Skip to main content

Singapura

Mansuhkan PSLE ​​atau DSA boleh wujudkan tekanan baharu terhadap murid & ibu bapa: David Neo

Memansuhkan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) atau Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) boleh mewujudkan tekanan baharu dan memberi isyarat yang salah kepada ibu bapa serta pelajar.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Sep 2026 06:32PM Dikemas Kini : 05 Nov 2026 10:22PM
Abolishing the PSLE or DSA could create new pressure on pupils and parents: David Neo
  • Second Minister for Education David Neo said at the IPS Forum 2026 on Sep 29 that abolishing the PSLE or DSA could create new pressure for families.
  • The Ministry of Education (MOE) will examine parts of Singapore’s education system that drive competition, especially the transition from primary to secondary school, which is often associated with the PSLE and DSA.
  • The PSLE helps with school placement and subject allocation, but proposals to abolish or change it could shift competition to Primary 1, balloting or residential factors.
  • The DSA is recognised as a talent pathway, but MOE wants to ensure it supports students’ genuine development rather than becoming an additional competitive strategy.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Memansuhkan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) atau Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) boleh mewujudkan tekanan baharu dan memberi isyarat yang salah kepada ibu bapa serta pelajar.

Demikian menurut Menteri Kedua Pendidikan David Neo pada Selasa (29 Sep).

Berucap di Forum Institut Pengajian Dasar (IPS) 2026, Encik Neo berkata Kementerian Pendidikan (MOE) akan meneliti bahagian sistem pendidikan yang paling mendorong persaingan, termasuk peralihan dari sekolah rendah ke sekolah menengah.

Menurut beliau, tekanan yang dihadapi pelajar muda adalah paling ketara pada peringkat tersebut, dengan PSLE dan DSA sering dibangkitkan dalam perbincangan MOE bersama masyarakat.

Encik Neo turut menarik perhatian kepada satu kajian baru-baru ini yang mendapati ibu bapa mahukan pendidikan lebih menyeluruh dan pembangunan holistik bagi anak-anak mereka.

Namun, tekanan dalam kalangan ibu bapa turut meningkat, dengan keluarga meluangkan lebih banyak masa dan wang bagi tuisyen serta program pengayaan.

PEMANSUHAN PSLE BOLEH CETUS TEKANAN BAHARU

PSLE kini digunakan untuk menilai pemahaman murid tentang kurikulum sekolah rendah, menentukan penempatan ke sekolah menengah dan memadankan mereka dengan peringkat mata pelajaran yang sesuai di sekolah menengah.

Menurut Encik Neo, terdapat cadangan supaya PSLE dimansuhkan, ditangguhkan atau dijadikan pilihan.

Ada juga yang mencadangkan julat markah tertinggi diperluaskan supaya para murid tidak perlu terlalu mengejar setiap markah.

Namun, setiap pilihan boleh menimbulkan tekanan baharu.

Sebagai contoh, sistem pendidikan berterusan dari sekolah rendah ke sekolah menengah tanpa PSLE boleh menyebabkan persaingan beralih kepada kemasukan Darjah 1.

Ia juga boleh mengurangkan peluang murid memilih sekolah menengah yang sesuai dengan minat dan keperluan mereka apabila mereka semakin membesar.

Lebih banyak pengundian bagi merebut tempat pula boleh meningkatkan ketidakpastian, manakala penempatan berdasarkan jarak tempat tinggal boleh menjejas pergaulan sosial dengan mengumpulkan murid mengikut kawasan tempat tinggal.

DSA BOLEH JADI 'LALUAN KEDUA' UNTUK PERSAINGAN

DSA diperkenalkan untuk mengiktiraf bakat dan potensi murid dan pelajar selain pencapaian peperiksaan.

Namun, Encik Neo berkata bagi sesetengah keluarga, DSA kini menjadi satu lagi laluan persaingan untuk mendapatkan tempat di sekolah pilihan.

Para murid mungkin membuat persiapan bagi PSLE sambil membina portfolio DSA, sehingga minat sebenar terhadap sesuatu bidang bertukar menjadi strategi untuk mendapatkan kemasukan ke sekolah menengah.

Sesetengah ibu bapa turut bimbang keluarga yang mempunyai lebih banyak sumber mampu mendapatkan latihan khusus yang tidak dapat dimanfaatkan oleh keluarga lain.

MOE menerima cadangan supaya DSA dikurangkan atau dimansuhkan, manakala ada pula yang mahu skim itu diperluaskan agar para murid dan pelajar dapat dinilai dengan lebih menyeluruh.

Namun, Encik Neo berkata mengehadkan DSA dengan terlalu banyak boleh memberi gambaran bahawa pencapaian peperiksaan adalah satu-satunya ukuran kejayaan.

Memperluaskannya pula boleh menyebabkan keluarga berasa perlu melabur dalam lebih banyak bidang semata-mata untuk bersaing.

Menurut beliau, matlamatnya bukan untuk menambah atau mengurangkan DSA, tetapi memastikan pengiktirafan bakat kembali memberi tumpuan kepada pembangunan sebenar pelajar.

Encik Neo berkata MOE mahu membina sistem yang memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk kurang memberi tumpuan kepada pencapaian akademik semata-mata dan lebih menekankan pembangunan holistik anak-anak mereka.

Beliau menambah matlamatnya bukan untuk menghapuskan semua bentuk persaingan, tekanan atau kekecewaan dalam pendidikan, tetapi memastikan persaingan tidak mengatasi usaha membangunkan sifat-sifat yang diperlukan kanak-kanak untuk berkembang.

Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita