Skip to main content

Singapura

Mantan ketua pegawai pelaburan GIC, Ng Kok Song, umum niat bertanding dalam Pilihan Raya Presiden

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jul 2023 11:42AM Dikemas Kini : 19 Jul 2023 08:55PM
SINGAPURA: Mantan Ketua Pegawai Pelaburan GIC, Ng Kok Song, mengumumkan menerusi lamannya bahawa beliau berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Singapura.

Lelaki berusia 75 tahun itu tiba di Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada pagi Rabu (19 Jul), ditemani tiga anak dan tunangnya, Sybil Lau, yang dalam lingkungan usia 40-an tahun.

Encik Ng menjadi orang ketiga yang menyuarakan niat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Singapura.

Beliau sekarang ini merupakan pengerusi Avanda Investment Management, sebuah syarikat pengurusan aset yang ditubuhkan secara bersama dengan dua rakan kerja, yang dahulu juga berkhidmat di GIC.

Syarikat itu Encik Ng bangunkan secara bersama pada 2015, tidak lama selepas beliau bersara daripada GIC - dana perbadanan pelaburan pemerintah Singapura - pada 2013 selepas 27 tahun bersama pertubuhan itu.

Firma yang ada kaitan dengan Pemerintah - iaitu Yayasan Buruh Singapura, Temasek dan GIC - menyumbang aset bernilai sekitar AS$4 bilion (S$5.3 bilion) untuk membantu melancarkan Avanda, menurut laporan Bloomberg pada tahun lalu. Laporan itu menambah, aset Avanda sejak itu naik lebih seganda kepada kira-kira AS$10 bilion (S$13.3 bilion).

GIC sebelum ini menyatakan Encik Ng memainkan peranan penting menguruskan pelaburannya dalam pasaran awam, selain mempertingkat keupayaan badan itu dalam bidang pelaburan.

Encik Ng dilantik sebagai ketua pegawai pelaburan pertama GIC pada 2007 - jawatan yang disandang sehingga beliau bersara.

Kerjaya lulusan Universiti Nasional Singapura (jurusan fizik) dan Universiti Stanford (jurusan pengurusan) dalam bidang pengurusan pelaburan itu, sebenarnya bermula sebelum GIC ditubuhkan.

Beliau bermula sebagai seorang penganalisis pelaburan di Kementerian Kewangan pada 1970, sebelum berkhidmat di Penguasa Kewangan Singapura pula apabila ia ditubuhkan pada 1971 dan mengambil alih peranan menguruskan rizab Singapura.

Pemerintah Singapura mengurniakan beliau dengan Pingat Jasa Gemilang pada Hari Kebangsaan 2012.

Encik Ng juga merupakan pengerusi emeritus Wealth Management Institute di Universiti Teknologi Nanyang dan berkhidmat dalam lembaga penasihat global syarikat pelaburan PIMCO.

Presiden Halimah Yacob mengumumkan pada Mei bahawa beliau tidak akan bertanding. Penggalnya berakhir pada 13 September.

Usahawan George Goh mengumumkan niatnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 12 Jun, beberapa hari selepas mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam mengisytiharkan hasrat sama pada 8 Jun.

Permohonan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden dibuka pada 13 Jun dan akan ditutup pada hari kelima selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita