Skip to main content

Singapura

Mantan AP PAP Ong Ah Heng meninggal dunia pada usia 84 tahun

Mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP), Ong Ah Heng, meninggal dunia pada Selasa (5 Mei) pada usia 84 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan AP PAP Ong Ah Heng meninggal dunia pada usia 84 tahun

Mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP), Ong Ah Heng, meninggal dunia pada 5 Mei 2026. (Gambar: Facebook/K Shanmugam SC, ComfortDelGro)

SINGAPURA: Mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP), Ong Ah Heng, meninggal dunia pada Selasa (5 Mei) pada usia 84 tahun.

Memberi penghormatan kepada mendiang, yang berkhidmat selama tiga penggal sebagai AP bagi SMC Nee Soon Central, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata beliau amat berdukacita atas pemergian tersebut.

“Ah Heng telah mendedikasikan hidupnya untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyatnya - sebagai pemimpin akar umbi, pemimpin kesatuan, tunggak PAP, dan AP. Beliau bersuara tanpa jemu untuk pekerja dan rakyat biasa Singapura, sentiasa mengambil kira keprihatinan masyarakat yang diwakilinya,” kata Encik Wong dalam catatannya di Facebook.

“Ramai antara kita akan mengingati Ah Heng sebagai seorang rakan seperjuangan yang rendah diri dan amat setia. Beliau teguh dengan prinsipnya dan memperjuangkan apa yang dipercayainya. Setelah meraih manfaat daripada sistem meritokrasi kita, beliau amat percaya dengan usaha menyumbang kembali dan membantu orang lain berjaya.”

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam turut memberi penghormatan, sambil menyifatkan mendiang sebagai “salah seorang tokoh PAP yang sangat dihormati” dalam catatannya di Facebook.

“Saya mula mengenali Encik Ong bukan sekadar sebagai rakan AP, tetapi sebagai seseorang yang mencerminkan etika perkhidmatan yang menjadi asas kepada gerakan buruh dan kerja akar umbi kita,” katanya.

“Beliau sering bersuara berdasarkan keyakinan yang lahir daripada pengalaman hidup. Beliau pernah berkata bahawa beliau banyak terhutang budi kepada sistem meritokrasi kita. Sistem itu membolehkannya bermula sebagai pekerja binaan, kemudian melanjutkan pelajaran hingga memperoleh ijazah sarjana. Beliau menjadi seorang pemimpin kesatuan yang berkesan.”

Semangat mendiang terhadap gerakan buruh telah mencorakkan sebahagian besar kehidupannya, kata Encik Shanmugam.

“Di luar politik, beliau terus menyumbang. Beliau memegang pelbagai peranan dalam perkhidmatan awam, sentiasa berpandukan kepercayaan untuk memberi kembali dalam pelbagai cara. Mereka yang pernah berkhidmat bersama beliau amat memahami perkara ini. Beliau percaya untuk sentiasa dekat dengan akar umbi, dekat dengan rakyat.”

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, sambil menambah: “Saya berpeluang mengenali beliau selama bertahun-tahun. Saya akan merinduinya.”

Encik Ong menyertai PAP pada 1964 dan pernah bertindak sebagai ejen pilihan raya kepada mendiang mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai penolong setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan setiausaha eksekutif Kesatuan Pekerja Pengangkutan.

Pada Pilihan Raya Umum 1997, Encik Ong pertama kali bertanding di SMC Nee Soon Central sebagai calon PAP dan memenangi kerusi tersebut daripada Parti Demokratik Singapura (SDP).

Beliau bersara daripada politik menjelang GE2011.

Encik Wong menarik perhatian bahawa beliau memasuki politik pada 2011, ketika Encik Ong berundur, namun mendiang tetap “bersedia untuk memberikan nasihat dan sokongan”.

Anak lelaki Encik Ong, Ong Teng Koon, menjadi AP di GRC Sembawang pada 2011 dan di GRC Marsiling-Yew Tee pada 2015, dan kini terus berkhidmat kepada penduduk di Limbang sebagai penasihat kedua.
Sumber : CNA/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita