Skip to main content

Singapura

Mantan Panglima RSAF Ng Chee Khern pengerusi baharu CAAS mulai 1 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
 Mantan Panglima RSAF Ng Chee Khern pengerusi baharu CAAS mulai 1 Ogos

Ng Chee Khern (kiri) akan ambil alih Edmund Cheng (kanan) sebagai pengerusi lembaga CAAS mulai 1 Ogos 2026. (Gambar: MOT)

Diterbitkan : 15 Jul 2026 03:04PM
SINGAPURA: Selepas lebih sembilan tahun berkhidmat dalam Lembaga Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), termasuk menyelia sektor penerbangan Singapura mengharungi pandemik COVID-19, Encik Edmund Cheng akan melepaskan jawatan sebagai pengerusinya, dengan Encik Ng Chee Khern bakal mengambil alih mulai 1 Ogos.

Encik Ng sebelum ini ialah Panglima Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dari 2006 hingga 2009 dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dari 2022 hingga 2025.

Dalam kenyataannya pada Rabu (15 Jul), Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan bahawa pengalaman kepimpinan Encik Ng yang luas - beliau juga timbalan pengerusi CAAS sejak 1 Januari - akan memberi manfaat besar kepada penguasa tersebut dalam usahanya "memperkukuh kedudukan Singapura sebagai sebuah hab penerbangan global".

Encik Ng memulakan kerjayanya sebagai juruterbang dalam Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) pada tahun 1984 dan telah dianugerahi Pingat Pentadbiran Awam (Emas) pada 2016.

Beliau juga pernah memegang jawatan penting di Kementerian Kesihatan (MOH), serta Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Beliau kini pengarah dan ketua pegawai eksekutif ISEAS - Institut Yusof Ishak serta ahli lembaga pemegang amanahnya.

SUMBANGAN KEPADA CAAS

Sejak Julai 2018, Encik Cheng telah berkhidmat sebagai pengerusi CAAS, selepas menjadi timbalan pengerusinya dari Disember 2016.Beliau merupakan pengerusi syarikat pengendali perkhidmatan darat SATS dari 2003 hingga 2016, serta pengerusi Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dari 1993 hingga 2001.

Di bawah kepimpinan Encik Cheng, CAAS telah mengusahakan beberapa projek jangka panjang yang bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Singapura sebagai sebuah hab penerbangan, termasuk pembinaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi yang akan datang, Zon Perindustrian Changi East dan Daerah Bandar Changi East.

Ia juga menubuhkan pertubuhani baharu seperti Pusat Penerbangan Mampan Asia Pasifik dan Syarikat Bahan Api Penerbangan Mampan Singapura.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, CAAS telah mengemudi sektor penerbangan Singapura mengharungi pandemik, membangunkannya semula sehingga berjaya menguruskan rekod tertinggi dengan hampir 70 juta pergerakan penumpang dan lebih dua juta tan kargo udara pada 2025, menurut MOT.

Pada 2025, penguasa tersebut mengumumkan komitmen sebanyak S$1 bilion (AS$780 juta) bagi menyokong inisiatif dalam bidang ketersambungan, teknologi, infrastruktur dan tenaga kerja.

MOT juga menyatakan bahawa di bawah teraju Encik Cheng, CAAS telah membina keupayaan baharu untuk menjadikan hab penerbangan Singapura lebih mampan dan diperkasakan oleh teknologi, menerusi pelancaran Perancangan Perubahan Industri Pengangkutan Udara pada 2023 dan pelancaran Pelan Induk Hab Udara Mampan Singapura pada 2024.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Encik Cheng atas "khidmat cemerlangnya", MOT dan CAAS menyatakan bahawa mereka amat menghargai "sumbangan tidak ternilai" beliau kepada penguasa tersebut serta sektor penerbangan Singapura.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita