Skip to main content

Singapura

Mantan AP Chiang Hai Ding menang kes saman difailkan bekas menantu berhubung rumah kedai S$2.1 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan AP Chiang Hai Ding menang kes saman difailkan bekas menantu berhubung rumah kedai S$2.1 juta

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 14 Sep 2023 08:26PM Dikemas Kini : 14 Sep 2023 08:27PM
SINGAPURA: Mantan Anggota Parlimen (AP) Chiang Hai Ding memenangi saman sivil yang difailkan bekas menantunya atas pemilikan sebuah rumah kedai peninggalan warisan di kawasan pemuliharaan Balestier.

Cik Sabrina Alberta Tan membawa Dr Chiang dan bekas suaminya, Encik Chiang Joon Arn, ke mahkamah awal tahun ini.

Cik Tan mendakwa bahawa beliau dan Encik Chiang merupakan pemilik sebenar rumah di 11 Martaban Road.

Pasangan itu bernikah pada 2011 sebelum bercerai pada lewat 2020. Tuntutan itu timbul akibat perselisihan tentang sama ada rumah kedai di Martaban Road itu patut disertakan dalam kumpulan aset perkahwinan yang akan dibahagikan sesama mereka.

Cik Tan berpendapat bahawa rumah tersebut harus disertakan dalam kumpulan aset itu kerana Dr Tan memperolehinya bagi pihak mereka. Ia dibeli pada 2009 dengan harga S$2.1 juta dan didaftar di bawah nama Dr Chiang.

Walau bagaimanapun, keluarga Chiang berhujah bahawa tiada persetujuan untuk Dr Chiang memiliki rumah itu bagi pihak pasangan itu.

Pada Khamis (14 Sep), Hakim Mahkamah Tinggi Hoo Sheau Peng memihak kepada Dr Chiang dan anak lelakinya, namun menolak tuntutan mereka bahawa rumah tersebut adalah hadiah oleh Encik Chiang kepada Dr Chiang.

Hakim Hoo membuat pengisytiharan bahawa Dr Chiang, 85 tahun, memiliki 85.71 peratus hak kepentingan dalam hartanah itu bagi pihak anak lelakinya.

Encik Chiang membayar S$520,000 sebagai bayaran pendahuluan dan mengambil pinjaman gadai janji sebanyak S$1.28 juta.

Dr Chiang, yang menyumbang S$300,000 kepada bayaran pendahuluan hartanah tersebut kerana anak lelakinya tidak mempunyai wang yang cukup, merupakan pemilik baki 14.29 peratus hartanah itu, kata Hakim Hoo.

Dr Chiang, merupakan AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) Ulu Pandan dari 1970 hingga 1984, beliau juga merupakan duta Singapura ke lebih daripada 10 negara, termasuk Soviet Union.

HUJAH OLEH PLAINTIF DAN DEFENDAN

Dalam tuntutan mahkamahnya Cik Tan berkata mereka menggunakan nama Dr Chiang untuk membeli rumah kedai itu kerana pasangan tersebut tidak boleh membuat demikian di bawah nama mereka.

Sekitar 2006, pasangan itu membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB )di Pinnacle @ Duxton dengan harga S$306,500. Rumah tersebut dirancang sebagai rumah selepas pernikahan mereka.

Cik Tan berkata mereka perlu memenuhi tempoh penginapan minimum HDB selama lima tahun sebelum dibenarkan membeli hartanah privet.

Pembelaan utama Dr Chiang dan Encik Chiang adalah tiada perjanjian dibuat bagi rumah tersebut dimiliki oleh Dr Chiang bagi pihak pasangan itu. Rumah kedai tersebut dibeli atas nama Dr Chiang kerana ia bertujuan untuk dijadikan miliknya selama ini, hujah mereka.

KEPUTUSAN HAKIM

Dalam keputusannya, Hakim Hoo berkata Cik Tan tidak memberi sebarang bukti jelas terhadap pengaturan bagi Dr Tan memiliki hartanah itu bagi pihak mereka.

Sumbangan kewangan kepada hartanah itu juga gagal untuk menyokong pengaturan yang didakwa.

Menurut Hakim Hoo, Cik Tan tidak membuktikan sebarang bukti kukuh bahwa Encik Chiang membuat sumbangan kewangan bagi pihak pasangan tersebut.

Encik Chiang juga merupakan penyumbang utama bayaran pendahuluan dan bayaran semula gadai janji.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita