Skip to main content

Singapura

Mantan DPM Heng Swee Keat undur diri daripada lembaga pengarah MAS

Mantan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat sudah melepaskan jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah Penguasa Kewangan Singapura (MAS), menurut pihak berkuasa itu pada Isnin (5 Jan).
Anggaran Waktu Membaca:
Mantan DPM Heng Swee Keat undur diri daripada lembaga pengarah MAS
Mantan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berucap di Hotel Shangri-La pada 5 Disember 2025. (Gambar fail: CNA/Ili Mansor)
SINGAPURA: Mantan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat sudah melepaskan jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah Penguasa Kewangan Singapura (MAS), menurut pihak berkuasa itu pada Isnin (5 Jan).

Perkara tersebut berkuat kuasa pada 1 Januari.

Encik Heng, yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 45 tahun, bersara daripada politik pada April lalu dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE2025) tahun lalu.

“Kami amat menghargai sumbangan Encik Heng kepada Lembaga MAS sepanjang 20 tahun lalu, termasuk peranannya sebagai pengarah urusan dari 2005 hingga 2011,” kata pengerusi lembaga MAS Gan Kim Yong.

“Beliau memainkan peranan penting dalam memimpin MAS menghadapi krisis kewangan 2008, menyelia pembaharuan untuk memperkukuh pengurusan risiko dan tadbir urus korporat dalam institusi kewangan, serta meningkatkan kedudukan MAS dalam kalangan rangkaian kewangan global.”

Encik Gan turut menekankan sumbangan Encik Heng kepada pembangunan Singapura sebagai hab kewangan, termasuk usaha beliau menggalakkan penerapan teknologi kewangan dan inovasi, serta pembangunan bakat.

“Pandangan tajam dan kebijaksanaannya merupakan aset besar kepada Lembaga MAS. Kami mendoakan yang terbaik bagi beliau dalam usahanya yang akan datang,” kata Encik Gan.

Mantan timbalan perdana menteri itu pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada mendiang Lee Kuan Yew dari 1997 hingga 2000. Beliau kemudian berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan pada 2001.

Encik Heng menyertai politik dalam Pilihan Raya Umum 2011 (GE2011) sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Tampines. Selepas dipilih, beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Pada 2015, beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan, yang menyelia 10 belanjawan negara, termasuk lima belanjawan sepanjang pandemik COVID-19.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita