Skip to main content

Singapura

Mantan Menteri Kanan Teo Chee Hean letak jawatan daripada lembaga pengarah GIC

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Menteri Kanan Teo Chee Hean letak jawatan daripada lembaga pengarah GIC

Gambar fail Teo Chee Hean bercakap kepada media pada 20 Mei 2025, menjelang persaraannya daripada politik.

Diterbitkan : 10 Jun 2025 06:21PM Dikemas Kini : 11 Jun 2025 12:16AM
SINGAPURA: Mantan Menteri Kanan Teo Chee Hean meletak jawatan daripada lembaga pengarah GIC dan sebagai pengerusi lembaga penasihat antarabangsanya, berkuat kuasa mulai 30 Jun, menurut dana kekayaan negara itu pada Selasa (10 Jun).

Encik Teo, 70 tahun, bersara daripada politik pada April lalu dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) baru-baru ini. Temasek Holdings mengumumkan minggu lalu bahawa beliau akan menggantikan Encik Lim Boon Heng sebagai pengerusi kelimanya.

Beliau akan mula menyertai lembaga Temasek sebagai timbalan pengerusi pada 1 Julai, sebelum mengambil alih pada 9 Oktober.

Encik Teo berkhidmat di Lembaga GIC selama 14 tahun. Beliau mula-mula dilantik sebagai pengarah pada Disember 2010 dan mengambil peranan sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Antarabangsanya pada April 2015.

"Semasa tempoh perkhidmatannya, Encik Teo membantu GIC mengemudi perkembangan penting termasuk kesan krisis kewangan global, pandemik COVID-19, perubahan pantas teknologi dan iklim, serta ketidakpastian geopolitik yang meningkat," menurut GIC menerusi satu kenyataan.

Dalam surat kepada Encik Teo, Menteri Kanan dan Pengerusi GIC Lee Hsien Loong menulis: "Bagi pihak lembaga pengarah, pengurusan, dan kakitangan GIC, saya ingin menyatakan penghargaan kami atas sumbangan berharga anda di lembaga GIC selama 14 tahun."

Sebagai pengarah, Encik Teo membantu mengemudi strategi dan dasar pelaburan jangka panjang GIC, kata Encik Lee.

"Pandangan anda mengenai perkembangan dan risiko geopolitik telah membimbing strategi pelaburan global GIC dan pembangunan rangka kerja pelaburannya, semasa GIC bertindak balas terhadap persekitaran global yang semakin kompleks," tambahnya.

CEO GIC Lim Chow Kiat menambah: "Encik Teo dengan murah hati menyumbangkan pengalamannya yang luas dalam dasar awam dan hal ehwal global kepada GIC.

"Pandangan geopolitiknya sangat penting, memandangkan kerumitan dan kepentingan isu-isu ini yang semakin meningkat bagi GIC."

Beliau menambah bahawa dedikasi Encik Teo kepada Singapura adalah aset yang tidak ternilai, membantu dana kekayaan berdaulat itu untuk mempertajam disiplin pelaburan dan nilai-nilai organisasinya.

"Bagi pihak lembaga dan GIC, saya menyampaikan penghargaan kami atas perkhidmatannya dan mengharapkan yang terbaik untuknya dalam peranan masa depannya."

Encik Teo memulakan kerjaya politiknya pada tahun 1992 apabila beliau menjadi sebahagian daripada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bertanding dan memenangi pilihan raya kecil di GRC Marine Parade. Beliau kemudian beralih untuk bertanding di GRC Pasir Ris semasa pilihan raya 1997 dan seterusnya dipilih semula di GRC Pasir Ris-Punggol sebanyak lima kali.

Semasa khidmatnya dalam pemerintah, Encik Teo mengetuai kementerian hal ehwal dalam negeri, pertahanan, pendidikan dan alam sekitar, antara peranan lain. Sebagai anggota teras pasukan kepimpinan generasi ketiga Singapura, beliau kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri antara 2009 dan 2019 sebelum dilantik sebagai menteri kanan.

Veteran politik itu juga memegang peranan sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dari 2011 dan menyelia portfolio lain, seperti Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital dan Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan, sehingga beliau meletak jawatan daripada dunia politik.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita