Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mantan NCMP Steve Chia ambil alih Chiam See Tong sebagai ketua SPP

Parti Rakyat Singapura (SPP) melantik bekas anggota Parti Perpaduan Nasional (NSP) Steve Chia untuk menggalas jawatan tertingginya selaku setiausaha agung, setelah mesyuarat pertama jawatankuasa eksekutif pusat pada Selasa malam (5 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan NCMP Steve Chia ambil alih Chiam See Tong sebagai ketua SPP

Encik Steve Chia (kiri) dilantik setiausaha agung SPP, Encik Jose Raymond sebagai pengerusi (Gambar: Jose Raymond/Facebook)

Diterbitkan : 06 Nov 2019 03:26PM Dikemas Kini : 06 Nov 2019 03:30PM

SINGAPURA: Parti Rakyat Singapura (SPP) melantik bekas anggota Parti Perpaduan Nasional (NSP) Steve Chia untuk menggalas jawatan tertingginya selaku setiausaha agung, setelah mesyuarat pertama jawatankuasa eksekutif pusat pada Selasa malam (5 Nov).

Bekas Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari 2002 hingga 2006 yang berusia 48 tahun itu, mengambil alih jawatan mantan setiausaha agung dan ahli veteran pembangkang Chiam See Tong, 84 tahun.

Sementara itu Encik Jose Raymond, 47, mantan pengarah eksekutif Majlis Sekitaran Singapura (SEC), dilantik sebagai pengerusi manakala anggota lama SPP Williiamson Lee, 39, dilantik sebagai naib pengerusi.

Cik Lina Chiam, 70, mantan pengerusi dan isteri Encik Chiam akan mengisi jawatan sebagai "pengerusi terdahulu yang terdekat".

"Saya yakin dengan mereka, dan saya percaya mereka akan bekerja keras untuk meneruskan legasi dan tugas SPP dan berkhidmat untuk rakyat Singapura," kata Cik Chiam.

PENGARUH CHIAM SEE TONG TERHADAP GENERASI BARU

Encik Chiam memegang jawatan tertinggi SPP sejak 1996, dan pengumuman jawatankuasa eksekutif pusat baru SPP menandakan persaraannya setelah lebih empat dekad berkecimpung dalam politik. Tahap kesihatannya merosot setelah mengalami beberapa serangan angin ahmar dan kecederaan pinggul.

Cik Chiam berkata: "Bagi pihak Encik Chiam, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong kami dan berharap mereka akan terus menyokong pasukan kepimpinan baru ini, kerana kami akan terus berkhidmat untuk negara, untuk rakyat."

Mengiktiraf pengaruh Encik Chiam terhadap pelibatannya dalam bidang politik, Encik Chia berkata: "Saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Chiam atas bimbingannya selama bertahun-tahun ... Kerana membimbing saya memasuki Parlimen sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi semasa kami di bawah Perikatan Demokrat Singapura.

"Beliau inspirasi dalam hidup saya, dan ini benar-benar satu penghormatan besar bila saya diamanahkan mengambil alih jawatannya di SPP."

Encik Chia sebelum ini telah lama menjadi anggota NSP dan baru menyertai SPP tahun lalu.

Setelah menyertai NSP pada 1995, Encik Chia bertanding dalam Pilihan Raya Umum pertamanya pada 1997. Beliau menjadi seorang NCMP pada Nov 2001.

MANTAN ANGGOTA PAP KINI SEORANG PEMIMPIN SPP

Encik Raymond, ketua pegawai strategi firma komunikasi Spin Worldwide yang sebelum ini dilihat sebagai salah seorang bakal ketua baru parti itu selain Encik Chia, berkata bahawa beliau "tidak pernah terbayang" akan diberi jawatan tersebut.

Beliau berkata: "Adalah tugas dan tanggungjawab kami untuk meneruskan kerja Encik dan Cik Chiam dan nilai-nilai SPP - untuk setia kepada negara, menyarankan idea baik mengenani dasar-dasar, membantu orang yang memerlukan, menjadi suara mereka, dan sentiasa boleh diharapkan."

Encik Raymond, bekas anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan setiausaha akhbar Dr Vivian Balakrishnan ketika beliau menyandang jawatan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, menyertai SPP pada Oktober 2017.

Beliau sudah melakukan lawatan bertemu penduduk bersama partinya di Potong Pasir.

Kawasan Undi Perseorangan itu adalah kubu kuat Encik Chiam selama 27 tahun sebelum jatuh ke tangan PAP pada Pilihan Raya Umum 2011, apabila beliau beralih untuk bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh sebagai sebahagian daripada sebuah pasukan lima anggota.

Pasukan Encik Chiam kalah kepada PAP tahun itu dengan meraih 43 peratus undi. Cik Chiam, yang bertanding di Potong Pasir, kalah tipis dengan meraih 49.6 peratus undi.

PELANTIKAN BARU DI SPP

Mesyuarat pertama jawatankuasa eksekutif pusat SPP berlangsung selama kira-kira tiga jam pada Selasa malam untuk mengisi jawatan-jawatan berikut:

  • Encik Chia selaku setiausaha agung
  • Encik Raymond sebagai pengerusi
  • Cik Chiam sebagai pengerusi terdahulu yang terdekat
  • Williamson Lee selaku naib pengerusi, mengambil alih daripada Cik Jeannette Chong-Aruldoss yang meletak jawatan pada 2 Sep
  • Encik Ariffin Sha, 22, seorang pelajar jurusan undang-undang di New Zealand, yang baru dilantik ke jawatankuasa eksekutif pusat, selaku penolong setiausaha agung
  • Encik Eman Lim, 39 tahun, sebagai setiausaha penganjur
  • Encik Mario Ong, 39 tahun, sebagai bendahari
  • Encik Ng Theng Lim, sebagai penolong setiausaha penganjur
  • Cik Kathleen Cheong, sebagai ketua perhubungan
  • Encik Shahir Shahfie, yang bekerja dalam industri minyak dan gas, sebagai penolong bendahari
  • Encik Jalil Wari, yang baru dilantik ke jawatankuasa eksekutif pusat
  • Encik Yong Seng Fatt 
Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan