Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mantan ketua DPP Benjamin Pwee sertai parti 'lebih besar'

Ahli politik Singapura Benjamin Pwee berkata beliau meninggalkan Parti Progresif Demokratik (DPP) yang diketuainya selama enam tahun, bagi menyertai sebuah parti politik lain yang "mempunyai seorang pemimpin mapan yang lebih berpengalaman, dikenali dan boleh dipercayai".

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan ketua DPP Benjamin Pwee sertai parti 'lebih besar'

Gambar fail Benjamin Pwee. (Gambar: Jason Quah/TODAY)

Diterbitkan : 08 Feb 2019 10:29AM Dikemas Kini : 08 Feb 2019 10:54AM

SINGAPURA: Ahli politik Singapura Benjamin Pwee berkata beliau meninggalkan Parti Progresif Demokratik (DPP) yang diketuainya selama enam tahun, bagi menyertai sebuah parti politik lain yang "mempunyai seorang pemimpin mapan yang lebih berpengalaman, dikenali dan boleh dipercayai".

Bercakap kepada Mediacorp pada Khamis (7 Feb), Encik Pwee, 51 tahun, menambah bahawa parti yang akan disertainya mempunyai seorang pemimpin dengan "pengalaman dalam parlimen serta sokongan kuat dan meluas".

Encik Pwee bagaimanapun tidak mendedahkan nama parti yang akan disertainya sambil berkata bahawa beliau menyerahkan kepada parti tersebut untuk membuat pengumuman rasmi mengenai keahliannya.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat DPP menerima peletakan jawatan Encik Kwee sebagai setiausaha agung dan anggota parti pada 26 Jan. Encik Mohamad Hamim sudah mengambil alih peranan sebagai setiausaha agung DPP.

Encik Pwee selanjutnya berkata kira-kira lima anggota berancang untuk meninggalkan DPP dan menyertai parti baru sebagai anggota biasa.

Perunding perniagaan itu menambah, beliau merupakan anggota pertama yang meninggalkan DPP dan "yang lain akan berbuat demikian bila tiba waktunya".

Mengulas tentang parti politik yang akan disertainya, beliau berkata: "Mereka mengalu-alukan penyertaan pasukan saya kerana mereka percaya akan kerja berpasukan, kolaborasi dan kepimpinan bersama."

TIBA MASA SERTAI 'PARTI LEBIH BESAR'

Encik Pwee memberitahu Mediacorp, peletakan jawatan beliau itu berlaku sedang timbul khabar angin mengenai Pilihan Raya Umum dan parti-parti politik sedang mengaturkan persiapan untuk berkempen.

Peletakan jawatannya itu diumumkan beberapa minggu selepas ahli politik veteran Dr Tan Cheng Bock memfailkan permohonan untuk membentuk parti politik baru yang dikenali sebagai Parti Kemajuan Singapura (Progress Singapore Party).

Dr Tan, seorang mantan Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) diundang menjadi pemimpin pakatan pembangkang yang diusulkan, terdiri daripada Parti Demokratik Singapura, Parti Kuasa Rakyat, DPP, Parti Reformasi, Parti Perpaduan Nasional, Parti Warga Diutamakan dan Parti Suara Rakyat.

Encik Pwee berkata, parti yang akan disertainya adalah "peneraju utama" dalam gabungan tersebut.

"Mustahil untuk parti-parti kecil seperti DPP melancarkan kempen pilihan raya dengan jayanya secara sendiri, jadi ini masa terbaik bagi diri saya dan pasukan untuk menyertai parti lebih besar, untuk mula terlibat dalam persiapan kempen mereka," kata Encik Pwee.

Beliau menambah, "parti-parti kecil cuba merebut perhatian, tetapi pada dasarnya tidak berkesan" dalam melancarkan kempen yang berjaya dan meyakinkan yang mampu mendapat keyakinan para pengundi.

Sebelum beliau meninggalkan DPP, Encik Pwee dan para anggota yang merancang untuk berbuat demikian mengadakan "perbincangan mendalam" dengan parti yang ingin mereka sertai dan mengadakan pertemuan beberapa kali.

Ahli politik berusia 51 tahun yang bertanding di Bishan-Toa Payoh dalam dua pilihan raya lepas berkata beliau berharap parti-parti politik utama akan bersatu pada Pilihan Raya Umum selanjutnya.

Beliau juga melahirkan harapan agar langkahnya ini akan "menggalak rakyat Singapura lain yang berbakat supaya tampil he hadapan dan menyertai para pemimpin politik yang lebih signifikan".

"Pastinya dorongan kuat itu berterusan bagi semua parti pembangkang untuk bersatu dan bekerjasama demi mencapai tujuan yang sama," kata Encik Pwee.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan