Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mantan Menteri Negara Kanan Ch'ng Jit Koon meninggal dunia pada usia 90 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Menteri Negara Kanan Ch'ng Jit Koon meninggal dunia pada usia 90 tahun

Gambar: Kenji Soon/MCI

Diterbitkan : 02 Mar 2024 05:30PM Dikemas Kini : 02 Mar 2024 05:31PM
SINGAPURA: Encik Ch'ng Jit Koon, yang berkhidmat dalam politik selama 28 tahun sebagai Anggota Parlimen dan Menteri Negara Kanan, meninggal dunia pada Jumaat (1 Mac) pada usia 90 tahun.

Encik Ch'ng memulakan kerjaya politiknya pada 1968 apabila beliau dipilih sebagai Anggota Parlimen Tiong Bahru. Beliau berkhidmat di sana sehingga 1991, sebelum beliau dipindahkan ke Bukit Merah, di mana beliau menjadi Anggota Parlimen untuk satu lagi penggal, sebelum bersara pada 1996.

Beliau adalah Setiausaha Parlimen Kanan kepada Perdana Menteri, dan kemudian Menteri Negara dan Menteri Negara Kanan Pembangunan Masyarakat.

Atas sumbangannya, Encik Ch'ng telah dianugerahi Darjah Utama Bakti Cemerlang semasa Anugerah Hari Kebangsaan 2015.

Dalam catatan Facebooknya pada petang Sabtu (2 Mac), Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi penghormatan kepada Encik Ch'ng, sambil menyifatkan veteran Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu sebagai "rakan seperjuangan yang sangat dihargai".

Encik Ch'ng rapat dengan Perdana Menteri pengasas Lee Kuan Yew, yang pernah menyifatkan beliau sebagai "bertaraf pertama" dan mempunyai "kemahiran berhubungan yang sangat baik", tulis PM Lee pada Sabtu. Encik Ch'ng juga adalah salah seorang pengusung jenazah semasa persemadian Encik Lee Kuan Yew pada tahun 2015.

Encik Ch'ng amat mahir dalam menghubungkan pemimpin pemerintah dengan rakyat dan beliau memulakan amalan lawatan menteri bertemu penduduk, yang diteruskan sehingga ke hari ini, tambah PM Lee.

Encik Ch'ng juga disifatkan sebagai anggota masyarakat Cina yang berpengaruh dan merupakan penyokong keputusan untuk menggabungkan Universiti Nanyang dengan Universiti Singapura, kata PM Lee.

"Jit Koon bekerja keras untuk memupuk perpaduan dalam masyarakat Cina, dan mengukuhkan identiti Cina dalam masyarakat berbilang budaya kita," tulis PM Lee.

Pada peringkat peribadi, PM Lee berkata Encik Ch'ng tidak lokek memberikan nasihat dan galakan setiap kali mereka bertemu.

"Saya terkejut dan terharu apabila beliau memberitahu saya setahun dua yang lalu betapa gembiranya beliau kerana pemerintah menunjukkan prestasi yang baik," kata PM Lee.

"Pembaharuan politik sudah membuahkan hasil, dan beliau berpeluang menyaksikan pada usia senja kerja kerasnya diteruskan dan diperkukuhkan selepas beliau meninggalkan arena politik."

Mereka berdua kali terakhir bertemu semasa majlis jamuan tengah hari Tahun Baharu Cina di Istana baru-baru ini yang dihoskan oleh PM Lee untuk para Anggota Parlimen yang sudah bersara.

"Saya ingin menyampaikan takziah yang mendalam kepada keluarganya. Ingatan kami bersama keluarga mendiang pada masa sukar ini."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan