Mantan ketua perkhidmatan awam, Peter Ho pimpin semakan tindak balas Pemerintah terhadap COVID-19
SINGAPURA: Mantan ketua perkhidmatan awam, Encik Peter Ho, ditugaskan untuk menyelia semakan tindakan susulan (AAR) mengenai tindak balas COVID-19, yang sudah pun bermula, kata pengerusi bersama pasukan bertindak COVID-19, Lawrence Wong pada Isnin (9 Mei).
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata di Parlimen bahawa tindak balas Singapura terhadap pandemik itu boleh dibahagikan kepada dua fasa yang luas.
AAR memberi tumpuan pada "fasa pertama" pengalaman Singapura dengan COVID-19, bermula dari permulaan penularan virus itu hingga Ogos 2021, di mana tumpuan diberikan pada usaha membendung penyebaran virus tersebut.
"Selepas itu, apabila kami sudah memberi suntikan vaksin kepada sebahagian besar penduduk di Singapura, kami mengubah pendekatan untuk belajar hidup dengan virus itu. Buat masa ini, pandemik masih belum berakhir, tetapi keadaan telah bertambah baik," kata Encik Wong.
Beliau menekankan lagi apa yang dikatakan oleh Menteri Kanan Teo Chee Hean di Parlimen tahun lalu, bahawa Pemerintah akan memulakan AAR "apabila keadaan sudah stabil dan kita keluar dari bahaya".
Menurut Encik Wong Encik Ho telah diberi "semua maklumat berkenaan dengan tindak balas Pemerintah" untuk membolehkan beliau melakukan "penilaian menyeluruh".
"(Ini) adalah niat kami. Untuk belajar secara menyeluruh dan teliti daripada apa yang kita alami setakat ini, agar kita boleh melakukan lebih baik lagi jika berdepan pandemik seterusnya, yang pasti akan datang," kata Encik Wong.
"Ini juga pendekatan yang kami ambil dan apabila kami mengkaji semula pengajaran daripada SARS... Kami meletakkan rangka kerja DORSCON. Kami menubuhkan NCID (Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit). Begitu juga, kami akan menimba banyak pengajaran, banyak pengajaran yang berguna, pengajaran daripada COVID-19, terutamanya fasa pertama pengalaman setakat ini."
FOKUS PADA ISU STRATEGIK
Encik Wong berkata pengajaran yang diperolehi daripada AAR adalah "meluas", dan akan merangkumi "bagaimana kita boleh menjadi lebih berdaya bingkas sebagai sebuah negara, bagaimana kita boleh meningkatkan rantaian bekalan kita, bagaimana kita boleh meningkatkan daya tahan negara kita secara meluas, dalam pelbagai bidang".
Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi, Leong Mun Wai (PSP) bertanya sama ada AAR akan memasukkan "penilaian lebih terperinci tentang cara COVID (belanjawan) berjumlah S$100 bilion" dibelanjakan.
Meskipun AAR akan meneliti "pelbagai isu", tumpuan akan diberikan kepada isu-isu yang mempunyai kepentingan strategik dan nasional, kata Encik Wong.
"Soalan yang Encik Leong tanya sebenarnya lebih berkaitan dengan kebertanggungjawaban berhubung dengan wang yang dibelanjakan, yang merupakan isu penting. Tetapi saya fikir (ia) berbeza sedikit dan MOF (Kementerian Kewangan) akan menjawabnya. Dan kami berbuat demikian bagi semua jenis perbelanjaan, dan di mana relevan, kami akan mengeluarkan maklumat tentang bagaimana wang itu dibelanjakan," tambahnya.
"Namun, biarkan AAR memberi tumpuan kepada isu yang lebih strategik dan penting yang akan membolehkan kita lebih bersedia untuk menghadapi pandemik seterusnya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.