Mantan AP Mahmud Awang meninggal dunia; Setiausaha Agung NTUC sanjung tinggi dedikasi Allahyarham tegakkan kebajikan, hak pekerja
Nama Mahmud Awang sinonim dengan gerakan buruh.

Mantan AP Mahmud Awang. (Gambar: Ng Chee Meng/Facebook)
SINGAPURA: Nama Mahmud Awang sinonim dengan gerakan buruh.
Malah, sebahagian besar kejayaan awal Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dikaitkan dengan Mahmud Awang dan semangatnya untuk membantu para pekerja di Singapura meningkatkan gaji dan keadaan kerja mereka.
Mantan Anggota Parlimen itu meninggal dunia pada usia 93 tahun pada Isnin (4 Jan).
Semasa menyampaikan takziahnya kepada anak perempuan Allahyarham, Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng berkata Allahyarham telah memainkan peranan besar dalam membentuk gerakan buruh itu dan mempertingkatkan kesejahteraan dan kebajikan pekerja di Singapura.
Allahyarham, menurut Encik Ng, adalah seorang tokoh buruh yang cukup berwibawa dan serba berkebolehan.
Setelah menyertai Singapore Traction Company (STC) sebagai seorang konduktor dan penjaga masa, beliau kemudian menganggotai kesatuan pekerja syarikat itu dan akhirnya dilantik sebagai presiden kesatuan tersebut.
Walaupun belum lama berkhidmat dalam kesatuan STC, beliau dilantik sebagai penolong setiausahanya dan keupayaannya sebagai seorang pemimpin begitu terserlah sejak dari awal lagi.
KEPIMPINAN ALLAHYARHAM
Semasa zaman remajanya, Allahyarham kerap kali dilihat menerajui usaha untuk menghuraikan dan menangani masalah bagi pihak rakan sekerja dan masyarakatnya.
Allahyarham juga tidak suka akan tingkah laku atau amalan yang tidak betul dan sentiasa bersedia untuk membantu menghuraikan sebarang masalah yang berlaku di tempat kerja. Ini semua dilakukannya demi memperbaiki mutu kehidupan rakan sekerjanya.
Kecenderungannya untuk terus mempertingkatkan kebajikan pekerja dan menegakkan keadilan memberikan keyakinan kepada para anggota kesatuan bahawa beliau akan menjadi suara yang lantang untuk menjaga kesejahteraan para pekerja.
Kerja keras dan komitmen Allahyarham dikagumi ramai dan beliau dilantik sebagai presiden kesatuan tersebut pada 1958.
Allahyarham juga dilantik sebagai presiden Kongres Kesatuan Sekerja Singapura (STUC) pada 1960 dan memegang kedua-dua peranan tersebut secara serentak.
Sebagai salah seorang pengasas gerakan buruh ketika itu, Allahyarham membina asas yang kukuh bagi gerakan buruh tersebut yang dianggap sebagai antara yang paling unik dan berkesan di dunia.
WARISAN ALLAHYARHAM
Allahyarham adalah Ahli Dewan Perundangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan kemudian Anggota Parlimen Kampong Kapor dari 1963 hingga 1968.
Meskipun Allahyarham menceburi sektor swasta dan kemudian perkhidmatan awam, beliau tetap menegakkan kebajikan pekerja dan memberikan sokongan kepada bekas rakan kerjanya dalam gerakan buruh.
DEDIKASI DAN SIKAP TIDAK MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI ALLAHYARHAM
Meskipun memegang jawatan tinggi, Allahyarham tetap seorang yang merendah diri dan sangat prihatin terhadap golongan yang memerlukan.
Jasa bakti dan sumbangan Allahyarham kepada NTUC akan diabadikan sedang gerakan buruh itu terus menjaga kebajikan dan menegakkan hak pekerja tempatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.