Skip to main content

Singapura

Mantan AP WP Leon Perera akan berpindah ke Amerika; tepis spekulasi akan bertanding dalam GE2025

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan AP WP Leon Perera akan berpindah ke Amerika; tepis spekulasi akan bertanding dalam GE2025

(Gambar: Facebook/Leon Perera)

Diterbitkan : 28 Jan 2025 12:13PM Dikemas Kini : 16 Feb 2025 11:28PM
SINGAPURA: Mantan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Leon Perera akan berpindah ke Amerika Syarikat selepas menyandang jawatan baharu, melenyapkan spekulasi bahawa beliau mungkin bertanding di bawah Parti Kemajuan Singapura (PSP) dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Dalam satu kenyataan di LinkedIn pada Selasa (28 Jan), Encik Perera yang berusia 54 tahun menulis bahawa beliau telah menyandang jawatan baharu sebagai pengarah eksekutif di Yamada Consulting Group (YCG).

Pada Ogos 2024, PSP mengesahkan bahawa Encik Perera berkhidmat secara sukarela dengan parti itu "secara tidak rasmi" selepas beliau ditemui di beberapa acara bersama para pemimpin parti tersebut.

Mediacorp menghubungi Encik Perera untuk bertanya sama ada langkah itu bermakna bahawa beliau tidak akan bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum akan datang, yang mesti diadakan menjelang November.

Encik Perera memberitahu Mediacorp bahawa beliau "tiada apa-apa untuk dikatakan" menjangkaui catatannya di LinkedIn dan sebaliknya menyarankan agar menghubungi PSP. Sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp, PSP berkata Encik Perera setakat membantu sebagai seorang sukarelawan.

Encik Perera berkata dalam catatannya bahawa dari pangkalannya di New York City, beliau akan bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja YCG untuk "mengembangkan dan membangunkan perniagaan kami di Amerika Syarikat dan membina hubungan perniagaan antara Amerika Syarikat dan Asia".

YCG menawarkan khidmat perundingan terutamanya untuk syarikat-syarikat Jepun.

Beliau menambah dalam catatannya itu bahawa secara "peribadi", beliau tidak sabar untuk meluangkan masa di Amerika.

"Saya berharap tempoh masa ini akan membantu saya untuk membangunkan perspektif dan idea baharu tentang apa yang sedang berlaku di dunia, ke mana arahnya dan, paling penting, apa yang perlu dilakukan untuk membina masa depan yang lebih baik," katanya.

"Saya juga mengharapkan perspektif baharu tentang tanah air saya. Ada yang mengatakan bahawa untuk melihat dengan jelas, anda kadangkala memerlukan sedikit jarak."

Beliau juga berterima kasih kepada isterinya, yang menurutnya telah melakukan perjalanan bersamanya dan akan membahagikan masanya antara Singapura dan New York City.

Encik Perera menambah bahawa beliau kekal sebagai pengerusi kumpulan Yamada Consulting dan Spire di Asia, di mana beliau akan terus melibatkan syarikat-syarikat Singapura dan Asia dan membantu menghubungkan mereka dengan peluang pelaburan di Amerika dan peringkat global.

Beliau berkata dalam catatannya: "Dalam konteks ini, saya menjangkakan untuk pulang ke Singapura dengan kerap - melenyapkan harapan mana-mana rakyat Singapura di luar sana yang mahu menyingkirkan saya buat selama-lamanya."

HUBUNGAN SULIT

Pada 2023, semasa Encik Perera menjadi AP GRC Aljunied, video beliau dan pengerusi sayap belia parti itu Nicole Seah terbongkar.

Klip selama 15 saat itu kelihatan menunjukkan Encik Perera sedang makan bersama Cik Seah sambil memegang dan membelai tangannya.

Mereka berdua mengaku menjalin hubungan sulit dan meletak jawatan daripada WP.

Semasa sidang media mengenai insiden itu, Setiausaha Agung WP Pritam Singh berkata pada masa itu: "Sekiranya beliau tidak menawarkan untuk meletak jawatan, saya akan menyarankan kepada CEC (Jawatankuasa Eksekutif Pusat) supaya beliau dipecat daripada parti."

Encik Perera menjadi AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) selepas Pilihan Raya Umum 2015, semasa beliau bertanding di GRC East Coast.

Pada Pilihan Raya Umum 2020, Encik Perera adalah sebahagian daripada pasukan WP yang mengekalkan kerusi GRC Aljunied. Mereka memenangi 59.95 peratus undi semasa menentang Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Buat masa ini, PSP mempunyai dua NCMP – Cik Hazel Poa dan Encik Leong Mun Wai – yang kedua-duanya bertanding di GRC West Coast pada 2020.

Pilihan Raya Umum akan datang mesti diadakan sebelum November. Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) telahpun ditubuhkan, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 22 Jan – satu langkah penting menjelang pilihan raya.

Menurut para pemerhati politik, sempadan kawasan undi di bahagian barat Singapura dijangka akan dilakar semula oleh jawatankuasa tersebut.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita