Mantan AP Mohamad Maidin Packer Mohd dibenar pulang dari hospital setelah diserang angin ahmar ringan
Mantan Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) Mohamad Maidin Packer Mohd, 65 tahun, diserang angin ahmar ringan pada Khamis lalu (9 Mac) dan dimasukkan ke hospital pada malam yang sama.

(Gambar: (atas) Mantan Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) Mohamad Maidin Packer Mohd)
Namun, beliau sudahpun dibenarkan keluar dari Hospital Besar Changi pada Isnin (13 Mac).
Anak sulung Encik Maidin, Mohamad Mahathir Mohamad Maidin mengesahkan demikian dengan BERITAmediacorp.
Encik Maidin tidak pernah mengalami serangan angin ahmar sebelum ini.
Encik Mahathir berkata bahawa apabila bapanya diserang angin ahmar ringan, beliau berada di rumah bersama adik perempuan dan ibunya.
Menurut beliau, serangan angin ahmar itu menjejas bahagian kiri tubuh Encik Maidin, terutama tangan dan kaki beliau.
"Ayah saya perlu mengambil ubat penipisan darah sejak sekitar tiga tahun lalu. Tetapi dia perlu berhenti makan ubat buat seketika kerana perlu membuat pemeriksaan gigi."
"Oleh sebab itu, doktor yang merawat ayah saya mengatakan bahawa darah agak tebal, dan menjejas pengaliran ke otak. Itu menyebabkan kekurangan oksigen, dan menyebabkannya diserang angin ahmar," jelas Encik Mahathir.
Semasa dirawat di hospital, Encik Maidin tidak perlu menjalani sebarang pembedahan.
Menurut Encik Mahathir, beliau hanya perlu menjalani fisio terapi.
Setakat ini, Encik Mahathir mengatakan bahawa bapanya sudah boleh menggerakkan tangan dan kaki beliau.
"Kalau memagang cawan, sudah boleh. Tetapi dia ada masih terasa sedikit sebal. Dia sudah boleh berjalan juga tetapi rasanya belum kembali ke tahap normal," ujar Encik Mahathir.
Selepas dikeluarkan dari hospital, Encik Maidin kini perlu berehat di rumah. Beliau juga perlu menjalani fisioterapi di rumah dan di Hospital Besar Changi.
Encik Mahathir melahirkan rasa syukur atas doa keluarga dan sahabat handai bagi kesejahteraan dan kesihatan bapanya.
Encik Maidin pernah memegang jawatan Setiausaha Parlimen Kanan dan merupakan Anggota Parlimen GRC Aljunied (1991-1996) dan GRC Marine Parade (1997-2006) selain menjadi Penasihat Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.