Mantan AP Louis Ng ceburi peranan pengajar di NUSC selepas bersara daripada politik
Mantan Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Nee Soon, Louis Ng, kini menyertai Kolej Universiti Nasional Singapura (NUSC) sebagai Profesor Madya dan akan berperanan sebagai pengajar.
Mantan Anggota Parlimen Nee Soon Louis Ng akan mengajar kursus elektif di Kolej NUS dan mungkin turut membantu para pelajar dalam projek yang bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat di Laos. (Gambar: Facebook/Louis Ng Kok Kwang, CNA/Calvin Oh)
Dalam satu emel daripada NUSC yang dilihat Mediacorp, diumumkan bahawa Encik Ng akan mengajar kursus elektif di kolej tersebut, dan juga mungkin membantu para pelajar dalam satu projek yang bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat di Laos.
NUSC mengesahkan pelantikan Encik Ng kepada Mediacorp.
Kolej itu ditubuhkan pada 2022 melalui penggabungan Program Sarjana Universiti (USP) dan Kolej Yale-NUS.
Mediacorp difahamkan bahawa kursus yang akan diajar oleh Encik Ng masih belum dimuktamadkan kerana ia perlu melalui jawatankuasa kurikulum, namun beliau berhasrat untuk mengajar kursus yang berkaitan dengan proses perundangan dan penggubalan dasar.
Pelantikan Encik Ng sebagai Profesor Madya secara rasmi bermula pada 1 Julai dan diberikan di bawah “laluan amali”.
Menurut laman NUS yang menjelaskan mengenai laluan serupa bagi fakulti pengkomputeran, sains bahan dan kejuruteraan, serta farmasi, laluan amali ialah jawatan bukan tetap pada peringkat Penolong, Profesor Madya atau Profesor Penuh, yang diberikan kepada pemimpin industri dan karyawan yang terus aktif dalam amalan profesional sambil mengajar dan membimbing para pelajar.
Setelah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Nee Soon selama dua penggal dari 2015 hingga 2025, Encik Ng mengumumkan pada April sebelum Pilihan Raya Umum bahawa beliau akan berundur daripada peranan tersebut atas alasan peribadi, termasuk untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
Beliau melepaskan jawatan tersebut walaupun selepas dipujuk oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Perdana Menteri Lawrence Wong supaya mengekalkan jawatan berkenaan.
Sepanjang tempoh beliau di Parlimen, Encik Ng dikenali kerana sering membangkitkan hal berkaitan kebajikan haiwan dan perlindungan alam sekitar.
Dalam satu temu bual penuh emosi ketika mengumumkan persaraannya daripada politik, beliau menyatakan alasan keluarga sebagai pendorong keputusannya, memandangkan tugas sebagai Anggota Parlimen menyebabkan beliau terlepas “banyak detik penting” dalam zaman kanak-kanak anak-anak perempuannya.
Emel daripada NUSC menyatakan bahawa "kepercayaan kuat (Encik Ng) terhadap pelibatan akar umbi serta usaha beliau yang memberi kesan dalam pemuliharaan alam sekitar, kebajikan haiwan dan pembangunan masyarakat akan memperkayakan kolej kami dalam pelbagai cara".
Di luar kerjaya parlimennya, Encik Ng merupakan pengasas Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES), sebuah pertubuhan kebajikan perlindungan haiwan dan badan bukan pemerintah (NGO) di Singapura.
Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana dalam Pemuliharaan Primat dari Universiti Oxford Brookes dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Biologi dari NUS.
Selain mengajar kursus elektif, Encik Ng juga akan menyelia pasukan projek Impact Experience (IEx).
Menurut laman NUSC, pasukan IEx itu akan bekerjasama dengan rakan kongsi bukan berkeuntungan dan mencipta penghuraian masa depan demi manfaat masyarakat di Singapura dan luar negara.
NUSC menyatakan bahawa Encik Ng berharap untuk mengetuai projek sedemikian di Laos, di mana tidak terdapat pasukan pelajar aktif pada masa ini.
“Kami teruja dengan peluang untuk mengembangkan kehadiran kami di rantau ini, dan amat menghargai komitmen Louis dalam membangunkan projek bermakna dalam bidang kemampanan dan pembangunan masyarakat di salah satu negara kurang membangun di Asia Tenggara,” menurut NUSC dalam emel tersebut.
“Ini menjanjikan pengalaman pembelajaran yang kaya dan memberi kesan yang besar bagi para pelajar kami.”
Dalam emel itu, Encik Ng menyatakan bahawa beliau gembira dapat kembali ke NUS, di mana beliau menamatkan pengajian pada 2002. Beliau berkata NUS adalah tempat permulaan bagi perjalanan beliau sebagai “pembawa perubahan”, sambil mengimbas kembali bahawa beliau menubuhkan ACRES semasa berada dalam tahun kedua pengajiannya.
“Universiti ini telah memberi begitu banyak kepada saya dan saya teruja untuk kembali dan menyumbang semula,” kata beliau. “Di NUS, saya berharap dapat melibatkan diri, memperkasa dan memberi inspirasi kepada generasi pemimpin global yang akan datang.”
Beliau menambah bahawa semasa di Parlimen, beliau gemar bersuara bagi pihak yang terpinggir, namun kini sudah bersara daripada politik.
“Kini, saya ada lebih banyak masa bersama anak-anak saya dan saya seronok bercakap dengan mereka,” tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.