Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mantan hakim besar Yong Pung How meninggal dunia pada usia 93 tahun

Mantan Hakim Besar Yong Pung How meninggal dunia hari ini (9 Jan) pada usia 93 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Jan 2020 06:30PM Dikemas Kini : 09 Jan 2020 11:57PM

SINGAPURA: Mantan Hakim Besar Yong Pung How meninggal dunia hari ini (9 Jan) pada usia 93 tahun.

Encik Yong, yang kerjayanya termasuk memegang jawatan selaku tokoh bank dan canselor universiti, juga berkhidmat sebagai hakim besar kedua Singapura dari 1990 hingga 2006.

Ketika di majlis persaraannya, Encik S Jayakumar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang memberi penghormatan kepada Encik Yong di Parlimen atas jasanya dalam membina "sistem kehakiman dan perundangan Singapura untuk mengamalkan kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan dengan berani".

Memperingati sumbangan Encik Yong yang "berkekalan dan cemerlang", Encik Jayakumar menarik perhatian kepada "pembaharuan yang meluas untuk memperkukuh infrastruktur undang-undang dan mengembangkan perundangan tempatan yang relevan kepada konteks Singapura".

Encik Jayakumar turut menambah bahawa "hasil kepimpinannya, kita kini mempunyai badan kehakiman yang berkedudukan tinggi di peringkat antarabangsa".

YONG SEORANG "GERGASI YANG TIDAK PENTINGAKAN DIRI SENDIRI": K SHANMUGAM

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Khamis memberi penghormatan kepada Encik Yong dalam satu catatan Facebook.

"(Encik Yong) seorang lelaki yang hebat. Seorang gergasi yang tidak mementingkan diri sendiri, yang amat berdedikasi untuk membangunkan Singapura dan institusi-institusinya. Pencapaiannya terakam dalam pelbagai bidang menjangkaui kehakiman," kata Encik Shanmugam.

Beliau turut merakamkan pengalamannya bersama Encik Yong dan bagaimana mantan hakim besar itu memperkenalkan "hampir 1,000 inisiatif" di bekas Mahkamah Rendah, yang kini dikenali sebagai Mahkamah Negara.

"Usaha beliau telah menyumbang besar kepada Singapura yang kini diiktiraf sebagai sebuah pusat undang-undang antarabangsa diyakini, dengan sistem kehakiman yang kukuh," tambahnya lagi.

"Sistem kita pada kedudukan hari ini hasil visi dan pandangan jauh beliau."

HAKIM BESAR BERI PENGHORMATAN KEPADA ENCIK YONG

Hakim Besar Sundaresh Menon menyifatkan Encik Yong sebagai "tokoh pengasas" dalam sejarah negara dan undang-undang Singapura.

"Encik Yong seorang individu yang sangat berbakat sejak usia muda, yang sumbangan serta minatnya menjangkaui bidang undang-undang dan merangkumi perniagaan, kewangan dan pentadbiran awam. Dalam setiap bidang yang beliau jejaki, Encik Yong akan mencapai kemuncaknya," kata Hakim Besar Menon.

Dalam kenyataan bertulisnya, beliau merujuk kepada tempoh Encik Yong sebagai hakim besar sebagai tempoh "paling membina" sepanjang sejarah Singapura.

"Kami semua - warga kehakiman, bidang guaman dan hakikatnya setiap warga Singapura - terhutang budi kepada Encik Yong: atas khidmatnya, sifat keadilanbeliau dan kerana mendedikasikan seluruh hidupnya kepada negara yang dicintai," tambah Hakim Besar Menon.

"Pemergiannya adalah kehilangan besar buat negara"

JALAN HIDUP ENCIK YONG

Encik Yong dilahirkan pada 11 April 1926 di Kuala Lumpur, Malaysia. Beliau anak lelaki tunggal dalam kalangan enam adik beradik.

Mendiang ayahnya, Yong Shook Lin, adalah seorang peguam ternama dan pengasas firma guaman Shook Lin & Bok di Kuala Lumpur. Ibunya berasal dari Hong Kong.

Beliau menerima pendidikan awal di Hong Kong dan Kuala Lumpur. Pada usia 14 tahun, beliau menamatkan Sijil Persekolahan Cambridge di Victoria Institution di Kuala Lumpur.

Beliau terlalu muda untuk menyambung pengajian tinggi dan terjejas pula apabila berlaku Perang Dunia Kedua.

Setelah perang, Encik Yong menuntut undang-undang di Kolej Downing, Universiti Cambridge.

Encik Yong meninggalkan bidang guaman pada 1971 dan memulakan kerjayanya dalam bidang kewangan. Beliau kemudian menjadi CEO dan pengerusi bank OCBC.

Setelah hampir dua dekad tidak lagi berkhidmat dalam bidang guaman, beliau kembali sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada usia 63 tahun. Beliau kemudian dilantik sebagai hakim besar pada 28 September 1990.

Di majlis pengurniaan ijazah kedoktoran kehormat pada 2001, Profesor Madya NUS Tan Cheng Han berkata Encik Yong "memberi ilham dan membimbing usaha untuk merubah dan menyusun semula sistem kehakiman dengan matlamat membangunkan sistem undang-undang yang responsif dan berkesan, tanpa menjejas fungsi menegakkan keadilan".

Pada 2010, Encik Yong dilantik canselor Universiti Pengurusan Singapura.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan