Skip to main content

Singapura

Mantan Pengerusi CAG antara 7,210 penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2025

Mantan Pengerusi Changi Airport Group(CAG) Tan Gee Paw dianugerahi salah satu penghormatan tertinggi Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Pengerusi CAG antara 7,210 penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2025

Mantan pengerusi Kumpulan Lapangan Terbang Changi, Tan Gee Paw dan Darjah Utama Nila Utama. (Gambar: MOF, PMO)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 09 Aug 2025 07:33AM
SINGAPURA: Mantan Pengerusi Changi Airport Group (CAG) Tan Gee Paw dianugerahi salah satu penghormatan tertinggi Singapura.

Beliau mendahului senarai penerima Anugerah Hari Kebangsaan tahun ini, setelah dianugerahi Darjah Utama Nila Utama, atas sumbangannya dalam memajukan pembangunan Singapura dalam pelbagai bidang, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Diperkenalkan pada 1975, penghormatan itu diberikan oleh presiden atas nasihat perdana menteri.

Encik Tan adalah salah seorang daripada 7,210 orang yang diiktiraf atas sumbangan mereka kepada Singapura dalam senarai Anugerah Hari Kebangsaan tahun ini. Para penerima terdiri daripada 6,460 orang awam dan 750 anggota tentera.

KEPIMPINAN BERWAWASAN

Encik Tan memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya saing hab udara Singapura, keselamatan air dan keandalan sistem MRT, menurut MOF.

Dari Oktober 2020 hingga Mac 2025, beliau adalah pengerusi CAG. Di tengah-tengah pandemik COVID-19, beliau memastikan CAG menumpukan perhatian kepada misi teras Lapangan Terbang Changi sebagai sebuah hab udara, membolehkannya mencapai pemulihan trafik udara penuh selepas pandemik dengan pantas.

Encik Tan turut menyumbang kepada projek Changi East dan reka bentuk Terminal 5.

"Di bawah kepimpinannya, CAG memajukan usaha inovasi dan kemampanannya, meningkatkan kecekapan operasi dan membuat peningkatan infrastruktur yang ketara," menurut kata-kata pujian MOF untuk beliau.

Encik Tan juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi PUB, agensi air negara, antara 2001 dan 2017.

Beliau meningkatkan keselamatan air Singapura melalui inisiatif seperti NEWater dan projek infrastruktur air jangka panjang, termasuk Bendungan Marina.

Sebagai penasihat kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), Encik Tan "menyediakan panduan untuk menyelesaikan isu teknikal yang rumit" mengenai projek MRT dan menasihati LTA mengenai isu-isu pertubuhan yang kritikal. Beliau juga menggesa para pengendali MRT dan LRT Singapura untuk mencapai sasaran keandalan menjelang 2020.

DARJAH UTAMA BAKTI CEMERLANG

Anugerah Hari Kebangsaan tahun ini akan menyaksikan dua individu dianugerahi Darjah Utama Bakti Cemerlang: saintis pertahanan Lui Pao Chuen dan mendiang artis Lim Tze Peng.
Related article image
Profesor Lui Pao Chuen, Profesor Pertahanan Temasek di Institut Sistem Pertahanan Temasek dan pengerusi Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura, dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang. (Gambar: MOF)
Prof Lui dikurniakan Darjah Utama Bakti Cemerlang atas sumbangannya kepada Singapura dalam pelbagai bidang. Kata-kata pujian oleh MOF menyifatkan beliau sebagai "penyokong perintis pemikiran sistem".

Beliau berkhidmat selama 41 tahun di Kementerian Pertahanan (MINDEF), termasuk menghabiskan 22 tahun sebagai ketua saintis pertahanan pertama kementerian tersebut.

Prof Lui ialah profesor pertahanan Temasek yang pertama di Institut Sistem Pertahanan Temasek dan pengerusi Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura.

Sejak bersara, beliau terus menyumbang kepada pendidikan, sains, teknologi, pembangunan bandar, pertahanan dan infrastruktur.

Beliau berkhidmat sebagai penasihat kepada beberapa agensi, termasuk Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF). Beliau juga merupakan anggota lembaga bagi Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).

"Prof Lui telah memainkan peranan penting dalam memajukan keupayaan penyelidikan dan teknologi Singapura merentasi pelbagai bidang, daripada sains nuklear, kemampanan air, keselamatan negara, pembangunan gua bawah tanah, kepada penubuhan keupayaan angkasa lepas Singapura."

Sebagai pengerusi panel penasihat projek pembangunan MOF, Prof Lui menyediakan "kepimpinan strategik" dalam kajian semula projek infrastruktur awam utama, mencapai hasil kos yang berdaya maju. Beliau juga membimbing perancangan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, Pelabuhan Tuas dan perlindungan pantai Singapura.
Related article image
Mendiang Lim Tze Peng menerima penghormatan secara anumerta atas sumbangannya kepada warisan budaya dan landskap seni visual Singapura. (Gambar: MCCY)
Mendiang Encik Lim akan menerima penghormatan secara anumerta atas sumbangannya kepada warisan budaya dan landskap seni visual Singapura.

Artis ikonik itu, yang terkenal dengan pendekatan inovatifnya terhadap dakwat dan kaligrafi Cina, meninggal dunia pada awal tahun ini pada usia 103 tahun.

Encik Lim, yang kerjaya seninya bermula pada 1950-an, merupakan warga Singapura pertama yang mengadakan pameran solo di Muzium Seni Negara China dan Muzium Seni Liu Haisu, menurut anugerahnya yang disediakan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Karya mendiang juga telah dipamerkan di luar Asia, termasuk di Galeri Saatchi di London dan Grand Palais di Paris.

Kata-kata pujian untuk Encik Lim menyerlahkan betapa pentingnya Siri Singapura Lama mendiang, menyifatkannya sebagai "arkib visual warisan Singapura yang tidak ternilai" yang merakam dengan mahir transformasi Singapura melalui paparan Chinatown dan Sungai Singapura.

"Kerja-kerja ini mengekalkan kenangan tentang kampung, rumah kedai dan kehidupan sungai yang sibuk, menghubungkan generasi rakyat Singapura dengan akar budaya mereka," katanya.

Pada 1949, Encik Lim menjadi guru di Sekolah Xin Min, sebelum menjadi pengetuanya pada tahun 1951 - jawatan yang disandangnya sehingga 1981.

Pada 2014, beliau menubuhkan Galeri Seni Lim Tze Peng di alma maternya, Sekolah Tinggi Chung Cheng (Utama). Galeri itu dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri ketika itu Lee Hsien Loong pada 10 Jul 2014.

Pada 2022, Encik Lim membuka The Art Abode: Lim Tze Peng di Ubi Road, ruang khusus yang mempamerkan karya sepanjang riwayatnya.

PINGAT JASA GEMILANG

Seramai 12 individu telah dianugerahi Pingat Jasa Gemilang.

Antaranya ialah saintis sosial Dr Noeleen Heyzer; Ketua Pegawai Eksekutif PAVE Sudha Nair; dan Pengerusi Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura Davinder Singh.

Senarai penuh penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2025 diumumkan di laman web Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu (9 Ogos).

Anugerah tersebut akan disampaikan di sebuah majlis yang mungkin akan diadakan pada bulan November tahun ini.
Sumber : CNA/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita