Skip to main content

Singapura

Mantan Menteri Pengangkutan Iswaran berdepan 8 tuduhan baharu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Mar 2024 10:29AM Dikemas Kini : 25 Mar 2024 09:42PM
SINGAPURA: Mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran dihadapkan semula ke mahkamah pada Isnin (25 Mac) untuk berdepan dengan lapan tuduhan baharu.

Ini belum genap seminggu selepas Encik Iswaran, 61 tahun, kembali ke Singapura daripada lawatannya ke Australia yang diluluskan mahkamah.

Tempoh lawatan itu dilanjutkan disebabkan keadaan kesihatannya.

Lapan tuduhan baharu itu adalah di bawah Seksyen 165 Kanun Jenayah dan mendakwa Encik Iswaran memperolehi barangan berharga termasuk botol wiski, kayu golf dan basikal Brompton daripada seorang lelaki bernama Lum Kok Seng.

Ini dipercayai berlaku semasa jawatan rasmi Encik Iswaran sebagai Menteri Pengangkutan ketika itu ada kaitan dengan perusahaan Encik Lum bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menerusi syarikatnya Lum Chang Building Contractors.

Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menyatakan dalam satu kenyataan berasingan pada Isnin bahawa barangan tersebut mempunyai nilai keseluruhan kira-kira S$18,956.94.

Encik Iswaran juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan baharu itu, yang membawa jumlah keseluruhan tuduhannya kepada 35.

Pihak pembela mempersoalkan mengapa pertuduhan baharu itu hanya dikemukakan sekarang, sementara pihak pendakwa menjelaskan bahawa semua pertuduhan tersebut adalah berdasarkan bukti.

Encik Iswaran pertama kali dikenakan 27 tuduhan pada Januari, termasuk dua bagi tuduhan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah, satu tuduhan kerana menghalang undang-undang dan lagi 24 kerana menerima ganjaran sebagai penjawat awam di bawah Kanun Jenayah.
Beliau mengaku tidak bersalah ke atas semua tuduhan tersebut, yang berkait dengan hubungannya dengan hartawan hartanah Ong Beng Seng, yang memiliki hak ke atas Grand Prix Singapura dan merupakan pengerusi penganjur perlumbaan GP Singapura.

Tuduhan-tuduhan pertama mendakwa Encik Iswaran menerima rasuah berjumlah lebih S$166,000 termasuk penginapan hotel dan tiket ke acara-acara sebagai pertukaran untuk memajukan kepentingan perniagaan hartawan itu.

Beliau secara berasingan dituduh menerima barangan berharga bernilai kira-kira S$218,000 ketika beliau berkhidmat sebagai seorang menteri dan juga berurusan dengan Encik Ong serta syarikatnya. Encik Iswaran merupakan pengerusi Jawatankuasa Pemandu F1.

Encik Iswaran melepaskan jawatan beliau dalam pemerintah dua dari sebelum beliau dihadapkan ke mahkamah buat pertama kalinya pada Januari.

Beliau sebelum itu diberikan cuti ketidakhadiran sedang siasatan oleh CPIB masih dijalankan.

Jika didapati bersalah menerima barangan berharga sebagai penjawat awam, Encik Iswaran boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan menerima rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.

Jika didapati bersalah menghalang undang-undang, beliau boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita