusi kumpulan itu pada Khamis (10 Sep), sedang mereka merakamkan penghargaan kepada mantan pengerusi Liew Mun Leong di atas sumbangan beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan pengerusi PUB, Tan Gee Paw, dilantik pemangku pengerusi Changi Airport Group

Encik Tan Gee Paw dilihat berbual dengan mantan Menteri Khaw Boon Wan semasa satu acara (Gambar: Facebook/Khaw Boon Wan)

Diterbitkan : 11 Sep 2020 08:37AM Dikemas Kini : 11 Sep 2020 08:45AM

SINGAPURA: Kementerian Kewangan (MOF) dan Changi Airport Group (CAG) mengumumkan bahawa Encik Tan Gee Paw bakal mengambil alih jawatan pemangku pengerusi kumpulan itu pada Khamis (10 Sep), sedang mereka merakamkan penghargaan kepada mantan pengerusi Liew Mun Leong di atas sumbangan beliau.

Encik Tan, 76, merupakan pengarah bukan ekesekutif CAG sejak Mei 2017.

Beliau yang terlatih dalam bidang kejuruteraan sivil pernah berkhidmat sebagai pengerusi agensi air kebangsaan PUB dari April 2001 hingga persaraannya pada Mac 2017.

Beliau merupakan seorang anggota jawatankuasa eksekutif CAG bagi pembangunan lapangan terbang dan pengarah firma perunding bandar dan prasarana Surbana Jurong, di mana Encik Liew juga merupakan pengerusinya hingga Khamis.

Pada Khamis, Encik Liew membuat kenyataannya yang pertama selepas satu kes mahkamah melibatkan bekas pembantu rumahnya dari Indonesia, Parti Liyani, mencetuskan kemarahan umum. Beliau berkata beliau akan bersara daripada semua jawatan khidmat awam dan perniagaan dengan serta merta.

Dalam satu kenyataan susulan, MOF mendedahkan bahawa Encik Liew telah memaklumkan kedua-dua kementerian itu dan CAG bahawa akibat sorotan meluas yang timbul daripada kes itu, beliau memilih untuk mengundurkan diri daripada jawatan pengerusi lembaga pengarah dan pengarah syarikat dengan serta merta, agar tidak mengalihkan perhatian pertubuhan itu.

MOF menambah pihaknya sedia maklum mengenai kenyataan hakim Mahkamah Tinggi yang membebaskan Cik Parti daripada semua tuduhan, serta penilitian lanjut Pejabat Peguam Negara ke atas perkara-perkara yang bangkit daripada kes itu.

"Encik Liew telah membuat sumbangan yang besar kepada pembangunan Lapangan Terbang Changi sebagai sebuah hab udara terulung, sebagai pengerusi pengasas CAG sejak 2009," menurut MOF.

"Di bawah kepimpinannya, CAG menyempurnakan pembangunan Terminal 4 dan Jewel, dan Lapangan Terbang Changi memenangi berbilang anugerah sebagai salah satu lapangan terbang terbaik di dunia.

"Kementerian ini merakamkan penghargaan terhadap Encik Liew di atas sumbangan khidmat awam beliau."

Dalam kenyataan berasingan, CAG mengucapkan terima kasih kepada Encik Liew di atas "khidmatnya selama bertahun-tahun".

Di bawah kepimpinannya, kumpulan itu mencapai satu "dekad pertama yang sangat kukuh" sejak 2009, yang menyaksikan jumlah penumpang yang melalui Changi melonjak 84 peratus dan pendapatan meningkat kepada lebih dua kali ganda, tambahnya.

"Semasa tempoh ini, CAG juga melepasi batas keupayaan dalam pembangunan lapangan terbang. Encik Liew menyediakan kepimpinan dan nasihat strategik bagi tiga projek penting secara serentak, iaitu Terminal 4, Jewel Lapangan Terbang Changi dan Changi East."

Encik Lee Seow Hiang, ketua pegawai eksekutif CAG, berkata: "Wawasan dan semangat Encik Liew untuk Changi adalah inspirasi bagi warga CAG dan lapangan terbang untuk sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan bagi menawarkan satu Pengalaman Changi yang luar biasa.

"Kami sangat menghargai dedikasi Encik Liew untuk mengembangkan Lapangan Terbang Changi selama bertahun-tahun dan untuk mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai sebuah hab penerbangan utama."

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan