Mantan Imam Masjid Ba'alwie, Ustaz Muhammad Said Basabrain, meninggal dunia
Mantan Imam Masjid Ba'alwie, Ustaz Muhammad Said Basabrain, meninggal dunia pagi ini (25 Mei).

Mantan Imam Masjid Ba'alwie, Ustaz Muhammad Said Basabrain. (Gambar: Habib Hassan Al Attas)
SINGAPURA: Mantan Imam Masjid Ba'alwie, Ustaz Muhammad Said Basabrain, meninggal dunia pagi ini (25 Mei).
Ini dimaklumkan oleh Masjid Ba'alwie menerusi satu catatan di laman Facebooknya sekitar pukul 9.00 pagi ini.
Catatan tersebut berbunyi: "Ustaz Muhammad Said Basabrain, mantan Masjid Ba'alwie meninggal dunia pagi ini pada usia 92 tahun.
"Jenazah akan dibawa ke Masjid (Ba'alwie) hari ini insha Allah untuk disolatkan selepas solat Jumaat. Semoga Allah menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang menerima rahmat terbesar akhirat, amin."
(Gambar ihsan: Shahrudin Muhammad Said)
Sekeping gambar yang menunjukkan petikan laporan akhbar lama juga disertakan bersama catatan tersebut, mengenai syarahan yang disampaikan oleh Allahyarham Ustaz Muhammad Said Basabrain di Blok 206 Bukit Batok Street 21 sempena Maulud Nabi SAW.
Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Imam Masjid Ba'alwie Habib Hassan Al Attas berkongsi bahawa Allahyarham menjadi imam dan khatib di masjid itu sejak tahun 60-an.
"Allahyarham imam dari zaman ayah saya, pada tahun 60-an. Orang yang tua-tua lama (akan) tahu. Kalau tak salah saya, sekitar 46 tahun (Allahyarham) menjadi imam," kata Habib Hassan.
Beliau menambah, sekitar enam hingga tujuh tahun lalu, Allahyarham tidak lagi menjadi imam disebabkan daya penglihatannya kurang baik, menyulitkannya untuk membaca teks khutbah.

(Gambar: Habib Hassan Al Attas)
Allahyarham pernah menjadi mudir Madrasah Bustanul Arifin yang suatu ketika terletak di Coronation Road dan merupakan seorang guru al-Quran.
Anak Allahyarham, Shahrudin, memberitahu BERITAMediacorp salah seorang murid bapanya adalah penyerang legenda Singapura, Fandi Ahmad, yang kini menggalas tugas sebagai jurulatih pasukan bola sepak negara.
Menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang "tidak banyak cakap", Habib Hassan berkata antara peninggalan berharga Allahyarham adalah dua buku yang pernah ditulisnya - Penyuluh Ilmu Tajwid (Jawi), Akibat Durhaka dan Nasihat Saiyidina Ali.

(Gambar: Habib Hassan Al Attas)
Allahyarham dikurniakan empat orang anak, seorang daripadanya sudah meninggal dunia. Isterinya meninggal dunia 23 tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.