Mantan pengarah urusan IHH Healthcare disebut-sebut bakal calon PAP, rancang rangkaian sokongan di Marine Parade
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Dr Tan See Leng, yang diramal bakal menjadi calon bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk pilihan raya umum akan datang, akan melancarkan Rangkaian Sokongan Penjaga yang baru di Marine Parade.
Dr Tan See Leng dan ESM Goh Chok Tong pada bulan Januari. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Mantan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Dr Tan See Leng, yang diramal bakal menjadi calon bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk pilihan raya umum akan datang, akan melancarkan Rangkaian Sokongan Penjaga yang baru di Marine Parade.
Dr Tan mula mengiringi Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong dalam kerja-kerja akar umbi di GRC Marine Parade tidak lama selepas melepaskan jawatan dari kumpulan jagaan kesihatan IHH Healthcare hujung tahun lalu.
Pada Ahad (22 Mac), Encik Goh memuat naik gambar dengan Dr Tan, mantan timbalan ketua eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Mohd Fahmi Aliman, Anggota Parlimen (AP) Mountbatten Lim Biow Chuan dan AP MacPherson Tin Pei Ling.
"Pasukan impian saya bagi GRC West Coast atau di mana-mana," tulis beliau, sebagai memberi bayangan kemungkinan Dr Tan dan Encik Fahmi bakal dicalonkan dalam pilihan raya akan datang.
"Pada awalnya apabila beliau (Encik Goh) bertanya sama ada saya boleh menjadi calon, beliau ada berkata, bergantung kepada bagaimana menyerlahnya rangkaian kerja sokongan penjaga atau kerja saya di akar umbi Marine Parade, ia akan menjadi ujian sama ada saya cukup bagus atau tidak," kata Dr Tan kepada Mediacorp pada Isnin (23 Mac).
"Saya rasa dengan beliau memuat naik catatan (di laman Facebook)... saya tidak tahu, dan itu sesuatu yang anda harus tanya beliau sendiri. Mungkin beliau rasa saya sudah lulus ujian itu," ujar Dr Tan.
Jika beliau dicalonkan, Dr Tan, yang sudah berusia 55 tahun, jauh berbeza berbanding calon-calon yang biasanya lebih muda.
Dr Tan melepaskan jawatan beliau sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif IHH Healthcare pada 31 Dis 2019, selepas kontrak beliau tamat.
Beliau mula memegang jawatan tersebut pada Januari 2014. Kumpulan jagaan kesihatan itu tersenarai di Singapura dan Malaysia, dan antara yang terbesar di dunia.
Aank syarikatnya, Parkway Pantai, mempunyai rangkaian 28 hospital di Asia, termasuk Hospital Mount Elizabeth, Hospital Mount Elizabeth Novena, Hospital Gleneagles dan Hospital Parkway East di Singapura.
Sebelum aktif di Marine Parade, beliau mempunyai "pengalaman terhad" dalam membantu kerja-kerja akar umbi. Beliau kali pertama terlibat dalam kegiatan akar umbi pada awal 1990-an, apabila menjadi seorang doktor di Kembangan, kata beliau.
Beliau kemudian berkhidmat di bawah mantan Menteri Ehwal Luar George Yeo di Kembangan, sebagai pengerusi jawatankuasa kejiranan Jalan Senang buat jangka pendek, tambahnya.
Encik Goh menghampirinya selepas berita mengenai persaraannya tersebar, kata Dr Tan sebelum ini, sambil menambah anak lelaki Encik Goh adalah bekas rakan sekerjanya.
Encik Goh mengumumkan pada Januari beliau menugaskan Dr Tan untuk melancarkan Rangkaian Sokongan Penjaga, sebagai penaung Rangkaian Mengupaya Masyarakat WeCare di Marine Parade.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.