Mantan Menteri Negara Kanan Lee Yi Shyan, AP WP berbalas pandangan mengenai strategi ekonomi
(Dari kiri) Anggota Parlimen WP Kenneth Tiong, mantan Menteri Negara Kanan Lee Yi Shyan dan Anggota Parlimen WP Jamus Lim. (Gambar: Petikan skrin sidang parlimen 5 Ogos/Facebook/Lee Yi Shyan)
Catatan Encik Lee di Facebook pada Ahad (16 Ogos) mendapat respons daripada Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied Kenneth Tiong dan AP GRC Sengkang Jamus Lim.
Encik Tiong dan Profesor Madya Lim sebelum ini mengemukakan usul mengenai pertumbuhan ekonomi di parlimen pada 5 Ogos.
Usul asal WP menggesa sebuah ekonomi yang memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura dan menggariskan visi serta strategi ekonomi parti itu.
Usul tersebut kemudian dipinda dan diluluskan, dengan menyeru kepada ekonomi yang lebih adil dan inklusif serta menyediakan ruang bagi syarikat tempatan dan perusahaan global.
LEE PERSOAL STRATEGI EKONOMI WP
Encik Lee berkata beliau terkejut selepas mendengar rancangan yang dikemukakan Encik Tiong dan Profesor Madya Lim untuk memperkukuh syarikat tempatan.
Beliau berkata berdasarkan pengalamannya mengendalikan dasar ekonomi sebagai penjawat awam dan kemudian pemegang jawatan politik, beliau melihat sendiri bagaimana syarikat berbilang negara (MNC) mewujudkan peluang bagi syarikat tempatan.
MNC juga membantu syarikat tempatan membina keupayaan dan menembusi pasaran baharu, tambahnya.
Encik Lee, yang pernah menyandang jawatan di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, Kementerian Tenaga Manusia dan Kementerian Pembangunan Negara antara 2006 dengan 2015, meninggalkan politik pada 2020.
Beliau kini Pengerusi Business China dan Penasihat Eksekutif kumpulan hartanah dan penjagaan kesihatan OUE Ltd.
Menurut Encik Lee, Singapura memerlukan syarikat tempatan yang dinamik dan permintaan domestik yang sihat, namun kedua-duanya tidak boleh menggantikan pelaburan asing dan pasaran global.
Beliau menarik perhatian bahawa Singapura hanya mempunyai pasaran domestik sekitar enam juta penduduk.
Encik Lee turut mempersoalkan sama ada Singapura mampu mengurangkan tumpuan terhadap usaha menarik pelaburan syarikat berbilang negara ketika persaingan global bagi mendapatkan pelaburan semakin sengit.
Beliau juga menuduh WP mengambil kesempatan politik, dengan mendakwa parti itu cenderung menuntut lebih banyak apabila sesuatu dasar pemerintah popular tetapi menentangnya apabila dasar tersebut tidak popular.
WP: BUKAN PILIH SYARIKAT TEMPATAN ATAU MNC
Menjawab kritikan tersebut, Encik Tiong berkata WP mengemukakan usul berkenaan dengan niat baik bagi membincangkan pilihan dan pertimbangan rumit yang dihadapi ekonomi Singapura.
Beliau menegaskan WP tidak pernah mencadangkan supaya Singapura memilih antara perusahaan tempatan dengan MNC.
Menurut Encik Tiong, WP sebaliknya mencadangkan usaha memperkukuh perusahaan tempatan menerusi beberapa langkah, termasuk sokongan automatik bagi syarikat baharu, pelepasan cukai lebih luas bagi penyelidikan dan pembangunan serta geran berkaitan gaji.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa WP mencadangkan permintaan domestik sahaja mampu memacu ekonomi Singapura.
Sebaliknya, katanya, pendirian WP adalah bahawa permintaan domestik diperlukan tetapi tidak mencukupi dengan sendirinya.
Encik Tiong turut berkata Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan Jeffrey Siow menerima penjelasan Profesor Madya Lim di parlimen bahawa memilih antara MNC dengan SME merupakan satu dikotomi palsu.
JAMUS LIM PERTAHAN VISI WP
Profesor Madya Lim pula mempertahankan visi ekonomi WP menerusi catatan di media sosial pada Isnin (17 Ogos).
Beliau berkata model ekonomi yang selama ini membantu meningkatkan pendapatan per kapita Singapura perlu berkembang daripada pertumbuhan berasaskan pengumpulan input kepada pertumbuhan yang dipacu daya penghasilan.
Menurutnya, daya penghasilan sedemikian lebih mudah dicapai menerusi syarikat tempatan yang kecil, tangkas dan inovatif.
Namun, Profesor Madya Lim menegaskan Singapura masih boleh meraih manfaat daripada MNC, modal asing dan teknologi dari luar negara.
Beliau berkata WP tidak mencadangkan supaya Singapura menutup pintunya kepada pelaburan asing.
Sebaliknya, parti itu mahu lebih banyak penekanan diberikan kepada penyelidikan dan pembangunan serta usaha membantu sektor swasta mengubah inovasi menjadi produk komersial.
Menurut Profesor Madya Lim, perubahan tersebut boleh membantu membangunkan syarikat tempatan yang mampu menjadi peneraju, di samping menghasilkan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik.
Encik Lee pula berkata perbezaan penting antara PAP dengan WP sebenarnya terletak pada pendekatan kedua-dua parti terhadap rizab negara.
Menurutnya, WP berkali-kali menggesa supaya lebih banyak rizab yang dikumpulkan generasi terdahulu digunakan, sedangkan PAP mahu melindunginya untuk generasi akan datang dan menghadapi keadaan luar jangka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.